Wednesday, July 28, 2010

Kalam Hikmah TGNA: Hubungan Kita Dengan Allah


Bukan mudah untuk meminta sesuatu dengan Allah... Sebagai contoh, kalau kita ke rumah orang yang berpangkat besar, seperti ke rumah penghulu, rumah D.O atau Menteri Besar dan sebagainya, bila mereka kata: datang esoklah, maka kita pun kena balik. Untuk berjumpa dengan mereka ada waktu pejabatnya.

Namun, Allah Yang Maha Agung, yang lebih besar pangkatnya dari manusia ini mempunyai sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, datanglah berjumpa dengan Allah pada pukul berapa sekalipun, tengahari dan tengah malam pun, tidak ada masa pintu pejabatnya ditutup, bahkan sentiasa terbuka untuk hamba-hambanya. Mintalah apa-apa pun Allah pasti Maha Mendengar...


Nabi kita Sallallahu 'alaihi wa Sallam berasa seronok bila dapat bersembahyang kerana dapat bercakap dengan Allah Ta'ala. Orang zaman sekarang ni, bercakap dengan perempuan kekasihnya melalui telefon berjam-jam walaupun dikenakan bayaran. Tersengih-sengih di tepi jalan, dan kadang-kadang tersepak orang lain kerana asyik dengan perbualannya itu. Sedangkan perempuan itu tak tentu lagi, dia nak padanya atau tidak, tetapi dah dihabiskan duit untuk pembayaran telefon.

Kenapa kita dengan Allah tak nak pula? Dengan Allah tentulah akan sentiasa meraikan kita, tetapi kita buat tak peduli denganNya. Itulah kita, tidak pandai, tidak kenal Allah, Tuhan kita. Bagaimana nak kenal Allah kalau kita tidak belajar?!


[Petikan Kuliah Maghrib Sambutan Isra' dan Mikraj di Masjid an-Naim, Kota Bharu, oleh: YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tarikh: 20 Julai 2010
]



No comments: