Monday, March 30, 2009

Good Luck For Your Exam



Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan:
'Selamat Menempuhi Peperiksaan Akhir Semester'
'Good Luck For Your Exam'
'Ma'a at-Taufiq wa an-Najah'


kepada:
anak-anak pelajar-pelajar
sahabat-sahabat
yang dikasihi


yang berada di bumi:
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


'Kecemerlangan Anda Membanggakan Saya'



Siti Hasliza Mat Yusoff
Sweileh, Amman.



Saturday, March 28, 2009

Berpolitik Tidak Kena Mengena Dengan Akhirat?

Soal jawab kolum Dato' Dr. Haron Din

SOALAN: Ada pandangan mengatakan masalah berpolitik dalam mana-mana pertubuhan politik adalah masalah duniawi dan tidak ada kena mengena dengan akhirat. Perkara dunia habis di dunia, itulah realitinya. Oleh kerana itu tidak timbul soal parti politik mana harus diikut, mana yang harus ditolak, semuanya sama, apa pandangan Dato? - MOHD MUNIR, (menerusi e-mel).

JAWAPAN: Tidak. Sama sekali tidak begitu. Islam adalah panduan hidup. Islam adalah cara hidup. Islam yang sebenar adalah yang tidak memisahkan di antara urusan dunia dan urusan akhirat.Kedua-duanya berjalan serentak. Ianya bergandingan antara satu sama lain. Dunia adalah jambatan ke akhirat, apa yang anda lakukan di dunia ini, akan diambil kira di akhirat.

Itulah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): "Maka sesiapa berbuat kebajikan meskipun seberat zarrah, nescaya akan diberi balasan di akhirat. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, meskipun seberat timbangan zarrah, akan diberi balasan di akhirat." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kerja-kerja manusia di dunia ini hanya ada dua jenis sahaja. Sama ada kerja baik atau kerja jahat. Kerja politik pun demikian juga. Ada politik baik dan ada politik jahat. Kerja politik adalah kerja besar dan berat. Guna dan kesannya juga amat besar.

Ada orang yang seluruh hidupnya dihabiskan dalam berpolitik, siang dan malam berpolitik. Maka rugilah dia jika Allah tidak mengambil kira perjuangan dan pengorbanannya itu, jika ia melakukan politik yang baik.

Dan, tidak adillah kepada Allah SWT jika dibiarkan orang yang melakukan politik jahat itu terus bermaharaja lela dan tidak dibalas di akhirat.

Kuasa politik adalah kuasa yang menentukan hala tuju negara. Rakyat akan terbawa ke dalam penghidupan yang diwarnakan orang politik yang diberi kuasa oleh rakyat.

Jika politik yang mementingkan parti dan kroni, maka untunglah yang mendapat habuan, manakala yang lain-lain akan menderita. Jika politik yang jujur serta ikhlas, berjuang untuk mengajak manusia memartabat dan melaksanakan hukum Allah, melaksanakan perintah Allah sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka akan untunglah insan yang akan mendapat ganjaran di akhirat.

Sekiranya politik itu zalim, yang berkuasa menindas rakyat dan mementing diri sendiri serta sanggup melakukan kezaliman, penindasan dan sebagainya, maka tentulah ada pembalasan di akhirat, atas perbuatan yang melanggar tatasusila dan undang-undang kemanusiaan yang wajib dipelihara.

Meskipun sudah ada penjelasan dalam media massa tentang Islam itu sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan tidak berpisah antara urusan dunia dan akhirat, tiada pemisahan itu dalam Islam, namun kekeliruan masih ketara.

Saya cadangkan bagi mereka yang meragui tentang hakikat ini, merenung kembali kepada ikrar dalam solat kita hari-hari yang dibaca dalam doa iftitah (mafhumnya): "Sesungguhnya solatku, ibadatku, cara hidupku dan matiku, semuanya dilakukan untuk Allah, Tuhan sekelian alam."

Setiap kali solat kita membuat pengakuan mutlak bahawa seluruh hidup kita semuanya kerana Allah, tidak ada yang lain hanya semata-mata kerana Allah.

Berpolitiklah untuk Allah, bukan kerana dunia. Meskipun urusan di dunia, tetapi hendaklah kerana Allah. Berpolitik melalui jalan yang diredai Allah.

Jika anda terbabit dengan politik yang menentang hukum Allah atau politik yang hendak dicapai itu bukan untuk memartabatkan agama Allah, maka ianya berlawanan dengan sifat manusia yang dijadikan sebagai khalifah Allah.

Oleh yang demikian, anda akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang anda lakukan.

Penderhakaan terhadap Allah adalah suatu jenayah agama yang amat besar. Allah mengingatkan kita dengan perintah-Nya seperti firman-Nya (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Jika sudah sesat maka Allah menyatakan lagi (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya disediakan di akhirat kelak neraka jahanam yang kekal mereka di dalamnya buat selama-lamanya." (Surah al-Jin, ayat 23)

Oleh kerana itu, berpolitiklah dengan politik yang betul, bukan main tangkap muat atau terikut-ikut atau terpengaruh dengan pujukan ahli-ahli politik yang tidak berpendirian.

Anda ada panduan yang boleh menentukan sendiri politik yang sebenar, mana yang memberi keuntungan dunia dan di akhirat, atau pun sekurang-kurangnya anda akan memperolehi keuntungan di akhirat jika anda berpolitik untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang suci murni. Wallahu a'lam.


Sumber: harakahdaily.net



Wednesday, March 25, 2009

Semoga Anakku Sembuh Kembali


Semalam, aku bercakap dengan anakku Nazirah atau lebih dikenali dengan G-ah melalui YM, yang kini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang Bahasa Arab, di UIAM. Aku amat terkejut kerana tanpa membuang masa dia terus memberitahuku bahawa anakku Hajar kini sedang berada di wad ICU, Ampang Puteri, Kuala Lumpur. Katanya Hajar terjatuh dan terus dimasukkan ke hospital. Kini dia ditimpa stroke.

"Ya Allah, aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Hanya kepadaMu aku memohon segala-gala. Tangisan hatiku membuatkan aku kelu dan hanya mengharapkan kesembuhan dariMu yang Maha Berkuasa."

"Aku berada jauh darimu wahai anakku. Kalaulah aku di bumi sana, kan ku bergegas untuk menemanimu. Aku tahu, kamu anak yang bijak, solehah, sentiasa berbincang dan bersamaku seketika dulu."

"Anakku, semoga kau sembuh kembali, hidup ceria sebagaimana biasa. Semoga Allah merahmatimu, kan kita bertemu jua jika diizinkanNya."


Siti Hasliza Mat Yusoff
Sweileh, Amman.




Tak Perlu Bermain Bahasa: Rasuah @ Politik Wang?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dipanjangkan usia bagi membolehkan kita terus mengkoreksi diri agar hidup dalam keredaan-Nya. Bagi mendapat keredaan-Nya, kehidupan kita perlu berpandukan hukum-Nya, antaranya hukum feqah yang membabitkan soal halal, haram, makruh dan sebagainya dalam apa juga pekerjaan.

Namun dalam kehidupan kita hari ini, berlaku kecenderungan sesetengah pihak mengaburi mata masyarakat dengan mengetengahkan istilah yang apabila diungkapkan seolah-olah telah menenggelamkan kejahatan seseorang pesalah atau untuk 'mengiyakan' sesuatu yang jelas haram. Misalnya diciptakan istilah 'bunga' dan 'faedah' bagi menggantikan apa yang jelas haram iaitu 'riba'. Mengapa 'riba' tidak disebut 'riba' tanpa sembunyi-sembunyi lagi.

Suatu ketika dulu, jenayah rasuah diistilahkan sebagai duit kopi, duit pelincir dan sebagainya. Pada akhir-akhir ini timbul pula istilah 'politik wang'. Hanya istilah saja membezakannya; hakikatnya rasuah adalah tetap rasuah yang mengundang kemurkaan Allah SWT dan perlu dihukum di dunia lagi. Apabila istilah-istilah ini diciptakan, maka terlepaslah tertuduh atau pesalah daripada cemuhan masyarakat dan hukuman dunia; tetapi ingat, hukuman Allah SWT tiada siapa yang dapat menyelamatkan diri dengan bersembunyi di belakang istilah-istilah ciptaan terkini seperti 'politik wang' dan 'pemberian hadiah'.

Perasuah dan penerima rasuah perlu dihukum berdasarkan ketentuan Ilahi; demikian juga mereka yang berzina (jangan diistilahkan dengan merendek), merompak (mendapat komisen atau peratus), memakan riba (faedah) dan sebagainya. Setiap Muslim sewajarnya bersikap lulus (bersih dan telus); jika riba katakan riba; jika rompak katakan rompak dan jika rasuah katakan rasuah.

Apabila seseorang itu didapati bersalah melakukan jenayah termasuk rasuah (hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qias dan takzir) dia perlu dihukum berdasarkan hukum Allah SWT. Hukum Islam adalah yang tertinggi, tiada yang boleh mengatasinya. Jika tidak berhukum dengan hukum Allah, bermaksud seseorang, sesebuah masyarakat atau negara itu cuba menolak ketentuan dan perintah-Nya.

Tiada apa yang boleh disembunyikan daripada hukum Allah. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Baqarah:159-160)

Apabila sesuatu kesalahan itu enggan diadili berdasarkan perintah Allah, tetapi undang-undang kelompok atau parti yang menjadi pegangan, bermaksud siapa lebih tinggi, Allah atau kelompok berkenaan? Inilah yang kita khuatiri kerana undang-undang Allah SWT tidak mengenal bulu, semuanya tertakluk kepada hukum-hakam-Nya. Nabi Muhammad s.a.w. sudah memberikan contoh yang terbaik dengan berkata jika anakandanya, Fatimah mencuri, tangannya juga akan dipotong, tiada kecuali baginya.

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, pemimpin perasuah yang berselindung di sebalik istilah politik wang, tiada perasaan; sebaliknya mereka terus berkempen ke sana ke sini, menyatakan kononnya mereka yang terbaik manakala pengikut masing-masing terus dengan aksi mengumpu menyatakan pemimpin sanjungan mereka dianiaya sedangkan tokoh lain masih bebas lepas.

Sehubungan itu, kita meminta pemimpin umat Melayu apatah lagi Islam berhenti daripada bersandiwara dalam istilah bahasa sebaliknya kembalilah kepada Islam sepenuhnya. Jika zina katakan zina, jika rompak katakan rompak dan jika rasuah katakan rasuah supaya mereka yang bersalah dapat dihukum mengikut hukum-hakam Allah SWT.


Sumber: harakahdaily.net


Sunday, March 22, 2009

Sebarkanlah Salam: Wasiat Hasan al-Banna

Free Orkut and My Space SalamGraphics Glitters

Berkenalanlah dengan saudara yang baru dikenali walaupun tidak meminta untuk berkenalan. Ini kerana asas gerakan dakwah adalah perkenalan dan berkasih-sayang. - Hasan al-Banna.

Gerakan dakwah Ikhwan Muslimin ditandai dengan kekuatan hubungan erat dan rasa persaudaraan sesama mereka. Ikhwan Muslimin tidak berhasrat memanjangkan pertengkaran sesama muslimin. Malah, mereka mahu berusaha keras untuk membendung hal-hal yang boleh merebakkan pertikaian dalam umat Islam. Dan, kalimah salam adalah kunci kepada perpaduan itu.

Pendek kata, hadis Rasulullah s.a.w yang meminta agar ucapan salam itu disebarkan memang dimanfaatkan oleh ahli-ahli ikhwan itu sendiri. Semangat asal dan ruh perpaduan itulah yang sentiasa menjadi ingatan kepada anggota ikhwan.

Pada akhir zaman ini, kita lihat bahawa ada kecenderungan untuk memberikan salam cuma kepada orang yang dikenali saja. Kepada mereka yang tidak dikenali, maka kita abaikan sahaja. Dan, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna kepada pendokong gerakan Ikhwan Muslimin.

"Rasulullah s.a.w perintahkan kami 7 perkara: "Mengunjungi pesakit, menghantarkan jenazah, menjawab tahmid ke atas orang yang bersin, membantu orang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarluaskan salam dan menepati sumpah." - (Hadis riwayat al-Bukhari)

Lihat anjuran agama yang mahukan umatnya menyebarluaskan salam itu. Semua ini tidak lari dan tidak jauh daripada sikap Islam yang mahu menjadi juara kepada perpaduan sejagat dan Islam sebagai faham yang membawa rahmat ke serata alam.

Jika dunia hari ini tidak aman, bererti bukanlah silap Islam. Malah, kesilapan itu berpunca daripada orang Islam yang tidak menyebarluaskan salam dan tidak mengikuti anjuran baginda s.a.w itu dengan bersungguh-sungguh. Islam dan orang Islam itu dua perkara yang berbeza.


Sinar Islam malap oleh sikap Muslimin

Diakui bahawa kelakukan buruk umat Islam menyebabkan Islam itu menjadi buruk gambarannya. Kata Syeikh Muhammad Abduh, "Al-Islam mahjuubun bil Muslimin - (Keindahan) Islam itu terhijab oleh (kelakuan) umat Islam."

Wasiat ke-9 Al-Banna ini tidak lari daripada seruan baginda Rasulullah s.a.w sendiri. Dalam hadis lain disebutkan:

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi berkata: "Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya, hal memberikan salam itu bukanlah satu-satunya cara mengukuhkan perpaduan. Ia perlu disusuli dengan amalan memberikan makanan kepada orang-ramai, menghidupkan amalan baik pada waktu malam dan sebagainya.

Daripada Abdullah bin Salam r.a katanya, Nabi s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, bersolatlah pada waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat." - (lmam at-Tirmizi).

Maka, selain menyebarluaskan salam, Islam melihat hal menjawab salam itu juga termasuk dalam perkara yang mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh umat Islam.

"Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balas penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah selalu menghitung tiap-tiap sesuatu." - (Surah an-Nisaa: 86)


'Budaya lepak' secara Islam

Budaya lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah menjawab salam!

Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."

Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).

Maka, perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita. Maka, hendaklah kita menunaikan hak-hak jalan di tempat kita sedang bersantai itu. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka hendaklah menunaikan hak jalan.

Kita lihat, dakwah Hasan al-Banna pun bermula di tempat lepak juga. Seperti yang kita ketahui, Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi, tempat di mana berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat.

Lebih ramai orang-orang yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju ke masjid.

Negara Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya. Cabaran hari ini ialah bagaimana mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut jiwanya, pemikirannya. Ini kerana, masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka seperti Yahudi, pemikiran mereka bukanlah pemikiran Islam dan akhlak mereka tidak mengikuti saranan nabi.

Sesungguhnya, Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam. Daripada As-Salaam ini maka istilah Islam mendapatkan namanya. Maka, perbuatan menyebarkan salam ke serata alam inilah agenda Islam yang terutama dan Negara Islam terbina daripada masyarakat Islam yang benar-benar Islam.

Kita telah lama berdakwah di dalam Parlimen, mendakwahkan orang-orang atasan. Tapi, orang-orang bawahan tidak terkena tempias angin dakwah kerana dakwah cuma terhad di atas mimbar masjid, di khutbah-khutbah Jumaat dan di Parlimen.

Salam perlu disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat anak-anak muda yang kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh faham kebendaan yang mengasuh mereka mengejar kemewahan.


Sumber: harakahdaily.net


Sunday, March 15, 2009

Kemiskinan Tidak Menghalang Kejayaan Seseorang

Terharu bila melihat kejayaan yang diperolehi oleh Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal dalam keputusan SPM baru-baru ini. Dengan 20A yang digondolnya itu membuktikan bahawa kehidupannya dalam kemiskinan sebagai seorang anak nelayan, yang juga sebagai pelajar sekolah agama Yayasan Islam Kelantan itu, tidak menghalang kejayaan dalam pembelajarannya.
Image
Apapun, saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Nik Nor Madihah, ibubapa sekeluarganya, serta pihak sekolah yang berkenaan. Moga-moga kejayaan anda akan berterusan hendaknya, dan sekaligus menjadikan contoh buat pelajar-pelajar lain.

KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18, mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan.

Anak nelayan dari Kampunug Sabak, Pengkalan Chepa menerima slip keputusan tersebut daripada anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah di sekolah tersebut hari ini.

Dengan keputusan itu Nik Nur Madihah juga meraih pelajar paling cemerlang di Kelantan dalam peperiksaan terbabit.

Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2). Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 memperolehi keputusan 17A.

Manakala Suhazlinda Ghazali diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila memperolehi pencapaian 10 mumtaz dalam peperiksaan itu tahun lepas.

Hadir sama pada majlis penuh bersejarah tersebut, ibu Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42 dan ayahnya Nik Mohammad Kamal.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ustaz Zakaria Mohamad dan penolong-penolong pengarah Yik, tenaga pengajar sekolah terbabit, pelajar serta ibu bapa serta pelajar cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah.

Mohd Amar ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, sebanyak 17 sekolah Yik memperolehi keputusan peperiksaan 100 peratus dalam SPM termasuk Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah yang pertama kali menduduki SPM.

Katanya, dua pelajar Maahad Tahfiz Sains mendapat 11A.

Image "Pencapaian keseluruhan membanggakan memandangkan tahun 2007 hanya 15 sekolah Yik memperolehi kelulusan 100 peratus," katanya.

Beliau juga berkata, seramai tiga pelajar memperolehi keputusan 13A, 11 orang (12A) dan lima orang (11A).

Kata beliau secara keseluruhannya pencapaian peperiksaan SPM 2008 meningkat sebanyak 2.45 peratus apabila melonjak kepada 98.01 peratus.

Mohd Amar juga meluahkan rasa kecewa apabila keputusan peperiksaan tersebut lewat diumumkan kerana kurang mendapat kerjasama pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN).

Difahamkan pegawai JPN melengah-lengah penyerahan slip keputusan sekolah agama kepada pegawai Yik yang datang mengambil keputusan tersebut pagi tadi.

"Tak perlulah kita nak sorok atau rahsiakan kejayaan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan. Apa salahnya kalau dimaklumkan awal kepada kami," ujarnya.

Mohd Amar juga berkata, antara rahsia kejayaan pelajar agama di bawah Yik kerana tidak pernah membelakangkan syariat dalam semua hal termasuk pendidikan.

"Namun sikap pihak tertentu yang memperlekehkan sekolah agama dan hari ini mereka melihat sendiri kejayaannya," kata beliau.