Friday, January 29, 2010

Meluahkan Rasa Rindu Yang Terpendam

Gambar: Kredit untuk Umme Ayman

Tanggal 17 Januari yang lalu, merupakan hari terakhir aku berdepan dengan kertas peperiksaan. Aku memandang anak-anak, memerhatikan mereka yang bertungkus lumus membaca kitab masing-masing. Aku kasihankan mereka, masing-masing menggagahkan diri menghadapi peperiksaan dalam musim kesejukan. Mulutku tidak lekang terus menyuntik semangat pada mereka dalam mengharungi dunia pembelajaran.

18 Januari, selepas zohor merupakan hari kemerdekaan kami sekeluarga. Alhamdulillah, aku cukup lega, melihat anak-anak riang ria. Mereka berehat seketika...


"Fikirkan program-program masa cuti ni, jangan menghabiskan cuti dengan beriba tangan saja", aku melontarkan ayat pada anak-anakku. Kemudian mereka mula memberikan cadangan itu dan ini...Aku tersenyum, seronok dengan buah fikiran mereka.

Al-hamdulillah sekali lagi, cuti pada kali ini aku dijemput oleh anak-anak Mu'tah untuk membentangkan ucapan tentang pengertian hidup dalam dunia bahasa al-Quran sekaligus menerokai matan-matan Nahu dan Sorof. Aku sungguh gembira dengan jemputan itu, bukan gembira kerana jemputan tetapi gembira kerana ingin berkongsi cinta dengan mereka pada kalam Tuhan.


Lalu aku memberitahu anak-anak tentang jemputan tersebut. Mereka sungguh gembira dan cukup ceria kerana ingin mengembara di bumi sahara sana. Mereka bertungkus-lumus membantuku dalam menyiapkan 'slide show' untuk pembentangan dalam program yang akan diadakan. Oleh kerana program daurah akan dilaksanakan selama dua hari, maka banyaklah juga persiapan diperlukan.

Kami turun pada hari Sabtu yang lepas, sebaik sahaja selesai solat Maghrib, meredah malam yang sangat sejuk. Namun, kerana sebuah perjuangan dakwah bahasa al-Quran, kerana ukhuwwah yang berpanjikan pada Islam, kesejukan diketepikan, tatapan cinta kami kedepankan.


Sampai di Mujamma' Janub, kami terus menaiki bas ke Mu'tah. Aku tersenyum melihat gelagat penduduk Arab. Ku perhatikan gaya bahasa mereka, isyarat mereka dalam berkomunikasi, pergaulan mereka, serta budaya hidup yang cukup berlainan dengan budaya aku sebagai orang Melayu Malaysia. Oh Tuhan, betapa 'azhimnya diriMu, mampu menciptakan makhluk yang bernama manusia dengan kepelbagaiannya.

Di Mu'tah aku sentiasa diperkukuhkan ukhuwwah dengan akhawat di tiga rumah itu. Rumah cinta pertama di bumi Mu'tah yang ku gelarnya. Semoga Allah melimpahi rahmat buat kalian semua.

Pada 24 Januari bermulalah program daurah
. Al-hamdulillah ramainya anak Mu'tah, mereka datang ingin mengetahui tentang dunia hidup dalam bahasa al-Quran. Slot yang pertama ku tekankan betapa pentingnya kita menguasai bahasa Arab. Apa peranan ilmu Nahu, Sorof dan Balaghah dalam kita menghayati kalam Tuhan, kata-kata Nabi kita Sallallahu 'alaihi wa sallam?.

Aku menghuraikan sedikit sebanyak pentingnya ilmu tersebut dalam kita memahami ayat-ayat dalam surah al-Fatihah, surah al-Lail dan beberapa ayat-ayat lain dalam al-Quran kitab yang agung itu.
Aku juga melontarkan mereka tentang peri pentingnya kita berpegang pada bahasa Arab Fusha di samping mengambil bahasa 'aammi (bahasa pasar) hanyalah sebagai bahasa untuk kita bertutur dengan masyarakat Arab yang tidak memahami bahasa fushanya, juga demi memahami pergaulan, adat dan budaya mereka sahaja.

Berusahalah untuk meningkatkan bahasa Arab fusha ini dengan mencari wasilah-wasilah yang baik dalam memperolehinya seperti menonton siaran-siaran muhadharah, khutbah, muqabalah, daurah dan sebagainya.


Kemudian daurah tersebut di sambung dengan slot memahami matan-matan Nahu al-Muqaddimah al-Aajurrumiyyah. Al-hamdulillah, mendapat interaksi dan sambutan yang menggalakkan dari anak-anak sana. Hari yang kedua ,25 Januari, daurah memahami matan tersebut di sambung lagi sehinggalah berakhir hampir waktu solat maghrib.


Aku cukup bersyukur pada Ilahi, akhirnya aku dikurniakan juga saat indah untukku meluahkan rasa rindu yang sudah lama terpendam di jiwa ini. Rindu untuk memberitahu insan betapa nikmat hidup dengan mengkaji ayat-ayat Tuhan. Terasa 'dalam' bila aku menyelam bicara-bicaraNya. Oh, dunia hidupku bersama muhadharah bahasa agung itu telah ku tinggalkan lebih dua tahun yang lalu. Moga-moga aku dipertemukan kembali.

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat penganjur persatuan sana. Mohon ampun, mohon maaf jika ada tersalah kata, tersilap bicara dalam masa kita bersua. Kenikmatan juga turut ku rasakan bila tautan ukhuwwah dieratkan. Mudah-mudahan cinta dan rahmat Tuhan sentiasa dicurahkan.

Tanggal 26 Januari, ku pulang ke tanah Amman setelah jauh berjalan, meletakkan sebuah pengharapan, meyakinkan sebuah impian, agar mereka yang bersegandingan tercetus rasa mahu mengenal kalamMu Tuhan, terdetik rasa ingin merintis sebuah perjuangan ulama silam yang semakin lama semakin ditinggalkan..Moga Allah mencurahkan kasih sayang buat hatiku yang sudah lama terpendam...Moga Dia jua menyebarkan belas kasihan buat insan yang mencari ketakwaan melalui dunia bahasa dan kesusasteraan.

Allahumma aameen.




1 comment:

Al-Fursan said...

Assalamualaikum..
terima kasih ustazah kerana sudi meluangkan masa dengan pelajar mutah.diharapkan pertemuan hari itu tidak hanya sekali.
kini kami lebih mencintai Bahasa Arab..insyaAllah...terima kasih yg tak terhingga kepada ustazah.