Sunday, November 30, 2008

Selamat Menunaikan Fardu Haji


Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan:
"Selamat Menunaikan Fardu Haji"

Kepada:
Seluruh Umat Islam Di Dunia Ini

Semoga anda semua mendapat haji mabrur dan diberkati
Allah swt.




Dari saya di bumi Syam:
Siti Hasliza Mat Yusoff
30 November 2008



Saturday, November 29, 2008

Friday, November 28, 2008

Jangan Lupa Tutup Aurat!

Tuesday, November 25, 2008

Mengundi Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Wajib?

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 baru-baru ini, ada sebahagian insan bertanyakan saya tentang hukum mengundi pada pilihan raya. Walaupun insan-insan ini dikategorikan oleh masyarakat sebagai staf yang profesional, tapi rata-rata mereka masih samar-samar dan keliru dalam menentukan hukumnya. Salah seorang dari mereka bekerja sebagai 'engineer', bila saya bertanya "awak dah mendaftar nama untuk PRU?", "tak daftar lagi, lagipun kalau pergi mengundi dapat apa?' jawabnya.

Oh, begitu sekali jawapannya. Inilah kesannya bila kita tidak mengenali Islam secara menyeluruh. Tak kenal Islam, maka macam mana kita nak cintainya?. Sebenarnya Islam ini perlu kita kaji dan pelajarinya dengan sebaik mungkin, agar kita tidak termakan umpan penentang-penentang Islam atau mereka-mereka yang mengambil Islam itu dari sudut yang dikehendaki dan difahaminya sahaja. Belajarlah segala ilmu Allah yang begitu luas di dunia ini, seperti ilmu sains, ilmu kajian alam, ilmu kedoktoran, ilmu ekonomi, ilmu ICT, ilmu bahasa dan sastera dan sebagainya, tapi awas, jangan sesekali kita ketepikan ilmu asas-asas agama Islam dalam aqidah, syariah, akhlaq, mu'amalah, politik dan lain-lain agar kehidupan kita selari dengan garisan-garisan yang ditentukan oleh Tuan Empunya dunia ini.

Sebelum kita nak mengenal pasti hukum mengundi pada PRU, eloklah kita fahami tujuan apakah PRU dijalankan? Jawabnya ialah untuk memilih pemimpin yang akan memegang tampuk pemerintahan dan sekaligus mencorakkan dasar-dasar negara kita. Adakah pemerintahan Islam dalam sesebuah negara wajib ditegakkan? Jawabnya ya. Ini kerana tanpa adanya dasar-dasar atau sistem-sistem Islam dalam negara sudah tentunya hukum-hakam Islam tidak dapat dilaksanakan.

Nabi kita Muhammad saw manusia contoh yang perlu diikuti yang menjadi pemimpin dunia. Baginda telah berhijrah bersama para sahabat dari Makkah yang merupakan tanahair kesayangan baginda ke Madinah al-Munawwarah tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata mencari alternatif untuk menegakkan daulah Islamiyyah.

Negara kita Malaysia dengan sistem yang ada sekarang iaitu sistem demokrasi (sistem mengikut undian yang paling ramai) digunakan untuk membolehkan seseorang dilantik menjadi pemimpin negara. Dengan sistem mengundi pada PRU, rakyat berhak memilih mana-mana calon yang dikehendakinya untuk mencorakkan masa depan negara.

Sebagaimana yang kita fahami tadi bahawa menegakkan pemerintahan negara Islam dalam sesebuah negara adalah wajib, namun adakah mengundi pada PRU juga wajib, sedangkan pada zaman Nabi saw pengundian sebagaimana yang kita lakukan memang tidak ada? Jawabnya memang wajib. Kenapa? Ini kerana negara kita Malaysia, juga kebanyakan negara-negara lain, pengundian merupakan satu wasilah atau cara untuk memilih pemimpin negara. Jadi, disebabkan penubuhan negara Islam itu wajib dan ia dilakukan melalui pengundian maka pengundian itu juga wajib.

Dalam kitab-kitab Qawa'id Fiqhiyyah ada menyebut "ma la yatimmul wajib illa bihi fa hua wajib" (sesuatu perkara wajib tidak akan sempurna melainkan dengannya, maka perkara itu juga dikira wajib). Sebagai contoh seseorang yang ingin mengambil wudhuk untuk menunaikan solat hendaklah mendapatkan air. Jika air tidak diperolehi di kawasan itu, maka menggali telaga untuk mendapatkannya adalah wajib. Begitu juga dengan menghadap qiblat, bersuci dan lain-lain menjadi wajib demi menyempurnakan solat yang diwajibkan kepada kita. Begitulah seterusnya. Sila rujuk: http://www.taimiah.org/Display.asp?ID=19&t=book44&pid
=2&f=quf0014.htm


Oleh itu, secara kesimpulannya dapat saya katakan bahawa mengundi pada Pilihan Raya Umum itu wajib demi menegakkan sesebuah negara Islam. Demikian juga perihalnya dengan memilih calon-calon atau parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan yang ingin mendaulatkan Islam itu juga wajib. Dengan tertegaknya kerajaan Islam serta berjalannya sistem-sistem Islam, akan memberi impak yang positif kepada seluruh ummah serta kebaikan kepada semua manusia kerana Islam adalah agama Allah pencipta dunia ini yang didatangkan untuk memberi rahmat pada sekalian alam.


Siti Hasliza Mat Yusoff
25 November 2008



Sunday, November 23, 2008

Indahnya Hidup Bersama Insan Seperjuangan



Kakiku melangkah perlahan-lahan meninggalkan bumi yang bertuah itu, yang penuh dengan kenangan. Pahit manis telah ku telan buat sekian lamanya. Kemanisan masih ku rasai, mengalir dalam darah pejuang ini,..kepahitan pula telah hanyut menghilangkan diri, entah ke lubuk mana ia pergi.

Beratnya hati untuk melangkah pergi..namun demi perjuangan dan kebaikan diri, ku pejamkan mata buat-buat tak reti..mengharapkan
kebahagiaan selepas penderitaan,
kesenangan selepas kesusahan,
keseronokan selepas keletihan,
keceriaan selepas kesedihan.

Ku pandang wajahmu buat kali yang terakhir, pandangan yang penuh bermakna, penuh pengharapan pada ketentuan Tuhan yang mencipta alam, merasakan pemergian hanyalah sementara cuma, malam berganti siang, gelap berganti cerah, ..kan ku capai jua akhirnya.

Genggaman erat kau berikan, tanda kesatuan kukuh yang tak boleh dipisahkan. Enggan melepaskan perlu dilepaskan..detik masa berlalu jua. Akhirnya ku tinggalkan tak mampu berkata-kata. Perasaan sayu tak mahu berjauhan, namun kerana impian tetap ku gagahkan...mengatakan hari yang sedikit yang perlu ku tunaikan, mengimpikan pertemuan lagi di masa kan datang.

Indahnya hidup bersama insan seperjuangan, satu fikrah satu kefahaman, satu matlamat satu keinginan. Di mana saja kita berada, ilmu Tuhan tetap dijanakan, tetap dibahaskan. Dalam kelas, di pejabat, di bengkel, dalam kereta, di lapangan terbang, dalam seminar dan konferen, di universiti, mahupun dalam perjalanan..soal jawab tetap kita canaikan. Oh..indahnya hidup..Dua insan mempunyai satu jiwa.

Namun, apakan daya..dua insan yang bercinta, cinta kerana Tuhannya pasti kan ada halangannya. Suasana yang dingin itu tak mampu ku damaikan. Biasalah..kehidupan manusia..kerlingan mereka mengeruhkan kita..itu dan ini disebut jua, agar kita tidak mampu bersama.
Apapun ku syukur padaMu Tuhan,
perancanganku telah dimaqbulkan,
ku tinggalkan bumi berkenaan,
memberi impak baik buat teman,
mengorak langkah menuju ke depan.

Ku pinta dari Tuhan yang Maha penyayang, agar dapat ku teruskan perjuangan. Berjuang dalam kehidupan sedemikian, menggali ilmu dan berbincang, ilmuMu yang luas tak habis-habis ku nak telan. Juga membantu sahabat tersayang, mereka-mereka yang cinta kalamMu Tuhan, bercita-cita menegakkan syiar Islam. Harapanku ini masih segar dalam ingatan, agar Dia turunkan penentuan...membantu kita merealisasikan impian..


Siti Hasliza Mat Yusoff
cthasliza@yahoo.com



Tuesday, November 18, 2008

Kasih Mama Hebat, Kasih Allah Maha Hebat


Mama...

Mama kandungkanku selama sembilan bulan
Tapi Allah berikanku roh kehidupan



Mama lahirkanku dengan izinNya

Tapi Allah lengkapkanku dengan anggota



Mama suapkanku makanan harian

Tapi Allah sedarkanku nikmat makanan dariNya



Mama didikku dengan didikan Islam
Tapi Allah hadiahkanku erti hidup dalam Islam



Mama ajarkanku alam kehidupan di dunia

Tapi Allah tunjukkanku batas-batas hidup untuk bersama denganNya



Mama ajarkanku mengenali al-Quran

Tapi Allah anugerahkanku kefahaman al-Quran


Mama berikanku duit untuk bekalan kehidupan

Tapi Allah berikanku nikmat dalam mengurus kewangan



Mama tunjukkan jalan untukku mendengar ilmu-ilmu agama
Tapi Allah kurniakanku hidup bersama orang-orang yang cintakan agamaNya



Mama bersusah-payah membesarkanku kerana kemiskinan
Tapi Allah anugerahkanku nikmat kelazatan selepas kesusahan



Mama bersedih bila ku berjauhan dengannya
Tapi Allah berikanku hati yang selalu ingat padaya



Mama gembira dengan kejayaannya
Tapi Allah memahamkanku bahawa kejayaan tetap dariNya