Wednesday, July 29, 2009

Buat Warga Kelantan TV

Sudah tiga minggu saya tidak mendengar secara 'live' suara TG Nik Abdul Aziz berkumandang ke udara, menyampaikan kuliah Jumaatnya di Medan Ilmu, Bandar Kota Bharu. Terasa sepi jiwa ini tanpa adanya tazkirah, nasihat serta permata-permata hikmah dari mulut beliau.

Walaupun dah berlambak santapan-santapan rohani yang disebarkan dalam internet ini, namun, diri ini berasa tidak lengkap tanpa adanya mutiara terkini dari ulama itu. Uslub dan gaya bahasanya cukup bernas, mampu mencuit hati-hati pendengar untuk mengenali kehidupan berlandaskan Islam secara syumul dan sekaligus merapatkan diri pada Tuhan Rabbul Izzati.

Berkemungkinan besar, Tok Guru dah bercakap tentang persiapan-persiapan dan persediaan-persediaan menghadapi Bulan Ramadhan yang akan mengunjungi kita tidak berapa lama lagi. Mudah-mudahan, in syaa Allah, suara Tok Guru akan berkumandang lagi di alam maya pada minggu ini.

Buat warga Kelantan TV, sekalung tahniah saya ucapkan kerana anda bertungkus- lumus menjayakan Kuliah Jumaat ini secara 'live', mampu didengari insan di seluruh pelusuk dunia, walaupun saya sedikit bersedih semenjak beberapa minggu ini, tiada 'live' dikeudarakan. Namun, saya tahu dan faham, kemungkinan anda di sana mempunyai masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan.




Tuesday, July 28, 2009

Sya'ban Kini, Ramadhan Menanti



"Allahumma Baarik Lana Fi Rajab Wa Sya'ban,
Wa Ballighna Ramadhan
"



Sunday, July 26, 2009

Tips Ihya' Solat Tahajjud

Bila bercakap tentang solat tahajjud dan kelebihannya, ramai di kalangan kita yang mengimpikan agar diri masing-masing dapat mencapai solat tersebut. Namun, rata-rata hanya tinggal impian yang tidak kesampaian. Maklumlah, untuk menunaikan solat tahajjud ini, kita amat memerlukan kekuatan dalaman untuk mengekang kepenatan harian, mengantuk, keseronokan tidur dan sebagainya. Walau bagaimanapun, saya tidak nafikan bahawa ada sebahagian dari kalangan kita yang mampu menghidupkan solat tahajjud sebagai amalan rutin dalam kehidupan mereka.

Di sini saya tidak bercadang untuk membicarakan tentang apa erti solat tahajjud, kaifiatnya, dan kelebihannya, bahkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan pembaca sekalian tentang bagaimana kita ingin menghidupkan solat tahajjud ini. Tentang kaifiat dan kelebihannya itu, anda boleh merujuk kepada kitab-kitab fiqh, hadith-hadith dan sebagainya.

Saya sebenarnya amat tertarik dengan nasihat dan pandangan YAB TG Nik Abdul Aziz dalam kuliah-kuliahnya yang membicarakan tentang topik solat tahajjud ini. Beliau merupakan salah seorang dari mereka yang sentiasa menghidupkan solat tersebut. Ini berdasarkan kepada sumber-sumber yang saya dapati dari orang ramai, rakan-rakan seperjuangan yang berada di belakang beliau, masyarakat yang berhampiran dengannya dan lain-lain.

Pernah ada yang bermalam bersama Tok Guru dalam satu program, memberitahu saya bahawa walaupun beliau dalam kepenatan, pulang lewat malam dari menyampaikan kuliah-kuliah atau ceramah-ceramah di merata-rata tempat, namun beliau tidak sama sekali meninggalkan solat tahajjud yang menjadi salah satu makanan rohaninya itu. Bahkan mereka yang bersamanya berasa malu dengan keadaan sedemikian. Memang, Tok Guru seorang yang kuat jiwanya, walaupun dirinya telah dimamah usia. Mudah-mudahan kita juga salah seorang dari golongan yang diberi kekuatan oleh Allah untuk merapatkan diri kepadaNya dengan solat tahajjud.

Saya telah membaca artikel dalam satu blog yang menyatakan nasihat Tok Guru tentang solat tahajjud ini. Beliau berkata: "Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah, kemudian tidurlah."

"Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya), kemudian malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga, kita bimbang (kalau) malaikat tidak akan datang lagi mengejutkan kita." Rujuk (blog ini).

Ya, saya juga banyak mendengar Tok Guru menasihati para pendengar kuliah dan tazkirahnya agar cuba mendidik diri dengan bangun malam untuk bersolat tahajjud. "Siapa-siapa rajin, dia boleh cari (rahmat dan keredhaan Allah), siapa-siapa malas, tidurlah." Kadang-kadang Tok Guru juga menzahirkan uslub yang keras kepada mereka yang asyik dengan keseronokan tidurnya, kerana katanya waktu tahajjudlah waktu yang tenang yang sebaik-baiknya kita mengadu setiap perkara kepada Allah SWT.

"Ya Allah, aku mempunyai banyak hajat denganMu, banyak perkara yang perlu ku luahkan kepadaMu. Ketikamana manusia lain masih nyenyak tidur, masih sedang dibuai mimpi, namun, syukur padaMu, aku dapat bangun, datang menghadapMu ya Allah. "Allahumma lakal hamdu wa lakasshukru, wa ilaikal mushtaka, wa bikal musta'an, wa la haula wa la quwwata illa bika ya Allah."

Al-hamdulillah, banyaknya nasihat Tok Guru buat diri yang lemah ini. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang sentiasa menerima nasihat ke arah kebaikan.

Antara lain yang boleh kita kongsikan bersama dalam meneruskan agenda ihya' solat tahajjud ialah:

1) Niat untuk bangun solat tahajjud sebelum tidur. "Ya Allah, aku nak bangun solat tahajjud, mahu berjumpa denganMu lagi, permudahkanlah urusanku".

2) Tidur awal. Tempoh tidur malam bergantung kepada diri masing-masing. Ada yang mampu berjaga malam demi menunaikan solat tahajjud. Namun, ramai juga yang tertipu dengan urusan solat sunat ini. Berhempas- pulas untuk mendapatkan tahajjud, tetapi terlepas menunaikan kewajipan solat Subuh, akibat tertidur ketika hampir waktu tersebut. Kecuaian itu tentulah akan ada risikonya.

3) Berusaha bangun menunaikan solat walaupun masanya hampir tamat.

4) Meminta rakan-rakan yang lain agar mengejutkan kita bangun bersolat tahajjud atau jangan lupa berdampingan dengan jam loceng.

5) Bersyukur pada Allah bila dapat bangun solat tahajjud. Memohon kepadanya agar dapat bersamaNya lagi di lain-lain hari

6) Bergaul dengan orang-orang yang suka bersolat tahajjud. Bertanya mereka 'resipi-resipi' untuk menghidupkannya.

7) Berasa menyesal bila terlepas dari menunaikan solat yang berharga ini.

8) Memberi hukuman pada diri sendiri bila tidak dapat bangun menunaikan solat ini, seperti perlu baca al-quran pada hari ini sebanyak 2 juzuk, atau perlu bersedekah, perlu ditambahkan lagi solat-solat sunat yang lain dan sebagainya.

Akhir kalam, mudah-mudahan kita salah seorang dari golongan yang diredhai Allah SWT, yang sentiasa memperolehi maghfirah dan bakal mendapat tempat di hatiNya. Aamin...

Selamat mencuba!



Thursday, July 23, 2009

Adakah Peristiwa Isra' Berlaku Pada Bulan Rejab?

هل وقع الإسراء في شهر رجب؟
موقع القرضاوي/20-7-2009

من فتاوى العلامة الدكتور يوسف القرضاوي:

السؤال:

هل ليلة الإسراء والمعراج هي ليلة السابع والعشرين من رجب؟

الجواب

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله ، وبعد:

ذكر أحد أئمة الحديث وهو أبو الخطاب عمر بن دحيا من أئمة القرن السابع، وله كتاب اسمه "أداء ما وجب في بيان وضع الوضَّاعين في شهر رجب"، وفي هذا كتب يقول: إن بعض القُصَّاص ذكروا أن النبي صلى الله عليه وسلم أُسري به في رجب، قال: وهذا هو عين الكذب، أقر هذا الكلام خاتمة الحفاظ الحافظ بن حجر العسقلاني شارح البخاري المعروف، وأنا أعرف أن موضوع ليلة السابع والعشرين من رجب لم يأت فيها حديث صحيح، ولا قول صحيح لأحد الصحابة إنما هو قول اشتهر، وقال به بعض الأئمة ونُسب إلى الإمام النووي، اختاره الإمام النووي في فتاواه، والإمام النووي رجل كان مقبولاً عند الأمة، فاشتهر قوله هذا، على حين أن هناك مثلاً الإمام أبا إسحاق الحربي نجده يقول إن الإسراء والمعراج ليس في ليلة السابع والعشرين من رجب بل في ليلة السابع والعشرين من ربيع الأول.


و أنا أعلم أنه لم يثبت شيء في هذا، وأن هذا قول اشتهر وأصبح معروفاً عند المسلمين منذ قرون أنهم يذكرون الإسراء والمعراج في هذه الليلة، ونظراً لأنه لا يترتب على ذلك عمل أو عبادة، فهذه الليلة لا يُشرع فيها قيام ولا يُشرع في صبيحتها صيام، ولا يُطلب من المسلم أي عمل يتقرب به إلى الله في تلك الليلة أو في ذلك اليوم، ولذلك المسلمون لم يهتموا بهذا الأمر، مسألة الاحتفال إذا كان المقصود بالاحتفال تدارس هذا الحدث العظيم وما كان له من أثر في حياة النبي صلى الله عليه وسلم وأنه جاء بعد عام الحزن وبعدما أصابه، أراد الله سبحانه وتعالى أن يسرِّي عن رسوله صلى الله عليه وسلم وأن يكرِّمه بعد أن أعرض عنه الناس في الأرض وأعرضت عنه قريش وأعرضت عنه ثقيف بعد رحلته إلى ثقيف، ولقي منهم ما لقي ، بعد هذا أراد الله أن يكرِّمه فيصلي بالأنبياء إماماً ويستقبله الملائكة ويستقبله النبيون في السماوات ويعرج به إلى السماوات العلا إلى مكان كما قال شوقي:

لا يُطار لها على جناح ولا يسعى على قدم


فهذا هو المهم أن نعتبر ونستفيد ونأخذ الدروس من هذه القصة ،فلذلك مادام لا يترتب على هذا عمل ولا يترتب على هذا عبادة ،لا مانع أن نحتفل أو نحتفي بهذه المناسبة.


واحتفل بالشيء في اللغة العربية يعني اهتم به وأعطى له العناية أي لم ينسه ولم ينشغل عنه، فنحن نحتفل أي نهتم بهذا الأمر وخصوصاً أن الإسراء والمعراج فيه أمران مهمان، الأمر الأول هو أنه مرتبط بالمسجد الأقصى منتهى الإسراء ومبتدأ المعراج، الإسراء انتهى إلى المسجد الأقصى والمعراج ابتدأ من المسجد الأقصى إلى السماوات العلا، ونحن في حاجة إلى أن نذكر المسلمين في عصرنا هذا وفي أيامنا هذه بالمسجد الأقصى الأسير في أيدي اليهود.


فالناس مشغولون عن هذه القضية المحورية والمركزية، القضية الأولى بالنسبة للمسلمين في عصرنا هذا هي قضية فلسطين وقضية فلسطين لُبُّها وجوهرها القدس، ولُبُّ القدس وجوهره المسجد الأقصى، فنحن ننتهز هذه الفرصة ونذكر الناس بقضية فلسطين من خلال ذكرى الإسراء والمعراج والحديث عن المسجد الأقصى.

والله أعلم


Sumber:
qaradawi.net




Tuesday, July 21, 2009

Rakaman Forum Majlis Memperingati Isra' & Mi'raj

Tajuk forum:
Peranan Solat Dalam Membentuk
Dan Mendidik Peribadi Muslim


Pengerusi: Ustaz Syed Hilmi Syed Abdul Rahman
Ahli panel 1: Ustaz Ahmad Fakhrurrazi Dato' Zabidi
Ahli panel 2: Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i
Ahli panel 3: Ustaz Mohd. Najib Ja'far








Video seterusnya boleh dilihat melalui sumber:
blog rasmi PPMA atau youtube.com (abdbaith47).

Selamat Menonton!



Monday, July 20, 2009

Darihal Isra' Dan Mi'raj

Oleh: Fahri Abdullah al-Masri
Mon | Jul 20, 09 | 7:01:44 pm MYT

Isra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnya dibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan. Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.

Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya. Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.

Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda. Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang. Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni).

Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.

Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.

Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.

Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi.

Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.

Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.

Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama.

Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.

Tiga pihak, dua kejadian

Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.

Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.

Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda. Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut.

Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..)

Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda bertanya tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat. Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut.

Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.

Pembebasan Palestin

"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya." (Surah al-Isra': 1)

Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.

Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.

Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.

Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui.

Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.

Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.

Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.

Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.

Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.

Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!"

Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir

Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.

Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya. Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.

Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya.

Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.

Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak.

Demi sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra' Mi'raj ini tak akan sampai tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.

Sebuah kisah yang sarat dengan inti pengajaran dan padat dengan iktibar khususnya kepada pemerintah yang masih enggan menginsafi segala kejahatan yang dilakukannya selama ini sehingga mengundang musibah besar ke atas rakyatnya pula.