Thursday, February 26, 2009

Kajian Sains: Solat Rawat Penyakit Kritikal

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain, katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.-end-

(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat )


Sumber: harakahdaily.net



Sunday, February 22, 2009

Muhasabah Diri




Saturday, February 21, 2009

Sahabatku...


Sahabatku yang budiman,
Aku bersyukur pada Ilahi,
Atas anugerah pertemuan ini,
Dirimu terlalu berharga,
Mengajar erti kehidupan buatku.


Sahabatku,
Tidak tahu bagaimana rasanya,
Untuk diri ini menghargai,
Malah berbudi kembali pada dirimu,
Dikau sanggup perjudikan masamu,
Di saat ku dilanda susah payah,
Tiada hadiah istimewa daripadaku,
Hanya doa mampu ku titipkan buatmu.


Ku pohon padaNya,
Semoga dikau dirahmati,
Ku harap teguran dan nasihat darimu,
Andai ada kesilapan membelenggu diriku.


Sebelum mata ini terpejam buat selamanya,
Sebelum hembusan nafas ini bertemu noktahnya,
Ku hendak kau tahu,
Aku sayang, aku cinta padamu kerana Allah.



Dipetik dari:
Majalah SUKMA, PMRAM,
Mac- April 2008,
Maqaz Edition UPP DPM Shoubra.




Thursday, February 19, 2009

Teori Atau Hakiki?


Program PERTAMA: Tarbiah Mahasiswa Mendepani Negara

"Ke Arah Kematangan Mahasiswa Muslim"

Minggu lepas, 12- 14 Feb.2009, satu Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Jordan (PERTAMA) telah diadakan di Jamiah Yarmuk, Irbid. Program ini dibuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia Jordan dan dijemput perwakilan-perwakilan mahasiswa Malaysia dari Arab Saudi, Mesir, Syiria dan Yaman bagi membentangkan kertas kerja masing-masing.

Pembentangan Kertas Kerja 1 : Feminisme Dan Islam; Huraian Suatu Ideologi Ciptaan (Jordan)

Pembentangan Kertas Kerja 2 : IFC Dan Tuntutan Kebebasan Beragama; Suatu Provokasi Khayalan? (Mesir)

Pembentangan Kertas Kerja 3 : Yoga Dan Pengkid. Benarkah Islam Semakin Menyekat? (Mesir)

Pembentangan Kertas Kerja 4 :Mahasiswa Dan Isu Semasa (Arab Saudi)

Pembentangan Kertas Kerja 5 : Islam Dan Terorisme; Penafian Dan Kebenaran Di Sebaliknya (Yaman)

Pembentangan Kertas Kerja 6 : Mempersonalitikan Diri Dengan Acuan Dan Paradigma Seorang Daie (Syria)

Forum : Mahasiswa Kita- Kuantiti Bukanlah Jaminan Kualiti


Bagi saya, program kali ini cukup baik dan penuh dengan perbincangan dan maklumat-maklumat tentang isu semasa yang berlaku di negara kita, Malaysia. Syabas saya ucapkan kepada barisan peneraju program PERTAMA kali ini serta AJK-AJK yang menjayakannya.




19 Februari 2009
Amman, Jordan.



Tuesday, February 17, 2009

Ziarah Syiria...

Apa yang begitu mengejutkan saya bila berada di Syiria baru-baru ini ialah gerakan Syiah yang begitu berpengaruh dan berleluasa. Syiah yang dikatakan berpusat di Iran telah menyebarkan sayapnya ke negara-negara lain temasuklah Syiria yang menjadi pusat 'haji ke 2' bagi golongan ini. Ini kerana banyak maqam aalul-bait terdapat di negeri Syam yang penuh bersejarah ini.

Sebelum ini saya hanya mengetahui tentang Syiah melalui pembacaan umum. Itupun hanyalah sekadar maklumat awal tentang apa itu Syiah dan pergerakannya. Namun pada kali ini saya telah melihat sendiri upacara-upacara yang dilakukan oleh mereka, yang menjadikan saya begitu hairan dan pelik dengan keadaan mereka. Apakah yang mereka cari selama ini? Hati saya berasa tidak tenang bersama mereka. Saya memerhatikan gelagat mereka sambil berfikir apa yang mereka lakukan itu? Mereka mencium dan mengucup maqam-maqam, mengambil kain yang berwarna hijau, lalu digosoknya maqam-maqam kemudian disapu pada badan masing-masing. Ada juga yang menangis teresak-esak, menyebut ya Husin ya Husin, ada juga yang membuat halaqah dan menyanyi beramai-ramai menyebut keluarga Sayyidina Ali karramallah wajhah, dan ramai juga yang solat di maqam-maqam setelah selesai upacara-upacara tersebut.

Saya sebagai muslimah yang cintakan Islam, memikirkan tentang agama Allah ini. Sedih dengan apa yang telah berlaku. Mengapa ramai di kalangan umat Islam sedemikian rupa? Adakah Islam ini satu agama warisan atau agama taqlid? Mengapa umat Islam tidak mahu berfikir dengan apa yang mereka lakukan itu? Mudah-mudahan Allah Taala memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua.


Segerombolan golongan Syiah menziarahi
maqam-maqam di Syiria



Mereka membaca doa-doa di depan maqam Habil a.s

Mereka menunaikan solat dan doa di depan maqam Habil a.s
Batu-batu yang digunakan semasa menunaikan solat

Banyak duit yang dilontarkan ke dalam
maqam-maqam aalul-bait


Al-hamdulillah, saya juga sempat menziarahi maqam isteri-isteri Nabi kita saw Ummu Salamah r.a. dan Ummu Habibah r.a., maqam Bilal al-Habasyi dan maqam-maqam aalul-bait yang lain.



Maqam kepala-kepala Syuhada' Karbala


Maqam Sayyidah Sakinah bint al-Imam al-Husin
dan Maqam Sayyidah Zainab as-Sughra