Monday, August 10, 2009

Isu Arak Di Selangor: Contohilah Kerajaan Kelantan

Sudah beberapa hari isu arak di Selangor hangat diperkatakan ramai. Bila saya 'membelek-belek' laman-laman web sensasi yang membicarakan tentang isu-isu semasa seperti TKO, Malaysiakini, blog-blog tertentu dan lain-lainnya, isu arak ini sentiasa terpapar dalam topik-topik terkini, dan menjadi topik ulasan dari orang ramai.

Sebenarnya saya amat tertarik dengan satu artikel yang ditulis oleh Ustaz Nik Abduh yang bertajuk: 'Arak Di Selangor', yang menceritakan bagaimana Islam mengambil cakna terhadap pengurusan arak ini. Beliau juga mengambil contoh bagaimana kerajaan Islam Kelantan bertindak mengatur dan mengawal urusan arak ini demi kebaikan masyarakat Kelantan samada yang muslim dan bukan muslim.

Di bawah ini saya sertakan artikel beliau tersebut.

Salam Kamunting,

Isu arak yang tengah panas di Selangor hendaklah difahami sebagai isu kawalan penjualan arak, bukan isu pengharaman arak. Arak adalah haram di sisi Islam. Meminum, menjual, mengangkat dan apa – apa yang bersifat menyokongnya adalah haram dan berdosa besarlah setiap muslim yang melakukannya.

Jika sebuah negara itu penduduknya Islam semuanya, maka tidak boleh ada satu pun kedai yang dibenarkan menjual arak. Undang – undang Islam mengenainya adalah ketat seketat yang dikehendaki Allah, tuhan yang menciptakan arak lalu mengharamkannya ke atas manusia.

Adapun jika sebuah negara umat Islam itu turut didiami bukan Islam yang menghalalkan arak dalam kehidupan mereka, maka hak untuk mendapatkan bekalan arak itu hendaklah diberikan. Oleh kerana wujud ketakutan ianya mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam, maka penjualan dan pengedaran arak di kalangan masyarakat bukan Islam hendaklah dikawal oleh kerajaan yang memerintah.

Oleh kerana hampir tiada negara umat Islam hari ini yang tegak tanpa minoriti bukan Islam, maka undang - undang pengawalan penjualan arak haruslah diterima pakai dan hendaklah sentiasa disemak agar ianya memberi dan menepati keadilan dan hak kepada semua rakyat.

Hikmat pengharaman arak adalah terlalu jelas. Allah menyebutnya di dalam al Quran agar ianya jelas dan menutup kekeliruan manusia terhadap pengharamannya. Tidak ada ugama yang tidak mengharamkan arak. Yang menjadikannya halal hanyalah penganut ugama masing – masing bergantung kekuatan mereka mengamalkan ugama mereka.

Di negara kita, arak adalah halal. Kerajaan menjadikannya hasil mahsul ekonomi negara. Sedikit kawalan ke atasnya oleh undang – undang negara adalah sekadar untuk mengesahkannya sebagai halal. Ia seperti undang – undang menyekat zina, riba dan rokok. Barang halal yang terkawal, bukan barang haram yang terkawal.

Justeru dalam Islam, ianya adalah isu menghalalkan yang haram. Ia satu dosa besar dan dibalas kehinaan, murka dan neraka tuhan. Ridha ke atas ketetapan ini juga adalah haram dan teramat besar dosa dan kehinaannya di sisi Allah. Justeru sebarang usaha, seruan dan sokongan ke atas pengharaman dan pengawalannya daripada melegari kehidupan umat Islam di negara kita adalah wajib dan diganjari ridha dan ganjaran Allah. Ia melepaskan kita daripada dosa yang dikembangkan oleh pemerintah Islam yang derhaka kepada Allah.

Ia bukan isu sensitiviti. Ia isu iman. Ia samada syurga atau neraka.

Undang – undang negara mengenai arak hari ini adalah menepati kehendak masyarakat bukan Islam yang langsung membuang hukum agama mereka berkenaan arak. Untuk mereka agama mereka. Tetapi ugama mereka bukan untuk kita. Malangnya, pemerintah negara kita yang mengaku muslim berlaku dan bertindak sebaliknya. Ia kemalangan yang menghinakan umat Islam di negara sendiri.

Oleh kerana PAS adalah gerakan Islam nasional yang berusaha menguasai politik dan kuasa demi pelaksanaan dasar dan polisi Islam yang lebih kukuh dalam negara, maka PAS dilihat mampu, bertanggung jawab dan mesti menggunakan kudratnya untuk memastikan penjualan arak di dalam negara menepati kehendak ugama.

Penguasaan PAS di negeri Kelantan selama hampir 20 tahun telah menyaksikan peraturan ke atas kawalan penjualan arak dilaksanakan. Orang Islam dilarang menjual arak, apatah meminumnya. Kebenaran menjual arak adalah terhad kepada sebilangan premis bukan Islam yang tertentu dengan syarat – syarat yang menjamin penyalah gunaannya yang boleh melibatkan umat Islam.

Selepas lebih 10 tahun perlaksanaan berjalan, masyarakat bukan Islam telah memohon supaya ditambah bilangan premis mereka yang dibenarkan menjual arak kerana bertambahnya kependudukan masyarakat bukan Islam terutama di bandar Kota bharu. Kerajaan telah menyemak balik dan akhirnya meluluskan penambahan koata selepas perundingan yang agak memakan masa kerana ketelitian termasuk soal – soal penyalah gunaan yang dilaporkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penguat kuasaan kawalan penjualan arak di Kelantan pada awalnya telah mendapat tentangan masyarakat bukan Islam yang bimbang hak dan kebebasan mereka dirampas. MCA pernah berhasrat menganjurkan pesta minum arak terbuka sebagai bantahan ke atas perlaksanaan enakmen tersebut, tetapi akhirnya dibatalkan apabila akur dengan tempelakan YAB Tuan guru yang tidak menghalang, malah menyuruh mereka berpesta minum sampai pecah perut. Ketegasan YAB Menteri Besar Kelantan yang mahukan perlaksanaannya berjalan akhirnya telah diterima baik dan berjalan lancar.

Sila lihat artikel sepenuhnya melalui blog beliau: nikabduh.wordpress.com


No comments: