Showing posts with label Kuliah. Show all posts
Showing posts with label Kuliah. Show all posts

Friday, July 31, 2009

Kuliah Jumaat: Ramadhan & Persiapan Menghadapinya (Siri 2), Oleh: TG Nik Abdul Aziz

Zikir

Al-Quran itu sendiri adalah zikir. Firman Allah swt yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan az-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." (al-Hijr: 9). Banyak perkara yang manusia tidak tahu, al-Quran memberitahunya. Banyak benda yang manusia terlupa, al-Quran mengingatkannya. Dari aspek inilah al-Quran dipanggil az-Zikr. Firman Allah Taala lagi yang bermaksud: "Shaad, demi al-Quran yang mempunyai peringatan." (Shaad: 1).

Kesimpulannya di sini bahawa bulan Ramadhan adalah bulan zikir. Biasanya masyarakat kita, bila bercakap tentang zikir difahaminya makna meratib beramai-ramai. Itu sahaja yang difikirkan. Terlalu sempit pengertian kita terhadap zikir, sedangkan al-Quran itu sendiri adalah zikir. Oleh itu, setiap orang, terutamanya pada bulan Ramadhan ini perlu membaca al-Quran.

Adat kita pada bulan Ramadhan ini, ada jemputan berbuka puasa di rumah orang-orang tertentu (walaupun sudah ada sedikit perubahannya). Perkara ini kita perlu ubah, daripada pergi berbuka puasa di rumah-rumah kepada berbuka puasa di surau-surau atau masjid-masjid. Ini adalah lebih baik kerana apabila berbuka puasa di rumah orang, menyebabkan kelewatan untuk menunaikan solat Maghrib kerana banyaknya hidangan yang disediakan. Ini amat merugikan.

Akan tetapi, bila kita berbuka puasa di masjid-masjid, umumnya pihak masjid menyediakan hanya sedikit hidangan untuk berbuka, kemudian terus bersedia untuk menunaikan solat Maghrib. Kita berbuka puasa beramai-ramai dapat pahala, masuk dalam masjid juga dapat pahala dan solat Maghrib di awal waktu juga dapat pahala yang banyak.

Selain itu, perkara yang perlu dilakukan dalam bulan Ramadhan ini ialah kita bersahur beramai-ramai di musolla atau masjid. Pergi ke masjid awal-awal lagi, sebagai contoh pada pukul empat pagi untuk menunaikan solat-solat sunat, membaca al-Quran serta zikir-zikir lain. Bilamana tepat jam lima pagi, bolehlah sama-sama kita bersahur, makan beramai-ramai.


Dalam banyak-banyak ibadat, hanyalah solat yang diminta oleh Allah (melalui Nabi) dari kita untuk menyuruh anak-anak bersolat pada umur tujuh tahun, sedangkan ibadat-ibadat lain seperti puasa, zakat, haji, tidak disuruh sedemikian. Bila sampai umur mereka sepuluh tahun hendaklah dirotannya (dipukulnya). Maka di bulan Ramadhan ini, peluang yang paling baik untuk kita mendidik anak-anak pergi ke masjid, bertarawih, berbuka puasa dan bersahur demi menjadikan mereka terdidik dengan perkara sedemikian bila meningkat umur remaja nanti.

Akhirnya, mudah-mudahan Ramadhan pada tahun ini lebih baik dari Ramadhan pada tahun lepas, in syaa Allah.



Thursday, July 30, 2009

Kuliah Jumaat: Ramadhan & Persiapan Menghadapinya (siri 1), Oleh: TG Nik Abdul Aziz

Syukur pada Allah, semasa saya 'membelek-belek' video dari youtube, saya mendapati video Kuliah Jumaat yang disampaikan oleh TG Nik Aziz, yang tidak dapat saya mengikutinya secara 'live' pada minggu-minggu yang lepas. Sebagaimana yang saya jangkakan, kali ini, Tok Guru berbicara tentang bulan Ramadhan dan persiapan-persiapan untuk menghadapinya. Buat insan yang menyebarkan video tersebut diucapkan jazakallahu khairan kathira.

Tok Guru melontarkan bicara kuliahnya dengan menyebut bahawa biasanya masyarakat kita memanggil bulan Ramadhan ini dengan bulan puasa. Jangan sebut bulan puasa, dibimbangi bila datangnya Ramadhan, dan bila kita berpuasa, maka kita berasa selesai segala-galanya disebabkan puasa tersebut, sedangkan segala apa yang perlu kita buat di atas muka dunia ini, samada perlu dibuat atau ditinggalkan tidak boleh kita berpandukan pada diri sendiri dan berpandukan pada kaedah orang ramai. Orang ramai buat macam ni, maka kita pun buat juga. Orang ramai tidak buat macam tu, maka kita pun tidak buat macam tu juga.

Seolah-olah kita tidak ada rujukan, tak ada Nabi untuk kita rujuk, tak ada Tuhan untuk kita rujuk. Sedangkan segala perkara rujukan kita ialah Nabi saw samada dalam berniaga, dalam solat, kahwin, bercerai, berperang, berdamai, nak senyum, nak ketawa, nak menangis, semua rujukannya ialah Nabi kita saw. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu" (aal-Imran: 31).

Jadi bila kita berdepan dengan bulan Ramadhan, banyak perkara yang perlu kita baiki. Islam datang untuk membaiki fikrah manusia, bukannya datang membawa perkara baru. Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Aku bukanlah rasul yang pertama (pembawa perkara baru) di antara rasul-rasul..." (al-Ahqaaf: 9).

Dalam banyak-banyak bulan hijrah, bulan Muharram, Safar, Rabiiul awwal tidak disebut di dalam al-Quran, akan tetapi bulan Ramadhan ada disebut di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud: "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia..." (al-Baqarah: 185). Oleh itu, kita perlu rasa bertuah dengan wujudnya bulan Ramadhan ini.

Apakah persiapan-persiapan yang perlu kita buat untuk menghadapi bulan Ramadhan?

Rasulullah saw sebelum masuknya Ramadhan (dalam bulan Sya'ban) Nabi kita buat berbagai-bagai latihan. Perkara yang sepatutnya dibuat pada bulan Ramadhan, perlulah kita buat pada bulan Sya'ban lagi, seperti bersedekah, baca al-Quran, solat malam, zikir-zikir dan lain-lain perkara lagi. Semuanya ini adalah persiapan fizikal dan spiritual untuk menghadapi Ramadhan. Jadi, bila tibanya Ramadhan, maka mudahlah bagi kita untuk menghadapi puasa, kerana dalam bulan Sya'ban kita dah banyak berpuasa.

'Aisyah RA berkata: Rasulullah saw seakan-akan berpuasa penuh dalam bulan Sya'ban (puasa sunat). Perkara sunat ini diibaratkan seperti lauk-pauk. Perkara yang 'wajib' dimakan ialah nasi, tetapi nasi hanyalah satu pinggan, lauknya pula empat atau lima pinggan. Kenapa jadi begitu? Ikan tak 'wajib', sayur tak 'wajib'. Nasi yang wajib, lauk hanyalah sunat, kenapa banyaknya yang sunat ketika makan, tetapi tidak banyak yang sunat ketika melakukan ibadat (ibadat khusus)?

Begitu juga dengan solat. Solat fardhu lima waktu jika ditunaikan sudah cukup. Tetapi yang kita naknya solat lima waktu dicampur dengan solat-solat sunat qabliah dan ba'diah. Sebelum zohor ada sunat, selepas zohor, sebelum Asar, sebelum maghrib (khilaf), selepas maghrib, sebelum Isya' dan selepasnya. Dan di antara Isya' dan Subuh ada sunat lain iaitu solat tahajjud.

Dalam bulan Ramadhan terlalu amat penting kita bersolat malam, kerana di antara malam dan siang dari segi mutu atau kualitinya tentulah lebih baik waktu malam. Nabi saw ada menyebut bahawa Allah Taala turun dari atasannya ke langit dunia pada penghujung malam. Turun membuat tawaran hebat (promosi). "Tidak adakah orang-orang yang nak meminta sesuatu dariKu, Aku akan berikan?, tidak adakah orang yang meminta ampun dosa, Aku nak ampunkan?. Tak adakah orang yang nak berdoa, Aku nak mustajabkan?. Inilah titik yang sangat berharga di waktu malam.

Kalau dalam bulan Ramadhan, waktu tahajjud ini seperti waktu sahur. Pada waktu tersebut Allah Taala turun dari atasan ke langit dunia. Cara bagaimana Allah turun itu, tak perlu dipersoalkan. Cumanya Allah nak beritahu di sini bahawa Dia maha dekat dan rapat dengan manusia pada waktu tersebut. Jadi mahu tak mahu kita perlu bersahur. Sesetengah orang yang bersahur pada awal malam lagi, ini tak betul caranya.

Bersambung...bi iznillah...



Sunday, June 14, 2009

Intisari Kuliah Jumaat, 12 Jun 2009: Bersama TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

Kuliah pagi Jumaat bersama TG Nik Aziz pada kali ini, melalui portal TV Kelantan, menyambung kuliah yang lepas iaitu tafsir ayat-ayat dari surah al-Hujurat. Diumumkan sekali lagi bahawa kuliah bersama TG ini diadakan pada jam 9.30 - 10.30 pagi (waktu Malaysia) bersamaan jam 4.30 - 5.30 pagi (waktu Jordan).

Pada permulaan kuliah ini, TG memberikan takrifan tentang maksud al-Hujurat, iaitu bilik-bilik Nabi saw, yang mana rumah Nabi saw bukanlah seperti banglo atau mahligai bahkan seperti bilik-bilik.

Dunia ini bukanlah tempat untuk kita bertapak selama-lamanya, dan yakinlah kita akan pergi meninggalkannya, bahkan akan dibawa pergi. Dalam surah yaasin, ayat yang terakhir ada menyebut yang bermaksud: "...dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (akan dipaksa balik).

Bagaimana kita nak berjumpa dengan Allah yang Maha Kaya, Maha Gagah, lebih handal, kalau kita tidak mempunyai apa-apa bekalan untuk berjumpa denganNya?! Sebagai contoh, kalau kita memandu kereta, bila berjumpa dengan 'road block', kita akan rasa berdebar-debar dan berfikir tentang lesen kereta dah ada ke? cermin kereta macam mana? tali pinggan dah pakai ke? dan sebagainya. Padahal biasanya kita terlepas dari kena saman. Namun, itulah keadaannya bila kita berdepan dengan polis, orang yang berkuasa. Begitulah juga diri kita dengan Allah swt yang lebih berkuasa dari polis, hendaklah kita sentiasa bersiap sedia dan berhati-hati serta berasa berdebar-debar memikirkan tentang persiapan untuk berjumpa dengan Allah swt.

Ajaran ini tidak ada dalam fahaman komunis, demokrasi, sosialis dan sebagainya. Bahkan Islamlah yang mengajar kita agar balik kepada Allah swt, Tuhan yang menciptakan dunia ini.

Minggu lepas, dalam surah al-hujurat ini, Allah melarang kita dari bercakap kasar dengan Rasul saw. Kerana Rasul ini dipilih oleh Allah, bukannya orang kampung yang mengundi dan memilih Baginda. Bila Allah sendiri yang memilih Baginda, maka pada dirinya itu ada maklumat untuk disampaikan kepada manusia. Sebagaimana duta yang dilantik oleh sesebuah kerajaan, maka beliau ada maklumat tentang kerajaan itu untuk disampaikan kepada orang ramai.

Oleh itu, sebarang aktiviti kebaikan (pahala) kita, hendaklah dijaga supaya tidak terhapus dan supaya ia boleh menjadi bekal kita di akhirat nanti. Sebagaimana duit juga boleh hilang, maka pahala juga perlu dijaga agar tidak hilang. Kalau kita terus- menerus melawan Allah dan Rasul, maka kita akan tinggal sebatang kara di dalam kubur tanpa ada peneman iaitu amalan baik atau pahala dari Allah swt.

Kali ini, pada ayat yang ke 3, yang bermaksud: "Sesunggguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah, mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar".

Di dunia ini sebenarnya kita sedang diperiksa oleh Allah swt dan pegawainya ialah Malaikat untuk mendapat pahala atau dosa. Orang yang lulus peperiksaan ialah orang yang merendahkan suara bila berdepan dengan Nabi saw. Namun, sesetengah orang Arab yang baru memeluk Islam pergi ke rumah Nabi, mereka bercakap dengan suara yang tinggi bila berdepan dengan Baginda.

Begitu juga bila kita masuk ke rumah Allah (masjid), hendaklah kita beradab. Jangan jadikan masjid itu sepertimana keadaan kita berada di rumah. Bahkan perlu ada adab-adab dan tatacaranya. Ini kerana masjid merupakan tempat 'store' untuk mendapat rahmat Allah swt.

Bila berada di masjid juga, cubalah kita merasakan seolah-olah Nabi ada bersama kita. Hatta dalam solat pun, dalam bacaan tahiyyah kita menyebut "assalamu 'alaika ayyuhannabiyyu warahmatullah...", di sini huruf al-kaf ialah dhamir mukhatab (kata ganti nama) iaitu "kamu" memberi isyarat pada kita bahawa Nabi hampir dengan kita. Tujuannya agar kita sentiasa ingat kepada Allah swt dan Nabi saw.

Ayat yang ke 4 dan 5 telah dihuraikan pada minggu yang lepas. Bagi ayat yang ke 6, firman Allah yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu."

Dalam ayat ini kalimah "tabayyanu" (periksalah dengan teliti) mempuyai enam huruf, yang mana pada asalnya dari kalimah tiga huruf "baana" "yabiinu" "bayanan watibyanan" membawa maksud zahir atau jelas. Dalam Bahasa Arab ada menyatakan bahawa semakin banyak huruf dalam satu-satu kalimah menunjukkan semakin kuat maknanya. Oleh itu kalimah "fatabayyanu" dalam ayat ini membawa makna "maka hendaklah kamu membuat kajian sepenuhnya sehingga jelas". Oleh itu setiap berita yang datang dari mereka yang fasik hendaklah diperjelaskan (siasat terlebih dahulu) agar tidak berlaku musibah tanpa mengetahui keadaannya.

Akhirnya, kuliah ini ditangguhkan dan in syaa Allah pada minggu hadapan akan disambung lagi tafsiran surah al-Hujurat ini. wassalam.



Saturday, May 30, 2009

Intisari Kuliah Jumaat, 29 Mei 2009: Bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


Semalam, Kuliah Jumaat telah disampaikan oleh TG Nik Aziz pada jam 9.30 pagi (waktu Malaysia) melalui Portal TV Kelantan, berkisar tentang tafsir ayat dalam surah al-Hujurat. Surah tersebut banyak mengajar manusia bertatasusila. Ini kerana dalam diri manusia ada nafsu yang bermacam-macam. Manusia dijadikan oleh Allah tidak sama dengan tumbuh-tumbuhan dan batu-batan.

Dengan adanya nafsu jahat dalam diri manusia, menyebabkan mereka berbalah dan berpecah belah. Ini berlaku semenjak zaman Nabi Adam a.s lagi. Walaupun perbalahan berlaku, penawarnya tetap ada iaitu hidayah Allah swt.

Usaha kita ialah memberi keinsafan kepada manusia supaya jangan ikut panduan manusia lain, bahkan ikut nasihat Allah. Ini kerana manusia rosak perlu mencari tukangnya iaitu Allah swt. Komputer rosak perlu kita cari tukang komputer bukan tukang rumah, begitulah seterusnya.

Namun, kita tidak mampu mencari Allah swt kerana Allah tidak sama dengan manusia. Tapi, Allah kirimkan kita Rasul iaitu Muhammad saw yang diwajibkan kepada kita untuk mengikuti jejak langkah Baginda saw. Baginda mendapat wahyu terus dari Allah swt melalui perantaraan Jibril a.s. Nabi saw tidak berusaha untuk menjadi Nabi atau Rasul. Baginda dipilih oleh Allah Taala sendiri untuk menjadi 'orang suruhan' Nya demi kerahmatan sekalian alam, samada Nabi untuk orang Melayu, Cina, India, Arab, orang asli dan sebagainya.

Kenapa Nabi Muhammad saw 'khatamul anbiyaa' (penyudah segala Nabi)?

Jawabnya kerana sistem alam atau sistem Allah sedemikian rupa (akan berakhir). Sebagai contoh: pokok kelapa yang tumbuh dan membesar, berakhir dengan mati. Ia tidak menjadi tinggi dan membesar hingga ke langit. Begitulah sistem kenabian. Dengan ertikata segala penyakit-penyakit rohani manusia boleh diubati melalui 'ubat' yang dibawa oleh Nabi saw. Ini kerana manusia mempunyai dua perkara iaitu fizikal dan roh.

Hari Jumaat, Nabi saw selalu baca dalam solat Subuh surah as-Sajdah pada rakaat pertama dan surah al-Insan pada rakaat yang kedua. Dalam surah as-Sajdah ini mengandungi ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian manusia sehinggalah peristiwa-peristiwa pada hari qiamat. Asal- usul kejadian manusia ialah daripada tanah yang bermula dari Adam as yang dijadikan oleh Allah tanpa ibu dan bapa. Kemudian dari intisari tanah itu, Allah keluarkan manusia dari mani.

Berbalik kepada surah al-hujurat ini, Allah swt memanggil manusia dengan seruan 'hai orang-orang yang beriman' (orang-orang yang yakin dengan Allah) dan sanggup bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Di dalam al-Quran tidak disebut 'wahai orang-orang Islam' (ya ayyuha allazina aslamu), bahkan yang ada hanyalah tiga seruan: wahai orang-orang yang beriman, wahai orang-orang kafir dan wahai manusia.

Jadi, masalah berlakunya keruntuhan akhlak di kalangan kita seperti mencuri, zina, rasuah, rogol, ragut dan sebagainya adalah kerana kita ini hanyalah seorang islam (muslim) sahaja, tidak beriman (mukmin) kepada Allah swt. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa. (al-Hujurat: 13)

Dalam surah al-Hujurat: 14 juga ada menyebut yang bermaksud: Orang-orang Arab Badwi itu berkata: "Kami telah beriman, katakanlah (kepada mereka): kamu belum beriman, tetapi katakanlah: kami telah tunduk (muslim), kerana iman itu belum masuk dalam hatimu, dan jika kamu taat kepada Allah dan rasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (pahala) amalanmu.

Pada permulaan surah tersebut Allah mengingatkan kita supaya jangan terkedepan (mendahului) Allah dan RasulNya yang mana setiap apa jua yang diperintahkan oleh Allah, janganlah kita langgar. Kemudian Allah melarang orang-orang yang beriman dari bercakap dengan suara yang kuat bila berdepan dengan Nabi saw. Ini kerana jika berbuat demikian, Allah akan runtuhkan (hapuskan) segala amalan atau aktiviti kebaikan yang kita lakukan untuk mendapat pahala dari Allah swt.

Pernah dalam satu kuliah yang lain, TG menyatakan bahawa ayat tersebut ditujukan kepada sahabat Nabi saw yang berdepan dengan Nabi, hendaklah beradab dan tidak meninggikan suara mereka. Namun, ayat tersebut juga ditujukan kepada kita sebagai orang yang beriman, bernabikan Nabi Muhammad saw. Bagaimana dikatakan 'meninggikan suara', sedangkan Nabi saw telah wafat dan meningalkan kita? TG menjawab: kita memperlekehkan atau menghina hadis-hadis atau sunnah-sunnah Nabi kita saw, dan menganggap pandangan kita lebih tepat dari Nabi. Ini membolehkan amalan baik kita dihapuskan oleh Allah swt.

Dalam ayat ke 4 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari luar bilikmu, kebanyakkannya mereka tidak mempunyai akal (tidak mengerti). Ada di antara sahabat Nabi saw tidak sabar-sabar hendak belajar dengan Nabi. Kadang-kadang Nabi sebagai manusia biasa berasa letih dan berehat dalam bilik. Mereka terus berdehem-dehem di luar rumah Nabi, dan sebahagian mereka menjentik-jentik anak batu untuk menyatakan bahawa ada orang di luar rumah Nabi. Lalu Allah menyatakan bahawa mereka ini tidak ada akal, tidak mengerti keadaan Nabi saw.

Kuliah TG Nik Aziz pada kali ini tidak memakan masa selama satu jam.