Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Friday, May 14, 2010

Tanahairku... Akhirnya Lesen Judi Dikeluarkan juga

Saya sangat terkejut dan kecewa bila membaca berita di Malaysiakini mengatakan kerajaan kita dengan rasminya mengeluarkan lesen judi untuk kejohanan bola sepak Piala Dunia.

Sebelum ni, saya banyak membaca ulasan-ulasan, pandangan-pandangan serta tazkirah-tazkirah dari banyak pihak menentang isu ingin mengeluarkan lesen judi ini. Namun, kerajaan buat 'pekak badak', tidak tersentuh hati pun dengan pandangan ramai.

Bila saya terdiam sejenak, hati ini berkata: Uh, Sebelum ni pun lesen judi sudah berlambak, lesen arak sudah bertimbun, lesen kelab malam berselerak, lesen rumah urut pun ada, lesen itu dan lesen ini yang terang-terang bercanggah dengan ukuran Islam pun 'tak cekak' nak kira dah. Jadi, lesen judi yang terbaru ni pun, apa salahnya pada pandangan mereka?

Tahniah buat anda yang menentang dan mengkritik isu pengeluaran lesen judi ini. Sama-sama bangkit demi perjuangan Islam!


Berita dari
malaysiakini.com:

Meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kerajaan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulandepan.

Menurut akhbar harian Cina, Sin Chew, menteri kewangan semalam secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan itu pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini.

BERJAYA akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak di negara ini yang mempunyai lesen.

Ia dijangka akan menggunakan lebih dua ratus kedai pertaruhan Toto yang dimilikinya itu untuk menerima pertaruhan.

Sebelum ini, ada pihak yang bimbang rangkaian kedai serbanika, 7-eleven yang juga dimiliki Kumpulan BERJAYA akan digunakan untuk tujuan yang sama.

Sin Chew memetik sumber yang berkata, masyarakat Islam akan dilarang daripada terbabit dengan pertaruhan bolasepak itu.

BERJAYA pada 11 Mei lalu memohon sahamnya di Bursa Kuala Lumpur digantung hari ini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang sementara menunggu pengumuman lanjut berhubung cadangan menaikkan modalnya.

Ketika dihubungi pegawai BERJAYA berkata kenyataan media akan dikeluarkan hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata tindakan kerajaan itu bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.




Tuesday, April 27, 2010

Jadikan Dikir Barat Platfom Sebar Dakwah: TGNA

KOTA BHARU, 27 Apr – Dalam usaha untuk mendekati golongan masyarakat pelbagai lapisan bagi menyebarkan dakwah, pelbagai langkah telah diambil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan(JHAEIK) melalui Unit Dakwah Halaqat di sepanjang pemerintahan Kerajaan di bawah kepimpinan ulamak.

Selain menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah, kini Unit Halaqat turut menjadikan hiburan dikir barat sebagai perintis dalam mendekati golongan sasar kearah membawa mereka mendekati ajaran Islam.

Perasmian kumpulan dikir barat Unit Halaqat telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini bertempat di Balai Islam Lundang .

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Exco negeri dan Wakil Rakyat. Hadir sama Pengarah JHAEIK Datuk Mohd Azamli Jamaluddin dan Pengelola Halaqat negeri Abdullah Abdul Razak.

Menteri Besar ketika berucap melahirkan rasa gembira kerana unit halaqat negeri berjaya mewujudkan satu kumpulan dikir barat dan ini boleh menangkis Islam menyekat hiburan seperti yang diketahui umum.

“Alhamdulillah dengan adanya pendekatan melalui hiburan dalam menyampaikan dakwah , ia boleh menghakis dakwaan sesetengah pihak yang Islam menyekat hiburan. Hiburan memang ada dalam Islam, saya sendiri suka berhibur tetapi dengan cara berkebun bunga dan melihat keindahan alam sekitar”kata beliau.

Nik Aziz juga berkata dalam zaman sekarang ini, pendekatan dakwah perlulah juga berubah mengikut keadaan dan golongan pendakwah seharusnya tidak menyempitkan cara berdakwah dengan berada di masjid sahaja.

“Saya juga berharap agar golongan pendakwah dapat sama-sama berada di tengah-tengah masyarakat seperti di kedai-kedai kopi, di ladang maupun di di bendang padi dan Rasulullah sendiri pernah ke dalam pasar dan menyaksi keadaan jual beli disitu”katanya lagi.

Beliau juga berharap dengan adanya kumpulan dikir ini, Halaqat akan dapat memperluaskan siri dakwahnya dengan memasukkan perkara yang boleh membawa kepada kebaikan di dunia dan di Akhirat.

Sebelum itu, Pengelola Halqat negeri Abdullah Abdul Razak berkata Halaqat yang kini mempunyai tenaga seramai 3177 orang terdiri dari penceramah dan Guru al-Quran bergerak sepanjang masa dalam menyebarkan dakwah kepada umat Islam di negeri ini.

Melalui guru-guru Al-Quran ini secara puratanya pada setiap tahun dapat melahirkan pelajar yang khatam Al-Quran seramai 4200 orang.

Menurut beliau penubuhan Kumpulan Dikir Barat Halaqat ini adalah cetusan idea dari Tuan Guru sendiri dan penubuhan secara serius bermula pada awal tahun 2009.



Sunday, November 15, 2009

Kesabaran Membawa Kejayaan: Cabaran Seorang Doktor Falsafah

Oleh: Izyan Liyana Mohd. Darif

Mereka yang berjaya menamatkan pengajian hingga ke peringkat Ph.D menceritakan bahawa laluannya bukan mudah dan penuh dengan ranjau berduri. Namun, apakah yang menyebabkan mereka nekad?

SUDAH tiga kali dia mengelilingi Bulatan Bistari berhampiran Seksyen 2, Shah Alam, Selangor. Dr. Siti Zabedah Mohd. Shariff, 53, seolah-olah sukar untuk menentukan arah yang hendak dituju. Semuanya menjadi serba tidak kena memandangkan di fikirannya hanya memikirkan kata-kata penasihat yang memintanya membaiki dan mempertingkatkan tesis Ph.Dnya.

Pada waktu itu Siti Zabedah mula resah dan kecewa. Pening memikirkan kaedah dan informasi tambahan yang diperlukan untuk memantapkan tesis berkenaan. Apatah lagi tempoh tamat pengajian semakin hampir sedangkan dia baru sahaja memulakan bab lima tesisnya.

"Proses pembelajaran di peringkat doktor falsafah (Ph.D) cukup memenatkan dan memeritkan. Sebelum ini saya pernah mendengar keluhan bahawa proses pengajian Ph.D cukup jauh berbeza dengan diploma, ijazah mahupun sarjana. Namun semangat yang berkobar-kobar untuk belajar saya tidak mengendahkan keluhan tersebut.

"Sebaliknya saya berazam untuk menempuh apa saja rintangan yang datang. Namun keazaman itu goyah seketika sebaik sahaja memasuki tahun kelima pengajian. Kesabaran saya diuji. Semakin hampir ke garisan penamat semakin kuat cabaran yang datang," imbas Siti Zabedah yang baru sahaja menerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah Sebaran Am, pada Istiadat Konvokesyen ke-71, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Kini pensyarah kanan jurusan kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu sudah mampu tersenyum. Pergelutan selama enam tahun melunaskan tesisnya membuahkan hasil.

Perjalanan

Namun dalam membiasakan diri dengan gelaran doktor falsafah, Siti Zabedah masih sukar melupakan keperitan yang dihadapi sepanjang proses pengajiannya.

Laporan tesis yang disusun rapi di atas rak buku sentiasa mengingatkan Siti Zabedah betapa payahnya untuk sampai ke tahap ini. Jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Muar, Johor itu proses pembelajaran peringkat Ph.D diibaratkan sebuah perjalanan persendirian. Segala-galanya perlu dilakukan sendiri tanpa bantuan teman mahupun orang sekeliling.

Dia menyifatkan ketika bergelar calon Ph.D, Siti Zabedah bagaikan berada di tengah-tengah antara peranan seorang pensyarah, keluarga, anak dan teman. Pada situasi tersebut semua aspek perlu diuruskan secara serentak tanpa membiarkan ada yang tercicir.

"Saya perlu bijak menguruskan masa. Setiap detik yang berlalu begitu berharga dan saya tidak pernah sia-siakan. Sebab itu selama tempoh pengajian, kehidupan saya bermula seawal pukul 4 pagi. Celik saja mata saya terus menuju ke komputer untuk menyiapkan laporan tesis. Idea-idea pada waktu pagi mencurah-curah memandangkan fikiran kita segar pada waktu itu.

"Tepat saja pada pukul 5.30 pagi saya menguruskan hal rumah tangga seperti mengemas rumah, membasuh baju dan paling utama memasak sarapan pagi dan hidangan tengah hari. Ini kerana selain suami dan anak-anak saya turut menjaga dan menguruskan kebajikan ibu yang sudah berusia dan uzur," jelas Siti Zabedah yang bergegas ke kuliah pada pukul 8 pagi dan tamat pukul 5 petang.

Seharian berada di kampus, Siti Zabedah yang pernah bertugas sebagai penyunting berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), selama 17 tahun seboleh-bolehnya menyiapkan segala keperluan kuliah. Bermula daripada bahan-bahan pengajaran, tugasan atau soalan kuiz, Siti Zabedah mahu sempurnakan segala-galanya secepat mungkin.

Penulisan akademik

Ini kerana waktu di rumah hanya diperuntukkan untuk keluarga dan sebahagian besar menyiapkan laporan tesisnya.

Dalam pada itu dia sentiasa berusaha mencuri masa ke perpustakaan mencari buku dan jurnal untuk dibuat rujukan. Sehinggakan pada hujung minggu Siti Zabedah perlu mengorbankan waktu santainya dengan mengunjungi stesen televisyen yang menjadi bahan kajian tesisnya.


SITI ZABEDAH mengambil masa selama enam tahun untuk menghabiskan tesis Ph.Dnya.

"Tesis merupakan penulisan akademik. Ia tidak sama seperti penulisan rencana mahupun karangan. Setiap ayat yang ditulis perlu disokong dengan fakta dan contoh. Sebab itu setiap calon Ph.D sentiasa sibuk mencari bahan-bahan rujukan dan bukti bagi mendapatkan hasil tesis yang memberangsangkan," kata Siti Zabedah yang pernah berputus asa untuk meneruskan pengajian Ph.D.

Lebih-lebih lagi apabila keputusan itu diambil tatkala tempoh pengajian masuki tahun kelima. Ini kerana pada satu peringkat dia tidak dapat mengawal dan menguruskan banyak perkara secara serentak.

Enggan membiarkan diri merana kerana pengajiannya, Siti Zabedah tegar menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada penasihatnya untuk tidak meneruskan pengajian. Malangnya niat itu langsung tidak mendapat simpati sebaliknya dia 'dimarahi' kerana tempoh pengajian bakal tamat dalam tempoh setahun saja lagi.

Mengapa beliau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke tahap Ph.D, sedangkan pada awalnya dia mengerti keperitan yang bakal dialami? Jawapan Siti Zabedah cukup ringkas. Dorongan itu berpunca daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Usahanya meneruskan pengajian bagi menyahut cabaran KPT yang menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara memiliki Ph.D menjelang 2020.

Namun sebelum menamatkan bicara, Siti Zabedah sempat melahirkan rasa tidak puas hati kepada individu yang tidak bertanggungjawab membeli dan menghadiri konvokesyen di universiti luar negara tanpa menjalani proses pengajian sebenar.

"Ia tidak adil bagi kami yang bersusah payah dalam segala aspek. Sanggup mengorbankan masa dan tenaga semata-mata untuk memegang segulung Ph.D. Tetapi individu yang memiliki kelulusan palsu ini sangat rugi kerana tidak mempunyai kepakaran menghasilkan kajian dan tesis," katanya.


Sumber: kosmo.com.my


Thursday, August 6, 2009

TG Nik Aziz Seru Rakyat Berdoa Dijauhi Bala H1N1




KOTA BHARU, 5 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkiaskan, virus H1N1 yang semakin serius melanda negara hari ini adalah satu bala atas kemungkaran yang berlaku.

Bala ini katanya akan datang tidak mengira samada di kawasan itu ada golongan agama atau sebaliknya, semuanya akan ditimpa. Lebih-lebih lagi apabila ada golongan agama yang 'membisu' yang tidak mahu menegur atau menasihati kemungkaran yang berlaku, ujarnya sinis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini virus H1N1 yang melanda negara yang kini menyebabkan 12 kematian.

Beliau ditemui di pengkalan kapal, Pengkalan Kubor sebaik menyambut ketibaan delegasi MISI ROYALTI 2009 yang membuat pelayaran ke Pelantar Minyak Cakrawala, sempadan Malaysia Thailand 4 hingga 5 Ogos. Misi itu dikepalai Exco Kanan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

Bercakap lanjut mengenai isu H1N1, Tok Guru bagaimanapun berharap semua pihak berdoa kepada yang Pencipta selain berusaha dengan kaedah perubatan. Beliau turut mahu semua pihak berganding bahu bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan pusat, rakyat mahupun kerajaan-kerajaan negeri.

"Kita kena serah kepada Allah, bala ini bila mari (datang) dia jangan kata tak ada kena mengena dengan Tuhan, alim ulama sebut ia akan kena termasuk kepada orang baik, kerana apa? mungkin kerana dia tidak nasihat dan tak tazkirah.

"Oleh itu kita kena kerjasama semua sekali, rakyat mahupun kerajaan kena bekerjasama, jika tidak habis kena bala, bumi ini tuhan punya, justeru kita tidak boleh buat pandai-pandai," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, seorang lagi kanak-kanak, berusia enam tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka. Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka. Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas. Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat. Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu. Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran. Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai. Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).


Sumber: harakahdaily.net


Monday, June 15, 2009

Jenazah Dr. Fathi Yakan Selamat Dikebumikan

Oleh: Taman Ulama

Al-Jazeera melaporkan pada jam 12.19 (waktu Makkah Al-Mukarramah tadi bahawa ribuan umat Islam khususnya dari gerakan Islam menghadiri majlis solat jenazah Dr Fathi Yakan di Masjid Tinal di Tripoli, Utara Lubnan. Sebahagian daripada mereka tidak dapat masuk ke dalam masjid berkenaan. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan selepas solat asar kelmarin.

Di antara yang mengiringi jenazah beliau adalah wakil Presiden syria, ketua dewan rakyat Nabih Barri, pimpinan HAMAS Sami Khatir yang mewakili ketua Biro Politik HAMAS Khalid Masy'al, pimpinan pergerakan Jihad Islami Abu Imad ar-Rifaie, timbalan setiausaha agung Jemaah Islam Ibrahim Misti dan wakil dari Hizbullah.

Syeikh Malik as-Syiar yang mengimamkan jenazah beliau telah berkata:

إن طرابلس مدينة العلم والعلماء، ومعها العالم الإسلامي بأسره تودع رجلاً من كبارها وعلمًا من أعلامها رائد الحركة الإسلامية ومؤسسها، من أفنى عمره وحياته في سبيل الدعوة إلى الله عز وجل

"Sesungguhnya Tarablas adalah bandar ilmu dan ulama. Seluruh dunia Islam telah mengucapkan selamat tinggal kepada seorang tokoh dan panji Umat Islam. Beliau juga adalah pelopor dan pengasas bagi Gerakan Islam yang telah menghabiskan kehidupannya untuk berdakwah kepada Allah."

Perarakan menuju ke tanah perkuburan, bagaikan satu demonstrasi yang besar apabila mereka melaungkan slogan-slogan Islam dan kata-kata semangat. Subhanallah!

Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh. Amin.

Kehilangan ulama adalah satu musibah bagi Umat Islam dan tanda diangkatnya ilmu diakhir zaman. Hasan Basri berkata:

مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِي الإِسلامِ لاَ يَسُدُّهاَ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

"Matinya seorang alim adalah suatu lubang dalam Islam. Tidak akan dapat di tutup selama-lamanya." (Hr Darimi 329 dan Baihaqi dlm Syu'abul Iman 1719)

Sumber:
- http://ibnu-ismail.blogspot.com/
- http://akhisalman.blogspot.com/


Sunday, March 15, 2009

Kemiskinan Tidak Menghalang Kejayaan Seseorang

Terharu bila melihat kejayaan yang diperolehi oleh Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal dalam keputusan SPM baru-baru ini. Dengan 20A yang digondolnya itu membuktikan bahawa kehidupannya dalam kemiskinan sebagai seorang anak nelayan, yang juga sebagai pelajar sekolah agama Yayasan Islam Kelantan itu, tidak menghalang kejayaan dalam pembelajarannya.
Image
Apapun, saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Nik Nor Madihah, ibubapa sekeluarganya, serta pihak sekolah yang berkenaan. Moga-moga kejayaan anda akan berterusan hendaknya, dan sekaligus menjadikan contoh buat pelajar-pelajar lain.

KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18, mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan.

Anak nelayan dari Kampunug Sabak, Pengkalan Chepa menerima slip keputusan tersebut daripada anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah di sekolah tersebut hari ini.

Dengan keputusan itu Nik Nur Madihah juga meraih pelajar paling cemerlang di Kelantan dalam peperiksaan terbabit.

Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2). Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 memperolehi keputusan 17A.

Manakala Suhazlinda Ghazali diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila memperolehi pencapaian 10 mumtaz dalam peperiksaan itu tahun lepas.

Hadir sama pada majlis penuh bersejarah tersebut, ibu Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42 dan ayahnya Nik Mohammad Kamal.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ustaz Zakaria Mohamad dan penolong-penolong pengarah Yik, tenaga pengajar sekolah terbabit, pelajar serta ibu bapa serta pelajar cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah.

Mohd Amar ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, sebanyak 17 sekolah Yik memperolehi keputusan peperiksaan 100 peratus dalam SPM termasuk Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah yang pertama kali menduduki SPM.

Katanya, dua pelajar Maahad Tahfiz Sains mendapat 11A.

Image "Pencapaian keseluruhan membanggakan memandangkan tahun 2007 hanya 15 sekolah Yik memperolehi kelulusan 100 peratus," katanya.

Beliau juga berkata, seramai tiga pelajar memperolehi keputusan 13A, 11 orang (12A) dan lima orang (11A).

Kata beliau secara keseluruhannya pencapaian peperiksaan SPM 2008 meningkat sebanyak 2.45 peratus apabila melonjak kepada 98.01 peratus.

Mohd Amar juga meluahkan rasa kecewa apabila keputusan peperiksaan tersebut lewat diumumkan kerana kurang mendapat kerjasama pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN).

Difahamkan pegawai JPN melengah-lengah penyerahan slip keputusan sekolah agama kepada pegawai Yik yang datang mengambil keputusan tersebut pagi tadi.

"Tak perlulah kita nak sorok atau rahsiakan kejayaan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan. Apa salahnya kalau dimaklumkan awal kepada kami," ujarnya.

Mohd Amar juga berkata, antara rahsia kejayaan pelajar agama di bawah Yik kerana tidak pernah membelakangkan syariat dalam semua hal termasuk pendidikan.

"Namun sikap pihak tertentu yang memperlekehkan sekolah agama dan hari ini mereka melihat sendiri kejayaannya," kata beliau.


Friday, January 9, 2009

Bantahan Terhadap Israel: Syabas TG Nik Aziz!

KOTA BHARU, 9 Jan (Hrkh) - Ribuan umat Islam di sini mengadakan demonstrasi secara aman membantah kekejaman rejim haram Yahudi terhadap penduduk Islam di Palestin. Demonstrasi itu diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut sama disertai timbalannya, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud; Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim dan anggota Exco, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.

Menteri Besar turut membakar replika patung George W Bush dan Presiden Israel, Shimon Peres serta bendera Amerika Syarikat dan Israel.

Sebelum itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan orang ramai memijak gambar kedua-dua pemimpin yang diletak di atas jalan.

Demonstrasi itu dianjurkan Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Lajnah Kebajikan Badan Perhubungan PAS Negeri diadakan sebaik sahaja selesai kuliah mingguan Menteri Besar di Medan Ilmu.Image

Ribuan penduduk tempatan yang mengikuti kuliah sejak jam 8.30 pagi turut sama berdemonstrasi dengan melaungkan 'Allahuakbar, Hidup-Hidup Islam, Jahanam Israel dan Hancur Amerika.'

Demonstrasi itu merupakan kali kedua diadakan di Kelantan, minggu lepas pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dan Akademi Islam Universiti Malaya berhimpun di perkarangan Masjid Kampung Laut di Nilam Puri.

Sebaik sahaja tamat kuliah pagi Jumaat, teriak Hidup Islam, jahanam Israel dan hancur Amerika mulai kedengaran. Orang ramai kecil, besar, tua dan muda bersemangat meneriakkan perkataan tersebut.

Kebencian orang ramai begitu membuak terhadap kekejaman Yahudi yang merantah tubuh-tubuh tidak berdosa di Palestin melalui serangan tidak berperikemannusiaan, dilancarkan tentera Israel sejak akhir Disember lalu.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat mempelawa rakyat negeri ini mendaftar diri untuk pergi ke Palestin bagi membantu rakyat negara tersebut.

Image Katanya, beliau dan Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad sudah mendaftar menyertai misi bantuan ke Palestin.

Mohd Zaki yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan berkata, semua umat Islam tidak kira di mana mereka berada perlu menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Yahudi.

"Kita tidak boleh mengharapkan orang lain bagi membantu umat Islam di Palestin. Kita juga tidak boleh harapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Persidangan Negara Islam yang tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

"Oleh itu umat Islam wajib membantu dengan sekadar yang mampu melalui sumbangan yang dihulurkan kepada tabung yang dilancarkan pada majlis ini," katanya.

Beliau juga mengajak orang ramai mulai sekarang memboikot produk keluaran Amerika Syarikat dan negara-negara yang bersekongkol dengan Yahudi Israel.

Pada himpunan itu dibaca qunut nazilah yang diketuai Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Mohd Baharuddin Mohd Noor.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, salah satu cara bagi mengajar Israel dan Amerika Syarikat jangan membeli produk keluaran negara terbabit.Image

"Kita usah lagi membeli pisang kaki yang ditanam orang Yahudi di bumi Palestin yang dirampas mereka. Produk itu ada dijual di Singapura dan negara ini. Kita juga jangan lagi menggunakan Dollar Amerika dan beralih kepada matawang Euro atau Yen, Jepun.

"Coca Cola jangan lagi kita minum, umat Islam di Selatan Thailand sudah lama memulau minuman keluaran Amerika itu," katanya.

Sementara itu, ribuan umat Islam mengerjakan solat hajat di Masjid Muhammadi selepas menunaikan solat Jumaat memohon keselamatan kepada umat Islam di Palestin.

Selepas itu mereka memijak gambar Bush dan Shimon beramai-ramai, yang di letak di pintu masjid masjid.

Wednesday, December 31, 2008

Tragedi Gaza: Penutup Tirai 1429H- 2008M



Boleh dikatakan setiap tahun di akhir-akhir tahun, ianya akan diakhiri dengan tragedi yang sentiasa menjadi igauan ngeri penduduk dunia. Yang agak menghairankan, biasanya ia terjadi bermula dari hari Natal sehinggalah ke penghujung tahun. Kejadian tanah runtuh, gempa bumi, banjir, taufan dan sebagainya sentiasa menjadi hiasan penutup tirai tahun-tahun masihi. Paling teruk kejadian Tsunami pada akhir tahun 2004.

Tahun ini ia berlaku lagi. Serangan besar-besaran Yahudi di bumi barakah Semenanjung Gaza merupakan satu lagi episod ngeri penduduk dunia tahun ini, terutamanya penduduk Palestin.

Kejadian yang mengakibatkan 225 orang terkorban dan 700 lagi cedera parah itu (hari ini sudah melebihi 300 orang terkorban dan lebih 1000 orang yang cedera) mengejutkan dunia yang sedang galak bersiap-siap untuk menyambut 1430 Hijrah dan 2009 Masihi.



Suasana di bumi Yaman boleh dikatakan bergegar seketika ketika berita itu tersebar. Media-media arus perdana negara ini tidak putus-putus memberikan laporan-laporan terkini tentang keadaan semasa yang berlaku di Gaza. Tayangan-tayangan suasana kejadian diulang tayang berpuluh-puluh kali. Putus sana putus sini, mati sana mati sini, terbakar sana terbakar sini. Mayat-mayat bergelimpangan di tengah-tengah jalan. Yang nyawa-nyawa ikan melambai-lambai mengangkat tangan sambil bertakbir. Satu pemandangan sebenar yang mampu mengoyak-rabakkan jiwa sanubari siapa sahaja yang mempunyai nurani insani. Hampir semua imam-imam masjid di Yaman membacakan doa pada setiap kali iktidal akhir solat jamaah diselangi dengan seruan-seruan jihad harta dan darah selesai solat. Di mana-mana sahaja terdengar doa-doa memohon nusrah dan kemenangan dari bibir-bibir penduduk Yaman. Tak kurang juga cerca sumpah laknat terhadap Yahudi dan pemimpin-pemimpin bacul yang bertopengkan Islam. Laungan-laungan untuk menggerakkan rakyat Yaman keluar ke jalan-jalan raya berdemontrasi sudah panas kedengaran. Bagai tak sabar ingin menghantar isyarat merah kepada Yahudi. Islam pantang dicabar!. Rakyat Yaman bagai singa lapar yang terjaga dari tidurnya dek gigitan pepijat yang pedih terasa. Semuanya bersatu di atas satu nama ikatan ukhuwah Islamiah yang terbina. Taufan yang sama boleh dikatakan di seluruh tanah-tanah arab. Suatu sensitiviti agama dan bangsa yang sangat jarang terlihat di Malaysia.



Yahudi seperti biasa dengan bongkak dan angkuh menyatakan ini hanyalah permualaan sahaja. Saranan dan gesaan badan-badan besar dunia bagai bunyi lalat yang menghurung najis. Datang dan pergi begitu tanpa dibuat apa-apa. Pergerakan Fatah yang sudah lama menjadi karzai yahudi di Palestin pasti galak menyalahkan Hamas di atas semua yang berlaku dan menunggu untuk menerobos masuk merampas apa sahaja yang ada di tangan Hamas di bumi Gaza. Pemimpin-pemimpin berhidung tinggi arab sudah mula terkocoh-kocoh bermesyuarat. Tanah air sudah dibom pun masih sibuk nak bermesyuarat bagai tidak pernah terfikir untuk bersedia sebelum ini. 23 negara arab sudah pun dicabar Yahudi. Tapi dek kerana perut sudah memboyot termakan budi, langsung tak berani mengangkat hidung dan tegas menyatakan pendirian sebenar. Yang mampu hanyalah ber"mesyuarat" dan memberikan "sedikit" bantuan perubatan kepada mangsa. Bantuan kewangan pun selalu sahaja "bocor" tercicir di mana-mana. Nak mengemas kekuda mengayun langkah pencak membalas?!, jauh panggang dari api.



Saya bekesempatan mengikuti masirah atau demontrasi yang diadakan di Stadium Sukan Yaman pada hari ini. Hampir 10000 orang bersesak-sesak memenuhi ruang stadium tersebut, walaupun sebaran tentang demontrasi ini hanya mula diberitahu melalui SMS daripada Sabafon pada pagi ini. Gelombang kebangkitan Islam semakin lama semakin marak dirasa. Bergilir-gilir ucapan pemimpin samada kerajaan dan pembangkang menggegar ruang angkasa Yaman. Toleransi yang tersangat jarang terlihat di Malaysia. Ketika pemimpin kerajaan berucap, suaranya bagai tenggelam dek lautan suara umat manusia walaupun pembesar suara berkotak-kotak tersusun di ruang stadium. Tiada roh jihad, roh ukhuwah dan roh kebenaran. Sungguh berbeda antara bercakap dengan lidah dan bercakap dengan hati. Giliran Syeikh Abdul Majid Az Zindani berucap, laungan takbir menggegar suasana. Mursyidul Am Parti Islah (Parti Islam Yaman yang didokong oleh Ikhwanul Muslimin) itu betul-betul menyatukan suara umat Islam Yaman. Lambang-lambang Parti Kuda ( Parti Sosialis Yaman yang didokong oleh Presiden Yaman) yang dikibar-kibar di celah-celah lautan manusia sebentar tadi hilang menyorok tergulung entah ke mana. Inilah suara ulama. Suara kebangkitan Islam. Pelbagai saranan dan gesaan jantan terhadap Yahudi dan pemimpin-pemimpin Negara Arab. Yang paling jelas ialah desakan kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak supaya membuka Ma'bar Rafah. Sungguh tenang kalau demontrasi sebegini dapat berlaku di Malaysia. Tiada gangguan dari polis dan FRU. Malah pihak berkuasa sendiri yang menolong suasana demontrasi agar dapat berjalan dengan baik dan teratur. Orang Yaman yang "koboi" dan "kolot" ini nampaknya lebih demokrasi dari pemimpin-pemimpin Umno dan BN di Malaysia yang "maju" dan "moden"



Salah satu gimik yang agak menarik dapat saya lihat ketika demontrasi tersebut ialah seorang nenek tua berjubah hitam, lingkungan 70-an yang dibonceng anaknya dengan motosikal dilihat mengelilingi stadium sambil menggengam parang dan melaung kata-kata jihad. Yang lebih menarik, hampir seratus pemuda-pemuda Yaman bersama-sama berlari-lari anak menjerit semangat, menggalas replika peluru berpandu mengikuti nenek itu tadi. Para srikandi Yaman dilihat berkumpul beramai-ramai di kanan pentas utama tak henti-henti mengangkat tangan, mengibar sepanduk dan melaung seruan keamanan dan jihad fisabilillah. Subhanallah, semangat jihad yang tak mengira gender, taraf dan usia.



Peristiwa yang berlaku di akhir tahun Islam dan masihi ini bagai satu petanda kebangkitan Islam yang lebih marak pada tahun hadapan. Api intifadah baru bakal bermula. Yang pasti, kemenangan Islam sememangnya sudah dijanjikan. Yang dituntut hanyalah mengadakan sebab untuk itu. Umat Islam dunia sepatutnya sudah mula menjagakan diri mereka dari lena yang dicipta sendiri. Lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin Islam yang lena dalam jaga, bersemayam di kerusi-kerusi kerajaan. Kebanyakan umat Islam dunia sudah terjaga, cuma halangan pemimpin yang rakus menekan mereka. Tiada lagi waktu untuk mengharap perjanjian dan usaha damai antara Islam dan Yahudi kerana sememangnya telah diciptakan tidak ada redha meredhai antara keduanya. Permusuhan yang selamanya sehinggalah mereka beriman pada Allah yang Esa. Tidak ada lagi jalan bicara kecuali jihad harta dan nyawa.



Sumber: www.fahinsproperty.blogspot.com





Tuesday, December 9, 2008

Thursday, October 23, 2008

Senyum Kambing

Hari ini, Khamis, 23 Oktober 2008, saya ada membaca artikel mela lui akhbar Berita Harian tentang kekalutan politik yang berlaku dalam tanahair. Tersenyum saya dibuatnya.

Tajuk: Kenyataan sinis Rais hina Umno: Shahidan

KANGAR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan cadangan sinis Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan secara tender satu penghinaan kepada Umno.

Katanya, kenyataan Rais itu memalukan Umno apatah lagi dengan statusnya parti keramat yang mendokong dan memperjuangkan hak orang Melayu.

Sebagai tindak balas terhadap kenyataan itu, Shahidan secara sinis mencadangkan pencalonan Rais ditender RM1.

"Kita tahu beliau (Rais) ahli bahasa dan kenyataan sedemikian bukan perkara baru bagi beliau. Beliau sebelum ini pernah menggelar kumpulan mat rempit sebagai mat setan.

"Justeru, sebelum beliau ambil tindakan untuk tender Umno, saya cadangkan Rais sendiri ditender dan saya akan mulakan tender beliau dengan RM1. Jika beliau mahu tender parti juga, lebih baik beliau tender Semangat 46 yang beliau sertai dulu.

"Sebagai seorang menteri, Rais tidak patut membiarkan emosi dan rasa marah menguasai diri, sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian.," katanya di sini, semalam.