Showing posts with label Program. Show all posts
Showing posts with label Program. Show all posts

Sunday, February 7, 2010

Sedetik Bersama Ustaz Farid Ravi

03 Februari yang lalu, aku bersama anak-anak sekali lagi turun menuju ke bumi Irbid, ingin berjumpa mata dengan Ustaz Farid Ravi dalam program ringkas bersama beliau. Aku bertiga turun sebelum solat Maghrib ditemani oleh saudara Qud menuju ke perhentian bas ke Irbid.

Dalam masa menunggu bas, aku bersembang dengan mereka tentang kehidupan di Tanah Arab ini. Bertanya khabar tentang pelajaran, berbincang tentang aktiviti-aktiviti pelajar di sini dan sebagainya. Aku cukup kecewa dengan aktiviti yang tidak sihat berlaku di kalangan anak-anak watan di bumi Syam ini seperti merokok, pergaulan bebas tanpa sempadan di antara lelaki dan perempuan, berpakaian yang tidak senonoh dan lain-lain.

Sedang aku asyik bercakap bersama mereka, datang seorang pakcik Arab bertanyakan kami.
"Kamu semua nak ke Irbid ke?"
"Ya", kami menjawab.
"Jom, naik kereta saya", dia berkata lagi.
"Qud, tanya pak cik tu dulu, berapa dia nak tambang?", aku menyuruh Qud bertanya demikian, bimbang kalau-kalau...
"Dia kata ikut je lah Kak Za", Qud menjawab.
"Ok lah, jom kita naik", aku menyuruh mereka semua.

Dalam perjalanan ke Irbid, pakcik Arab tersebut berkenal-kenalan dengan kami. Bertanya tentang negara Malaysia dan pelajar-pelajar Malaysia di bumi Jordan ini. Rupanya pakcik itu tinggal di Irbid, bekerja di Amman, telah pencen pada bulan yang lepas dan merupakan graduan Universiti Jordan awal 80an dulu. Aku sungguh gembira kerana dia dapat berinteraksi dengan kami dalam bahasa Arab fusha.

Sebaik sahaja di pertengahan jalan, pakcik itu meminta izin dari kami untuk berhenti solat Maghrib. Qud juga menyusul sama. Kami bertiga pula berada dalam kereta, ingin solat jamak di Irbid nanti, kerana merasakan masyaqqah untuk solat di situ. Kami berasa terkejut kerana dia meninggalkan keretanya, sedangkan kami berada di dalamnya.

Setelah selesai solat, mereka berdua datang, lantas aku bertanyakan pakcik Arab itu. "Pakcik percayakan kami?". Dia menjawab: "ya, semasa kamu menunggu bas tadi, saya memerhatikan kamu, saya melihat wajah-wajah kamu dan saya yakin kamu adalah orang baik".

Aku terharu. "Ini maknanya firasat orang-orang yang beriman ke pakcik?", aku bertanya sambil tersenyum. Pakcik juga tersenyum lalu berkata: "boleh jadi".

Sampai sahaja di Irbid, aku lega. Kami ingin membayar tambang, tetapi ditolak oleh pakcik itu. Al-hamdulillah, rezeki kami. Mudah-mudahan Allah membalas budi baiknya dengan sebaik-baik balasan.

Kemudian kami menuju ke dewan untuk mendengar ucapan dari Ustaz Farid Ravi. Al-hamdulillah disambut baik oleh akhawat Irbid, dan dapat berkenalan dengan akhawat baru. Seketika kemudian, Ustaz Farid tiba bersama jurufotonya dan ikhwah di sana.

Dalam ucapan tersebut, beliau menceritakan pengalaman-pengalaman yang dilaluinya sebagai seorang pelajar di Universiti aalil Bait, Mafraq, tahun 90an dahulu. Kesusahan dan keperitan yang dialaminya sehinggalah beliau dapat menguasai Bahasa Arab. Beliau juga menyatakan kedatangannya ke Timur Tengah (Mesir dan Jordan) untuk berjumpa para mashayikh dan berbincang tentang program dan penubuhan sebuah institusi hadis di Malaysia (di bawah KUIS). Beliau adalah perintis bagi institusi tersebut.

Ustaz Farid juga memperkenalkan para pelajar tentang as-Sheikh Dr. Solah al-Khalidy yang merupakan guru talaqqinya suatu ketika dulu dan beliau datang dan terus berjumpa dengan as-Sheikh tersebut menceritakan tentang tujuannya itu.



Aku terharu mendengar, sebak dan rasa cemburu dengan insan yang diangerahkan Allah permata-permata ilmu. Aku mengenali serba sedikit tentang as-Sheikh Dr. Solah al-Khalidy semasa berada di bumi UIAM lagi. Kitab kecilnya "al-Khittoh al-Barroqoh li zi an-Nafsi at-Tawwaqoh" sedikit sebanyak memberi motivasi dan dorongan kepadaku sebagai seorang pelajar kerdil dalam dunia bahasa Arab.

Aku ingin menjadi seperti insan-insan yang asyik dengan ilmu, mampu mendekatkan hati dengan Pencipta. Rasa cemburu dengan mereka yang mampu keluar beramai-ramai pergi menceduk mutiara-mutiara kata dari para mashayikh. Namun, siapalah aku ini? akan adakah jamaah wanita yang akan bersamaku untuk mengadap mereka? Akan menjadi realitikah keinginanku itu? Inginkah mereka menerima kami?

----------------------------------

Al-hamdulillah, lebih kurang satu setengah jam kami bersama ucapan dan celoteh Ustaz Faid Ravi yang cukup memuaskan hatiku. Jutaan terima kasih diucapkan kepada beliau dan pihak penganjur iaitu persatuan anak-anak Irbid dan Badan Kebajikan Anak-Anak Selangor. Semoga Allah merahmati kita semua.

Aku, anak-anak dan Qud pulang ke 'Amman sebaik sahaja selesai program tersebut.





Tuesday, July 21, 2009

Rakaman Forum Majlis Memperingati Isra' & Mi'raj

Tajuk forum:
Peranan Solat Dalam Membentuk
Dan Mendidik Peribadi Muslim


Pengerusi: Ustaz Syed Hilmi Syed Abdul Rahman
Ahli panel 1: Ustaz Ahmad Fakhrurrazi Dato' Zabidi
Ahli panel 2: Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i
Ahli panel 3: Ustaz Mohd. Najib Ja'far








Video seterusnya boleh dilihat melalui sumber:
blog rasmi PPMA atau youtube.com (abdbaith47).

Selamat Menonton!



Sunday, July 19, 2009

Majlis Memperingati Isra' Dan Mi'raj

Satu majlis yang telah dianjurkan oleh pihak Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA) pada hari Jumaat, 17 Julai 2009, demi memperingati peristiwa Isra' dan Mi'raj. Inilah salah satu majlis yang cukup berharga dan bahagia buat diri saya, kerana ia menjadikan saya rindu kembali kepada dunia lama, kehidupan di bumi UIAM, bumi yang banyak memberikan jasa kepada diri saya untuk bersama para ulama, dalam merapatkan diri pada Tuan Empunya alam.

Tak lekang-lekang dari bibir saya mengucapkan syukur kepada Allah, kata-kata gembira dan berpuas hati kepada teman saya selaku ahli jawatankuasa dalam majlis tersebut, kerana mampu mencipta suasana majlis dan perjalanannya yang cukup memberi kesan pada diri ini.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tentatif program ini, bolehlah dirujuk kepada blog rasmi PPMA.

Apa yang lebih mengagumkan saya dalam majlis ini ialah satu forum yang begitu hebat yang bertajuk: Peranan Solat Dalam Membentuk Dan Mendidik Peribadi Muslim, yang dipengerusikan oleh Ustaz Syed Hilmi Syed Abdul Rahman, Ph.D dalam bidang aqidah, di Universiti Balqa', pengerusi yang mampu mengendalikan forum dengan sebaiknya, menjadikan ahli majlis tidak jemu-jemu untuk mendengar forum tersebut. Jutaan tahniah saya ucapkan buat ustaz!

Kemudian diikuti dengan tiga orang ahli panel yang masyhur di Amman ini, mereka ialah Ustaz Fakhrurrazi Dato' Zabidi selaku ahli panel pertama, M.A dalam bidang Tafsir di University of Jordan, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i, ahli panel ke-2, M.A dalam bidang Hadith di Jerash University dan Ustaz Mohd. Najib Ja'far, ahli panel ke-3, Ph.D dalam bidang Bahasa Arab di University of Jordan.

Di sini dapat saya perhatikan bahawa ketiga-tiga ahli panel itu 'mewarnai' topik forum tersebut menggunakan fikrah dan uslub berdasarkan bidang pengajian masing-masing. Satu titik pertemuan yang dapat saya simpulkan dari uslub, gaya bahasa dan pembawaan fikrah oleh ketiga-tiga ahli panel, walaupun ianya berbeza, namun, matlamat dan tujuannya adalah sama; untuk mencapai target 'makrifatullah', menjadikan diri kita hamba yang semakin hari semakin rapat dengan pencipta kita iaitu Allah SWT.

Untuk mendapatkan fikrah-fikrah, isi-isi serta maklumat-maklumat forum yang berkaitan dengan solat tersebut, anda dijemput untuk melayari blog Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i.

Buat akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada Majlis Tertinggi PPMA, pengarah program dan ahli-ahli jawatankuasa kerana mampu menjayakan majlis yang mulia itu. Mudah-mudahan program sedemikian dapat dijalankan lagi pada masa akan datang, bi iznillah...



Thursday, February 19, 2009

Program PERTAMA: Tarbiah Mahasiswa Mendepani Negara

"Ke Arah Kematangan Mahasiswa Muslim"

Minggu lepas, 12- 14 Feb.2009, satu Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Jordan (PERTAMA) telah diadakan di Jamiah Yarmuk, Irbid. Program ini dibuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia Jordan dan dijemput perwakilan-perwakilan mahasiswa Malaysia dari Arab Saudi, Mesir, Syiria dan Yaman bagi membentangkan kertas kerja masing-masing.

Pembentangan Kertas Kerja 1 : Feminisme Dan Islam; Huraian Suatu Ideologi Ciptaan (Jordan)

Pembentangan Kertas Kerja 2 : IFC Dan Tuntutan Kebebasan Beragama; Suatu Provokasi Khayalan? (Mesir)

Pembentangan Kertas Kerja 3 : Yoga Dan Pengkid. Benarkah Islam Semakin Menyekat? (Mesir)

Pembentangan Kertas Kerja 4 :Mahasiswa Dan Isu Semasa (Arab Saudi)

Pembentangan Kertas Kerja 5 : Islam Dan Terorisme; Penafian Dan Kebenaran Di Sebaliknya (Yaman)

Pembentangan Kertas Kerja 6 : Mempersonalitikan Diri Dengan Acuan Dan Paradigma Seorang Daie (Syria)

Forum : Mahasiswa Kita- Kuantiti Bukanlah Jaminan Kualiti


Bagi saya, program kali ini cukup baik dan penuh dengan perbincangan dan maklumat-maklumat tentang isu semasa yang berlaku di negara kita, Malaysia. Syabas saya ucapkan kepada barisan peneraju program PERTAMA kali ini serta AJK-AJK yang menjayakannya.




19 Februari 2009
Amman, Jordan.