Tuesday, April 27, 2010

Jadikan Dikir Barat Platfom Sebar Dakwah: TGNA

KOTA BHARU, 27 Apr – Dalam usaha untuk mendekati golongan masyarakat pelbagai lapisan bagi menyebarkan dakwah, pelbagai langkah telah diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan(JHAEIK) melalui Unit Dakwah Halaqat di sepanjang pemerintahan Kerajaan di bawah kepimpinan ulamak.

Selain menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah, kini Unit Halaqat turut menjadikan hiburan dikir barat sebagai perintis dalam mendekati golongan sasar kearah membawa mereka mendekati ajaran Islam.

Perasmian kumpulan dikir barat Unit Halaqat telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini bertempat di Balai Islam Lundang .

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Exco negeri dan Wakil Rakyat. Hadir sama Pengarah JHAEIK Datuk Mohd Azamli Jamaluddin dan Pengelola Halaqat negeri Abdullah Abdul Razak.

Menteri Besar ketika berucap melahirkan rasa gembira kerana unit halaqat negeri berjaya mewujudkan satu kumpulan dikir barat dan ini boleh menangkis Islam menyekat hiburan seperti yang diketahui umum.

“Alhamdulillah dengan adanya pendekatan melalui hiburan dalam menyampaikan dakwah , ia boleh menghakis dakwaan sesetengah pihak yang Islam menyekat hiburan. Hiburan memang ada dalam Islam, saya sendiri suka berhibur tetapi dengan cara berkebun bunga dan melihat keindahan alam sekitar”kata beliau.

Nik Aziz juga berkata dalam zaman sekarang ini, pendekatan dakwah perlulah juga berubah mengikut keadaan dan golongan pendakwah seharusnya tidak menyempitkan cara berdakwah dengan berada di masjid sahaja.

“Saya juga berharap agar golongan pendakwah dapat sama-sama berada di tengah-tengah masyarakat seperti di kedai-kedai kopi, di ladang maupun di di bendang padi dan Rasulullah sendiri pernah ke dalam pasar dan menyaksi keadaan jual beli disitu”katanya lagi.

Beliau juga berharap dengan adanya kumpulan dikir ini, Halaqat akan dapat memperluaskan siri dakwahnya dengan memasukkan perkara yang boleh membawa kepada kebaikan di dunia dan di Akhirat.

Sebelum itu, Pengelola Halqat negeri Abdullah Abdul Razak berkata Halaqat yang kini mempunyai tenaga seramai 3177 orang terdiri dari penceramah dan Guru al-Quran bergerak sepanjang masa dalam menyebarkan dakwah kepada umat Islam di negeri ini.

Melalui guru-guru Al-Quran ini secara puratanya pada setiap tahun dapat melahirkan pelajar yang khatam Al-Quran seramai 4200 orang.

Menurut beliau penubuhan Kumpulan Dikir Barat Halaqat ini adalah cetusan idea dari Tuan Guru sendiri dan penubuhan secara serius bermula pada awal tahun 2009.



No comments: