Friday, May 14, 2010

Tanahairku... Akhirnya Lesen Judi Dikeluarkan juga

Saya sangat terkejut dan kecewa bila membaca berita di Malaysiakini mengatakan kerajaan kita dengan rasminya mengeluarkan lesen judi untuk kejohanan bola sepak Piala Dunia.

Sebelum ni, saya banyak membaca ulasan-ulasan, pandangan-pandangan serta tazkirah-tazkirah dari banyak pihak menentang isu ingin mengeluarkan lesen judi ini. Namun, kerajaan buat 'pekak badak', tidak tersentuh hati pun dengan pandangan ramai.

Bila saya terdiam sejenak, hati ini berkata: Uh, Sebelum ni pun lesen judi sudah berlambak, lesen arak sudah bertimbun, lesen kelab malam berselerak, lesen rumah urut pun ada, lesen itu dan lesen ini yang terang-terang bercanggah dengan ukuran Islam pun 'tak cekak' nak kira dah. Jadi, lesen judi yang terbaru ni pun, apa salahnya pada pandangan mereka?

Tahniah buat anda yang menentang dan mengkritik isu pengeluaran lesen judi ini. Sama-sama bangkit demi perjuangan Islam!


Berita dari
malaysiakini.com:

Meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kerajaan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulandepan.

Menurut akhbar harian Cina, Sin Chew, menteri kewangan semalam secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan itu pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini.

BERJAYA akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak di negara ini yang mempunyai lesen.

Ia dijangka akan menggunakan lebih dua ratus kedai pertaruhan Toto yang dimilikinya itu untuk menerima pertaruhan.

Sebelum ini, ada pihak yang bimbang rangkaian kedai serbanika, 7-eleven yang juga dimiliki Kumpulan BERJAYA akan digunakan untuk tujuan yang sama.

Sin Chew memetik sumber yang berkata, masyarakat Islam akan dilarang daripada terbabit dengan pertaruhan bolasepak itu.

BERJAYA pada 11 Mei lalu memohon sahamnya di Bursa Kuala Lumpur digantung hari ini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang sementara menunggu pengumuman lanjut berhubung cadangan menaikkan modalnya.

Ketika dihubungi pegawai BERJAYA berkata kenyataan media akan dikeluarkan hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata tindakan kerajaan itu bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.




Monday, May 10, 2010

Saturday, May 1, 2010

Ayat - Ayat Cintaku


1) Tuhan... jutaan syukurku buatMu kerana Engkau memperkenalkan aku erti hidup dalam dunia cinta... Makin kuat ribut rindu menerpa, makin dalam aku menyelam dunia sastera cinta. Kerana sebuah cinta aku pasti menyokong perjuangan sucinya. Kerana sebuah cinta hatiku berkata: aku ingin mengharungi lautan gelora bersamanya demi satu senyuman manis bak gula, mengharapkan redha dan emas cinta dariMu Tuhan...Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa.


2) Hidup dalam dunia rindu menjadikan aku kenal erti hidup bergantung padaMu wahai Tuhanku. Hidup dalam dunia cinta menjadikan aku mengharapkan cinta itu dariMu wahai Yang Maha Perkasa. Hidup dalam dunia berdikari ini menjadikan aku rasa Engkau Yang Maha Melindungi diri. Hidup dalam dunia mujahadah menjadikan aku rasa kerdil di depanMu Yang Maha Gagah. Ya Allah... kasihanilah diriku, siapalah aku tanpa ada tarbiyyah dariMu.


3) Mendengar kicauan burung-burung, menyemarakkan rasa rindu dalam hati yang terkurung, betulkah aku masih berpijak di bumi Urdun? atau dilambung ke singgahsana yang akan berkunjung?...Nun di sana, nostalgia di kota metropolitan, aku diperkenalkan tentang siapa Tuhan?... Ku gagahkan semangat demi sebuah pengharapan, hati berpautkan pada sebuah kuasa yang tidak pernah padam, tetap ku katakan 'na'am', mengiakan padaNya yang mampu menyelesaikan segala keinginan, demi Islam yang ku impikan.


4) Salam perjuangan dari Dataran Syam buat insan yang bernama mujahid Islam, gelaran permaisuri telah ku kecapi kepada sang raja yang tidak pernah berdiam diri, mengisi laluan hari dengan memperkasakan diri, ingin melihat Islam terus tegak berdiri. Aku cukup redha, berasa bahagia pula bila sang ketua memadukan naibnya dengan perutusan dari langit sana, berbekalkan sehati sejiwa bertemakan sebuah cinta menuju ke alam syurga.


5) Lakaran ayat-ayat cinta buatmu di medan perang sana, sedang berentap di hujung kota menghunus pedang Laksamana, memerangi syaitan bertopengkan manusia yang menjunjung dunia sekularisme. Dariku seorang wanita, anak desa Cik Siti Wan Kembang namanya. Di sebalik tabir cucuran air mata tanda kerinduan pada perjuangn yang nyata, sambil mengintai di jendela dunia pada sebuah jihad sana. Pautlah hatiku jua untuk terjun bersama dalam meneruskan perjuangan Baginda demi meninggikan kalimahNya.



6) Kawan yang ku cari ialah insan yang mampu bersamaku, mendorongku untuk mengenali Tuhan. Namun, tidak ramai manusia sedemikian. Mereka asyik dengan keunggulan dunia yang sementara, tidak habis-habis nak ditelan, langsung tidak pedulikan batasan-batasan yang telah dibentangkan. Wahai Tuhan, anugerahkanlah aku kawan-kawan yang boleh mencetuskan rasa cinta padaMu, jauhkanlah jua dari mereka yang akan melenyapkan kasih dan rinduku pada makrifatMu.


7) Anak-anakku... Biarlah kita sedikit asalkan kita kuat, biarlah kita kecil asalkan kita riang, biarlah kita kerdil asalkan kita berkesatuan... Aku melontar engkau menyambut, aku senyum engkau gembira, aku seronok engkau bahagia, aku sayang engkau cinta... Moga-moga Allah curahkan rahmat buat kita semua.


8) Bukankah kita ada ALLAH untuk meluahkan segala rahsia?!, bukankah kita ada Dia untuk mengharapkan segala cita-cita?! Dengan bismillah kita bermula, ikhtiar dan usaha dengan segigihnya, lantas pacakkanlah kalimah tawakkal yang melangit tingginya pada Yang Maha Agung, Tuhan Yang Maha Hidup, tidak akan mati selama-lamanya.



Tuesday, April 27, 2010

Jadikan Dikir Barat Platfom Sebar Dakwah: TGNA

KOTA BHARU, 27 Apr – Dalam usaha untuk mendekati golongan masyarakat pelbagai lapisan bagi menyebarkan dakwah, pelbagai langkah telah diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan(JHAEIK) melalui Unit Dakwah Halaqat di sepanjang pemerintahan Kerajaan di bawah kepimpinan ulamak.

Selain menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah, kini Unit Halaqat turut menjadikan hiburan dikir barat sebagai perintis dalam mendekati golongan sasar kearah membawa mereka mendekati ajaran Islam.

Perasmian kumpulan dikir barat Unit Halaqat telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini bertempat di Balai Islam Lundang .

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Exco negeri dan Wakil Rakyat. Hadir sama Pengarah JHAEIK Datuk Mohd Azamli Jamaluddin dan Pengelola Halaqat negeri Abdullah Abdul Razak.

Menteri Besar ketika berucap melahirkan rasa gembira kerana unit halaqat negeri berjaya mewujudkan satu kumpulan dikir barat dan ini boleh menangkis Islam menyekat hiburan seperti yang diketahui umum.

“Alhamdulillah dengan adanya pendekatan melalui hiburan dalam menyampaikan dakwah , ia boleh menghakis dakwaan sesetengah pihak yang Islam menyekat hiburan. Hiburan memang ada dalam Islam, saya sendiri suka berhibur tetapi dengan cara berkebun bunga dan melihat keindahan alam sekitar”kata beliau.

Nik Aziz juga berkata dalam zaman sekarang ini, pendekatan dakwah perlulah juga berubah mengikut keadaan dan golongan pendakwah seharusnya tidak menyempitkan cara berdakwah dengan berada di masjid sahaja.

“Saya juga berharap agar golongan pendakwah dapat sama-sama berada di tengah-tengah masyarakat seperti di kedai-kedai kopi, di ladang maupun di di bendang padi dan Rasulullah sendiri pernah ke dalam pasar dan menyaksi keadaan jual beli disitu”katanya lagi.

Beliau juga berharap dengan adanya kumpulan dikir ini, Halaqat akan dapat memperluaskan siri dakwahnya dengan memasukkan perkara yang boleh membawa kepada kebaikan di dunia dan di Akhirat.

Sebelum itu, Pengelola Halqat negeri Abdullah Abdul Razak berkata Halaqat yang kini mempunyai tenaga seramai 3177 orang terdiri dari penceramah dan Guru al-Quran bergerak sepanjang masa dalam menyebarkan dakwah kepada umat Islam di negeri ini.

Melalui guru-guru Al-Quran ini secara puratanya pada setiap tahun dapat melahirkan pelajar yang khatam Al-Quran seramai 4200 orang.

Menurut beliau penubuhan Kumpulan Dikir Barat Halaqat ini adalah cetusan idea dari Tuan Guru sendiri dan penubuhan secara serius bermula pada awal tahun 2009.



Saturday, April 3, 2010

Ayat - Ayat Bahagia ( 4 )



1) Ikhwah- akhawat, sahabat-sahabat... Ketahuilah, bila emosi cinta menguasai logik cinta, maka cinta pada yang Maha Pencipta cinta kan dipandang dengan sebelah mata. Namun, bila emosi cinta diselarikan dengan logik cinta disaluti dengan taqwa cinta, maka cinta pada manusia kan melandasi undang-undang Pencipta kita demi matlamat cinta, berbahagia hingga ke syurga.


2) Hebatnya Allah... Tuhan Pencinta yang menjiwai erti cinta, mampu mencampakkan gelombang ruh cinta pada kedua-dua insan yang menggali makna cinta di sebalik tabir alam maya, saling memahami cinta yang tersirat di dunia penulisan cinta, mencantumkan rasa cinta di dalam sebutir hati cinta tanpa wujud cinta bersua muka yang dipenuhi dengan noda dan dosa. Sebuah pengharapan pada Yang Maha Kuasa kerana aku adalah hamba biasa, sentiasa mendambakan cinta yang sungguh luar biasa.


3) Wahai Allah... Aku ingin kenal diriMu... Bila ayat-ayatMu dibaca dan ditiupkan pada hati ini, lembik segala urat sendi, rebah melutut anggota diri, kecut menggigil lubuk hati, hangatan air mata mencucuri pipi... Persembahkanlah makrifatMu pada kuliMu ini ya Allah... ya Arhama ar-Rahimin.


4) Ramai yang berkata dan memang realitinya: Wanita sebelum berkahwin ada banyak sifat malunya, setelah berkahwin, malunya itu terbang melayang entah ke mana... tiada tapisan dalam percakapan, tiada brek dalam tindakan... Aku berlindung dengan Allah dari hilangnya sifat malu, jua aku memohon dengan Allah agar menetapkan sifat malu yang indah itu pada jiwaku, menjadi pakaian serta hiasan buat diriku.



5) "Bagaimanakah anak-anak gadis hari ini? Adakah wanita hari ini masih dalam sifat malu atau mereka telah meninggalkan rasa malu mereka? Adakah idola mereka itu masih Fatimah Az-Zahraa', Khadijah al-Kubra dan 'Aisyah ar-Ridha? Ataupun idola mereka si fulan atau si dia yang meninggalkan rasa malu dan meninggalkan agamanya? Jagalah rumahtanggamu, inilah simbolik bagi kehidupan Rasulullah dalam rumahtanggamu." [as-Sheikh Maulana al-Habib Ali al-Jifri]


6) Bila kita hidup diselami nikmat Allah, senang dalam memperolehinya, boleh jadi kita akan merasakan ianya satu perkara biasa, nikmat yang selalu dimiliki ramai. Sebaliknya, jika kita diuji oleh Allah, ditegah dari memperolehinya, dihalang untuk beberapa tika, akhirnya kita dianugerahiNya jua, sudah tentu kita akan merasai betapa bernilainya nikmat itu, betapa hebatnya Pencipta nikmat itu. Moga Allah menjdikan kita sebutir hati yang sentiasa kagum dan bersyukur dengan nkmat-nikmatNya.


7) Bila Allah kata jadi, maka jadilah. Tiada siapa yang boleh menghalangNya, tak ada kuasa yang mampu mengatasi kuasaNya, tiada kerajaan yang handal menandingi kehandalanNya, hebatnya Pencipta aku... aku cukup terhutang budi denganMu... Tiada
kecewa hidup berpautkan padaMu, semakin ku cariMu semakin luas Kau tarhib aku... Allah Tuhanku... tarbiyyahlah aku sebagaimana Kau tarbiyyah insan-insan kesayanganMu... aamin, ya Rabbal 'Aalamin.


8) Sambil menerima, sambil memberi, kerana memberi itu lebih baik dari menerima, walaupun kesanggupan menerima itu cukup bermakna bagi si pemberi derma... namun, bak kata orang dengan perkongsian lahirnya rasa kasih- sayang.




Wednesday, March 31, 2010

Facebook: Photos & Tagging Yang Mengundang Dosa


Oleh: Abu Umair


Ketika mula-mula saya mendaftar dan menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘. Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.

Fungsinya, pengguna Facebook yang muat naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘ iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut. Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi pengguna lain yang ditanda.

Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.

Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.

Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.

Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.

Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.

Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.

Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.

Amat malang orang yang dibebankan dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya menyebarkan gambar yang demikian.

Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.