Friday, December 25, 2009

Puasa Sunat Pada 9 Dan 10 Muharram

Di bawah ini ialah artikel yang saya pernah terbitkan hampir 6 tahun yang lalu berkenaan dengan ibadat puasa pada 9 & 10 Muharram. Saya masukkan sekali lagi untuk renungan kita bersama.

Di antara ibadat puasa yang disunatkan kepada umat Islam ialah berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri di dalam sejarah manusia khususnya umat Islam. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Di antara perkara penting yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menyelamatkan Bani Israel dari kekejaman Firaun dan tentera-tenteranya serta menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keingkaran dan keangkuhannya. Oleh yang demikian tarikh 10 Muharram ialah merupakan tarikh di mana bermulanya episod baru dalam kehidupan Bani Israel setelah berabad lamanya ditindas oleh rejim Firaun di bumi Mesir. Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. – Surah Yunus, ayat 90.

Manakala hujah yang menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada tarikh 10 Muharram ialah hadis yang bermaksud : Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Kesemuanya di dalam Kitab Puasa.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Nabi SAW tidak menolak dakwaan Bani Israel bahawa pada tarikh 10 Muharram itu ialah tarikh di mana Nabi Musa dan kaumnya diselamatkan oleh Allah SWT. Secara tidak langsung, perintah Baginda supaya para sahabat berpuasa pada hari tersebut ialah satu pengiktirafan kepada dakwaan Bani Israel.

Manakala peristiwa lain yang berlaku pada 10 Muharram juga ialah pembunuhan Hussein RA di Karbala semasa perselisihan faham dengan tentera Yazid bin Muawiyah. Persitiwa ini membawa kesan besar di dalam sejarah yang seterusnya menjadi amalan penganut-penganut mazhab Syiah untuk merayakannya setiap tahun. Perayaan ini dapat dilihat dengan jelas di Iran dan sebahagian besar kawasan di Iraq.

Peristiwa lain yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram ialah mendaratnya kapal Nabi Nuh as di atas bukit Judi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi Nuh kemudiannya berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. – Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, www.islamonline.net

Mengenai ibadat puasa pada hari ‘Asyura ini, Syeikh Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqhus-Sunnah menyenaraikan beberapa hadis yang menyatakan kelebihan berpuasa pada hari tersebut. Antaranya :

1- Daripada Abu Hurairah RA : Rasulullah SAW ditanya, apakah solat yang paling afdhal selepas solat fardhu? Baginda menjawab, “Solat pada pertengahan malam.” Kemudian ditanya lagi, apakah puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan? Baginda menjawab, “(Puasa pada) bulan Allah yang kamu gelarkan sebagai Muharram” – Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan Abu Daud.

2- Daripada Muawiyah bin Abu Sufian bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Hari ini ialah hari ‘Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah manakala barangsiapa yang ingin berbuka, berbukalah.”

3- Daripada Aisyah RA berkata, “Sesungguhnya hari ‘Asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Adapun Rasulullah SAW juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Barangsiapa yang ingin berpuasa, teruskan. Barangsiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan). – Muttafaq ‘Alaih

4- Daripada Ibnu Abbas RA berkata : Nabi SAW memasuki Madinah dan melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Baginda bertanya, “Apakah ini?” Mereka menjawab, “Ini ialah hari yang baik, Allah menyelamatkan di dalamnya Musa dan Bani Israel daripada musuh mereka, lalu Musa berpuasa.” Maka Rasulullah bersabda, “Kami lebih layak terhadap Musa daripada kamu.” Baginda kemudiannya berpuasa dan memerintahkan para sahabat berpuasa. – Muttafaq ‘alaih

5- Daripada Abi Musa Al-Asy’ari RA berkata, : “Ini ialah hari ‘Asyura yang dimuliakan oleh kaum Yahudi dan dijadikan hari raya. Maka Rasulullah SAW berkata, “Berpuasalah kamu semua.” – Muttafaq ‘alaih

6- Daripada Ibnu Abbas RA berkata : Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah SAW. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud. Di dalam lafaz yang lain disebut sabda Rasulullah SAW : “Seandainya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (iaitu bersama hari ‘asyura) – riwayat Ahmad dan Muslim.

Berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa disunatkan berpuasa pada hari ‘asyura di dalam tiga kaedah :
  1. Puasa pada tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.
  2. Puasa pada hari ke 9 dan 10 Muharram
  3. Puasa pada hari ke 10 sahaja.
Seandainya timbul persoalan, bagaimanakah Nabi SAW menyontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya, “Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin..”. Maka kita menjawab bahawa puasa Nabi SAW pada 10 Muharram bukanlah semata-mata menyontohi kaum Yahudi bahkan kaum Quraisy telah terlebih dahulu berpuasa pada hari tersebut sebagaimana yang disebut di dalam hadis di atas yang diriwayatkan oleh Aisyah RA. Oleh yang demikian, dapat diambil kesimpulan bahawa sunnah berpuasa 10 Muharram dimulakan oleh syariat Nabi Ibrahim sebelum diamalkan oleh kaum Yahudi. – Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, www.islamonline.net

Manakala kelebihan beramal pada 10 Muharram disebut di dalam satu hadis yang bermaksud : “Sesiapa yang meluaskan (memudahkan urusan) ke atas dirinya serta ahlinya pada hari ‘asyura, Allah SWT akan meluaskan padanya sepanjang tahun..” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Ibnu Abdil Barr. Hadis ini mempunyai sanad-sanad yang lain namun dikatakan kesemuanya ialah sanad yang dhoif. Bagaimanapun jika digabungkan sebahagiannya dengan yang lain, ia boleh diterima sebagai hadis yang kuat. – Syeikh Sayyd Sabiq, Fiqhus-Sunnah.

Adapun amalan masyarakat Melayu kita yang merayakan hari ‘asyura dengan mengadakan program membuat bubur ‘ayura adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW. Apatah lagi jika dinisbahkan perbuatan tersebut kepada Nabi Nuh AS dengan mendakwa bahawa Nabi Nuh AS membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah satu dakwaan yang sama sekali tidak mempunyai sandaran di dalam agama. Oleh yang demikian, jika tetap mahu diadakan program membuat bubur tersebut, perlulah diyakini bahawa ia tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Manakala membuat bubur itu sendiri seandainya diyakini datang daripada sunnah Rasulullah SAW atau Nabi Nuh, maka ia adalah kepercayaan yang karut dan perlu diperbetulkan. Wallahu a’lam.

Ahmad Fadhli bin Shaari

Kaherah, Mesir.

28 Februari 2004



Sumber: ahmadfadhli.com.my


Wednesday, December 23, 2009

Rakaman Ceramah Perdana Dr. Yusof al-Qaradhawi, Shah Alam, 19 Dis 2009

Al-hamdulillah, setelah beberapa hari membelek-belek web Youtube, mencari rakaman ceramah Dr. Yusof al-Qaradhawi di Shah Alam baru-baru ini, akhirnya saya mendapatinya melalui pihak TVSUNNAH2. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga buatnya, jazahullahu khaira, Allahu yubariku fiih atas jasa yang mulia ini.


Sunday, December 20, 2009

Bersama as-Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi, di Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor

Salam buat semua...
Salam Ma'al Hijrah

Saya begitu cemburu terhadap insan-insan di tanahair yang berduyun-duyun memburu tokoh yang terkenal ini as-Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi, berjumpa mata dengan beliau lalu mengutip mutiara-mutiara kata yang tidak ternilai harganya. Mereka menghirup udara Islam bersama as-Sheikh serta dapat memakan buah-buah manis yang dihidangkan olehnya.

Oh Tuhan, rindunya aku untuk hidup bersama para ulama'!

Di sini saya dapat mengambil sedikit info dan gambar dari rakan facebook tentang program ceramah perdana bersama as-Sheikh yang telah berlangsung pada 19 Dis 2009 bersamaan 02 Muharram 1431H, di Masjid Negeri, Shah Alam. Kehadiran jamaah yang begitu ramai membuktikan betapa unggul dan hebatnya ulama' tersohor dunia Islam hari ini.

Majlis julung-julung kali yang diadakan di Masjid Negeri itu turut dihadiri oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor), YB Dato' Hassan Ali (Exco Hal Ehwal Islam), YB Dato' Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Ekonomi Negeri Selangor), YB Tuan Guru Haji Abduk Hadi Awang, beberapa orang bekas Mufti, tokoh-tokoh ulama' dan para 'ilmuan serta para ustadz, da'i, pendakwah, penceramah dan aktivitis Islam serta para jama'ah Muslimin dan Muslimat. Ada yang datang sejuah Singapura semata-mata untuk bertemu dengan as-Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi.

As-Sheikh menceritakan bagaimana kita perlu melahirkan umat Islam yang benar-benar beriman walau apa juga bidang yang beliau ceburi, samada dia seorang peniaga, pedagang, tentera, pekerja 'am, guru dan lain-lain, iman perlu ditanamkan kepada seluruh jiwa umat Islam. Kita perlu lahirkan golongan saperti Saidina Abu Bakr, Saidina 'Umar, Saidina Ali, Saidina Abdul Rahman 'Auf, Saidina Sa'ad Abi Waqqas dan ramai lagi. Hanya dengan iman yang kental umat Islam akan berjaya di dunia dan akhirat.

Beliau juga menyentuh tentang perjuangan membebaskan al-Masjidil Aqsa. Ia adalah tanggungjawab setiap umat Islam tidak kira di mana dia berada, dan apa juga kedudukannya untuk berjuang membebas dan membuka semula al-Masjidil Aqsa.

Ceramah as-Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi yang mengambil masa hampir 1 1/2 jam itu disampaikan dalam bahawa 'arab dan diterjemahkan oleh Sahibul Fadhilah Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, mantan Presiden Persatuan Ulama' Malaysia. Kehadiran jama'ah yang begitu ramai sehingga terpaksa berasak di depan tempat ceramah. Ramai juga yang terpaksa berdiri. Selepas majlis ceramah dan solat 'isya, ramai yang bersalaman dan mengambil gambar dengan beliau.

Moga kehadiran Sahibul Fadhilah as-Sheikh Dr. Yusof al- Qaradhawi ke Malaysia akan membawa sinar harapan baru kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan di dunia umumnya.


Salam Ma'al Hijrah 1431H



"Berhijrah Demi Peng'abdian
Kepada Yang Maha Gagah"




Thursday, December 17, 2009

Sayangi Dan Bersyukurlah Dengan Kehadiran Seorang Yang Bergelar Suami




SUATU PERJALANAN


"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan."

Teringat pesan ayah di suatu petang...

"Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.

SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud:

"Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka". Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?" Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami."

Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.

YANG LEBIH, YANG KURANG

"Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa," luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.

"Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap," jawab saya supaya dia buka mata.

"Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali 'memandang tinggi' kehadiran seorang suami.

ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

"Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh,
ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."

Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan.

Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.

Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, "Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini."

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..

"The only real mistake is the one from which we learn nothing..."


Sumber: facebook.com




Sunday, December 13, 2009