Tuesday, January 4, 2011

Coretan Di Awal Tahun 2011: Azam Baru Setiap Pagi Dan Petang

Saya baru pulang dari menghadiri majlis meraikan Wira Bola Sepak Negara, Khairul Fahmi Che Mat anak kelahiran Kelantan yang telah mengharumkan nama negara ketika perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia menentang Indonesia minggu lepas. Alhamdulillah, tahun 2010 diakhiri dengan kejayaan gemilang untuk sukan bola sepak negara. Beliau seterusnya bertandang ke rumah saya untuk menghadiri majlis akikah cucu saya yang ke-54. Alhamdulillah. Walaupun sedikit terlewat sukalah saya mencoretkan sedikit tulisan sempena tahun baru 2011 yang menjelma ini.

Pertamanya, segala puji bagi Allah SWT yang terus memberikan kepada kita nikmat yang berterusan untuk mengecapi kehidupan di bumiNya pada hari ini. Lembaran tahun baru 2011 Masihi yang baru sahaja menjelma di dalam kehidupan seharusnya disambut dengan kesyukuran yang tidak terhingga di atas belas kasih Allah SWT terhadap diri kita semua. Sesunguhnya nikmat hidup serta kesihatan yang berpanjangan merupakan sebesar-besar nikmat yang sering dilupakan oleh manusia. Rasulullah SAW bersabda:

نعمتان مغبون فـيهما كثير من الناس : الصحة والفراغ

Yang bermaksud: "Ada dua nikmat dimana banyak orang yang tidak menghargai (atas kedua nikmat itu), yaitu nikmat sihat dan waktu luang" [HR. Bukhari]

Bagaimanapun, di dalam suasana kita menyambut kehadiran tahun baru ini, sedarkah kita bahawa Islam mengajar kita bahawa kesyukuran perlu sentiasa dipanjatkan kepada Allah SWT setiap kali menjelangnya hari baru tidak hanya satu kali dalam satu tahun. Justeru, Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdoa setiap kali bangun pada waktu pagi :

أصبحنا وأصبح الملك لله رب العالمين, اللهم إني أسألك خير هذا اليوم: فتحه, ونصره ونوره, وبركته, وهداه, وأعوذ بك من شر ما فيه وشر ما بعده

Yang bermaksud : "Kami telah memasuki pagi baru, sedang kerajaan hanya milik Allah, Rabb seru sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu agar memperoleh kebaikan, kerterbukaan (rahmat), pertolongan, cahaya, berkah dan petunjuk di hari ini. Aku berlindung kepada-Mu dari kejelekan apa yang ada didalamnya dan kejahatan sesudahnya." – Hadith Riwayat Abu Dawud.

Demikianlah juga perlindungan daripada Allah SWT diajar untuk sentiasa dilafazkan setiap hari di waktu pagi dan petang. Ini menunjukkan pergantungan seorang manusia dengan Allah SWT bukan hanya bermusim pada waktu-waktu tertentu sahaja. Ia hendaklah diperbaharui setiap hari dan sepanjang waktu.

Sabda Rasulullah SAW :

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Yang bermaksud: Sesiapa yang membaca : "Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan nama-namaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." sebanyak tiga (3) kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu pagi sebanyak tiga (3) kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya..” - Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi.

Inilah yang sewajarnya diasuh dan dipasak di dalam diri setiap daripada kita semua. Menanam azam baru di setiap awal tahun tidaklah salah, namun lebih tepat lagi jika dilakukan setiap pagi dan petang. Oleh yang demikian saya berpandangan bahawa kesukaan dan kegembiraan menyambut tahun baru dengan mengadakan pesta besar-besaran tidak lebih hanyalah merupakan satu pesta untuk bersukaria semata-mata. Ia perlulah dilengkapkan dengan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT, jika tidak ia hanya akan menjadi pesta dan aktiviti yang melalaikan.

Alhamdulillah, di Kelantan kita mengajar rakyat agar sentiasa ingat kepada Allah SWT yang merupakan Tuhan bukan sahaja di dalam masjid tetapi juga di luar masjid. Di awal tahun, pertengahan dan akhirnya, Allah SWT tetap merupakan satu-satunya tuhan yang layak untuk dipuja. Kita mengajar rakyat agar yakin bahawa hidup ini hanyalah satu persinggahan semata-mata, tiba saat dan waktunya kita akan dipanggil untuk dihisab di hadapan Allah SWT.

Seorang Menteri Besar bukan lagi menjadi Menteri Besar di waktu itu. Begitu juga seorang Raja atau Perdana Menteri, apatah lagi Menteri atau pegawai, tidak lagi memegang jawatan yang disandang di dunia. Di akhirat, bagaimana amanah itu dilaksanakan akan disoal dan dijawab. Di dunia, ia perlu ditanggung dan di akhirat, ia perlu dijawab, kerana itulah ia digelar tanggungjawab.

Inilah pengajaran yang perlu diketahui oleh setiap manusia khususnya seorang yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Atas asas inilah, saya tegas untuk menyatakan bahawa setiap aktiviti menyambut tahun baru jangan sekali-kali melanggar dasar Membangun Bersama Islam yang telah kita tetapkan. Kita perkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 untuk mengingatkan rakyat bahawa Allah SWT yang dihadapkan solat kita di masjid itulah juga Allah SWT yang sama sewaktu kita berhibur. Apa yang ktia lakukan di luar masjid jangan sama sekali bertentangan dengan apa yang kita lakukan di dalam masjid. Sayang sekali, sebahagian daripada kita bukan sahaja mengasingkan diri daripada masjid bahkan memarahi orang lain yang ingin mendekati masjid.

Apapun, saya berharap agar tahun baru 2011 ini terus menerus membekalkan kita dengan semangat untuk meningkatkan mutu kerja kita sebagai hamba Allah SWT di dalam mencari bekalan untuk mengadapNya di hari akhirat kelak.

Salam tahun baru.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Bertarikh : 28 Muharam 1432 H / 3 Januari 2011 M


[Sumber: Facebook YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat]


Friday, December 31, 2010

Gantung Ayat 'Seribu Dinar' Akan Murah Rezeki?




Selamat Menonton!


Thursday, December 16, 2010

Cinta Anta Dan Anti

Oleh: Ustaz Maszlee Malik

(Majalah i, edisi bulan Februari 2006)

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Selain daripada kedua-dua ayat dah hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan seseorang Muslim mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan "ukhuwah" yang bermakna "persaudaraan" seriang dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan takwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadikan contoh teladan kepada generasi Muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan Islam di tahun 70'an lagi.

Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi di atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru di dalam fenomena kebangkitan Islam di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan Islam dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dalam dunia ini di waktu itu hanya dilihat sama ada berpihak kepada Islam ataupun Jahiliah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam dan putih dan bukan lagi Jahiliah versus Islam. Penjalinan di antara apa yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena yang baru ini ialah persoalan "ukhuwwah".

Cinta Remaja Dakwah.Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang seringdibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah di"Islamik"kan seperti mana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "Cinta Ukhuwwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana - anta dan ana - anti".

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai...kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta "anta-anti" ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat. wal'iyadhubillah...

Salah Faham Ukhuwwah fillah.Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di jambangan bunga tersebut terukir kata-kata "Ukhuwwah fillah kekal abadi..".

Sekali lagi makna ukhuwwah disalah gunakan.Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila dihampakan oleh seorang siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu "jemaah" dengan mereka.

Aduh... lagi hebat daripada filem "Love Story" yang pernah popular di tahun-tahun 70'an dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema "ukhuwwah fillah" menjadi "camouflagde" ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan "ukhuwwah fillah" menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan denga mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan "trend" percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai'ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka...ini yang paling menarik.

Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70'an dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop "kafir" dari pendukung gerakan dakwah yang lain.Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan "Abuya"nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah "kawan"nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut "Ukhuwwah fillah membawa ke Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap "sihat" atau tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.



Sunday, November 28, 2010

Jauhilah Dosa Facebook




Selamat Menonton!

Saturday, November 27, 2010

Video: Kartun Pilihan

"Kecelakaan besarlah bagi orang yang curang dalam timbangannya."



Selamat menonton!




Tuesday, November 23, 2010