Thursday, January 22, 2009

"Children Of Heaven": Filem Yang Membahagiakan



Video seterusnya, sila klik (youtube.com)

Sebuah filem dari Iran yang telah mendapat anugerah antarabangsa ini sebenarnya cukup membahagiakan diri saya. Walaupun filem ini telah lama diperkatakan ramai tentang mutu dan mesej yang ingin disampaikannya, namun, saya salah seorang dari mereka yang kurang suka menonton filem-filem tidak tahu apa sebenarnya "Children Of Heaven" ini? Tambahan pula filem-filem Melayu kita hari ini kurang mampu mempersembahkan cerita-cerita yang mempunyai mesej yang baik menjadikan saya hilang daya tarikan terhadap filem-filem semasa.

Banyak juga saya mendengar dari masyarakat kita tentang filem dari Iran ini, sehinggakan beberapa tokoh politik tanahair kita juga mengagumi filem tersebut.

Hari ini, setelah saya 'merdeka' sementara waktu dari peperiksaan semester, saya cuba menonton filem ini melalui internet, yang menjadi media massa utama saya. Alangkah bahagianya saya dengan jalan cerita yang dipersembahkannya itu. Bagaimana kanak-kanak yang umurnya kurang dari 10 tahun itu mempunyai satu semangat kental dalam kehidupan yang ingin mencapai impiannya. Di tambahi pula dengan kehidupannya yang perlu berdikari di samping membantu kedua ibu-bapanya. Oh, teringat saya kepada kehidupan lama...

Filem "Children Of Heaven" ini juga mampu mencetuskan suasana keislaman yang begitu menarik bagi saya. Ini kerana di dalamnya tidak ada unsur-unsur pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, kanak-kanak yang dididik dengan didikan yang baik, wanita-wanita yang bertudung dan seumpamanya. Alangkah baiknya jika filem-filem sebegini rupa diketengahkan kepada masyarakat kita hari ini.

Satu perkara lagi yang begitu menarik bagi saya sebagai seorang pelajar bahasa ialah: bahasa yang digunakan oleh orang-orang Iran iaitu Bahasa Farsi (kalau tidak silap), yang mana saya dapati bahasa tersebut juga banyak menggunakan perkataan-perkataan dari Bahasa Arab hatta tulisannya juga ditulis bermula dari kanan ke kiri.

Buat akhirnya, syabas saya ucapkan kepada Pengarah Filem "Children Of Heaven", anggota-anggota serta kakitangan yang menerbitkannya, dan tak lupa juga kepada mereka yang menterjemahkan bahasa filem tersebut kepada bahasa-bahasa lain.



1 comment:

tumpanglalu said...

"if i come in third, i give you the sneakers.."

owh betapa manis betapa luhurnya hati si pencipta skrip..