Wednesday, November 12, 2008

Thanks a Lot Ya Rabbi...



I asked for Strength...
and Allah give me difficulties to make me strong.


I asked for Wisdom...
and Allah give me a problems to solve.


I asked for Courage...
and Allah give me obstacles to overcome.


I asked for Love...
and Allah give me troubled people to help.


I asked for Favors...
and Allah give me opportunities,


Maybe I received nothing I wanted...
but I received everything I needed.


Thanks a Lot ya Rabbi...
Thanks a Lot ya Ilahi...



Tuesday, November 11, 2008

Happy Holidays



Uhanniukum jamii'an ya ikhwati wa akhawati wa tullabi wa talibaati wa abnaai wa banaati fi al-jami'ah al-Islamiyyah al-'Aalamiyyah bi Malizia (IIUM), bi qudum ayyamil Ijazah li hazal fasl al-awwal.


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Bercuti, Selamat Menyambut 'Hari Merdeka', 'Eid al-Istiqlal' :)
kepada semua warga UIAM.


Semoga dengan percutian anda ini
dimanfaatkan dengan sebaik mungkin

agar masa dan waktu kita
tidak terbuang begitu sahaja.



Salam dari Bumi Syam:
Siti Hasliza Mat Yusoff
11 November 2008




Monday, November 10, 2008

Hormati Pendirian Suami

Dalam kenangan:

al-Marhum Abah ketika hampir berbuka puasa selalu berdoa, yang mana ia merupakan salah satu doa mustajab. Abah berbuka hanya dengan tamar, sedikit manisan dan air. Lebih kurang 2, 3 minit bersila, dia terus bangun dan akan melaungkan azan serta mendirikan solat. Dia tidak sesekali menjamah makanan berat melainkan setelah selesai solat dan tahlilnya. Keseronokannya dengan wirid-wiridnya dan lafaz-lafaz zikirnya itu amat ku fahami. Walau di mana dia berada, kelakuannya memang begitu. Dia tidak akan hiraukan apa yang diperkatakan oleh orang. Wajahnya yang sentiasa dibasahi dengan wudhuk itu dapat ku kenali. Abah lelaki yang tak 'banyak mulut', suka bergaul dengan tok-tok guru kat kampung, sekali keluar pendapatnya 'menggegarkan' orang sekelilingnya.

Pernah suatu ketika, kami dijemput berbuka puasa di rumah nenek. Sanak-saudara dan aqriba' tentulah pulang untuk sama-sama bertemu mata dan berbuka puasa. Bila sahaja masuk waktu maghrib kami semua terus berbuka dengan hidangan-hidangan yang bermacam-macam. Aku terfikir pada abah. Aku tahu dia akan terus meninggalkan hidangannya. Abah bangun menuju ke satu ruang untuk menunaikan solat. Sanak-saudara memandang abahku, saling bercakap sesama mereka. Abahku takkan hiraukan mereka. Dalam pada itu wajah mama sedikit berubah. Lalu ku terus mengubati mama dengan kata: tak apalah mama, dah abah macam tu, lagipun apa yang abah buat tu memang bagus. Biarkan apa orang nak kata, kan abah tu suami mama. Meh..kita hidang sama-sama.
__________________

Suami adalah anugerah Allah buat isteri, begitulah sebaliknya; isteri merupakan anugerah Allah buat suami. Kedua-duanya saling memerlukan, saling melengkapi antara satu sama lain demi kebahagiaan rumahtangga. Suami merupakan ketua keluarga yang perlu menjadikan dirinya insan contoh kepada isteri dan anak-anak. Di 'bahunya' terdapat satu bebanan atau tanggungjawab yang besar yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah swt untuk memastikan keluarganya hidup dalam ketaatan kepadaNya, di samping memberikan mereka kebahagiaan hidup sekeluarga.

Oleh itu isteri diwajibkan mentaati perintah dan kehendak suami selagimana kehendak suami tersebut tidak menyalahi suruhan dan larangan Allah swt. Pendirian suaminya perlu dihormati dan kehendaknya juga perlu ditunaikan.

"abang suka kalau Zety pakai tudung labuh, abang akan tenang"

"abang nak isteri abang ni keluar bersama abang sahaja, kecuali kalau ada hal-hal yang tak boleh dielakkan"

Sebagai seorang wanita yang solehah lagi mukminah tentulah akan menunaikan setiap apa yang dikehendaki suami. Dia sentiasa akan memikirkan sesuatu yang terbaik untuk dilakukan buat suaminya. Sentiasa berusaha menjaga hati suami agar tidak terguris dalam melayaninya. Setiap yang diminta oleh suami pasti akan diusahakannya dengan sebaik mungkin agar kehidupan rumahtangga sentiasa dalam ceria dan bahagia.

Namun, kadang-kadang permintaan dan kehendak suami tidak sesuai baginya, bercanggah dengan keadaan semasa dan tempat. Dirasakan bahawa pandangan suami itu kurang tepat yang menjadikannya kekok untuk melakukan perkara-perkara yang dikehendakinya, disebabkan kehidupan isteri berbeza dengan kehidupan suami sebelum mereka disatukan.

Sebagai isteri yang bijak, bukan hanya bersenyap dan memendamkan perasaan tidak suka dan tidak puas hati dengan pandangan suami tersebut, bahkan cuba mengambil inisiatif dengan berbincang secara bijaksana dengan ketua mereka itu, serta memberikan pendapat-pendapat serta hujah-hujah yang baik agar ketepatan akan diperolehi. Dan jika pandangan suami adalah tepat, maka terimalah ia dengan hati yang terbuka dan hormatilah pendirian suami anda itu.

Saya pernah didatangi seorang kawan menyatakan bahawa suaminya kurang dalam pendidikan agamanya. Solatnya pun kadang-kadang dikerjakan, kadang-kadang tidak. Dia menyuruh isterinya itu agar ber'make up' bila berada bersama sanak-saudara dan aqriba'nya. Katanya suaminya berasa malu jika isterinya tidak berbuat demikian. Ini kerana keluarga, sanak-saudara dan aqriba'nya boleh dikatakan semuanya suka ber'make up'. Sedihnya hati ini bila mendengar keadaan suami seorang kawan yang sedemikian rupa.

"Ittaqillah ya rajul!". Anda diamanahkan untuk menjaga dan mengajak wanita anda ke arah keredhaan Tuhan, bukan memaksa mereka ke jalan kemurkaanNya. Bertuahlah anda mempunyai isteri yang memahami agama, walaupun tindak-tanduknya menyalahi adat keluargamu.

Oleh itu, wahai para isteri, dalam hal ini anda tidak dibenarkan menghormati pendirian dan suruhan suami anda itu. Bawalah berbincang dan berdiskusi dengan suami agar dia memahami erti peraturan dan hukum-hukam Tuhan yang perlu dilaksanakan.

Akhir kalam, hormatilah pendirian suami anda, selagi mana ia tidak bercanggah dengan urusan Tuhan. Hargailah pandangannya, insya Allah keberkatan akan datang mencurah-curah untuk anda.




Friday, November 7, 2008

Berhati-Hati Dengan Buaya Darat

Buaya Darat ini ialah satu gambaran yang ditujukan kepada sang lelaki yang suka 'membodek' perempuan. Suka bersembunyi di sebalik 'lalang-lalang'. Bila ada sahaja masa yang sesuai baginya, terus 'dibahamnya'. Saya juga ada terbaca artikel yang menyatakan bahawa buaya darat ini lawannya buaya cerdik. Perangai dan sikap kedua-duanya adalah sama, mungkin ada sedikit perbezaan dari segi cara bertindak dan uslub-uslubnya.

Walau bagaimanapun, buaya-buaya ini perlu kita berhati-hati dan berwaspada agar kita terselamat dari bahaya 'tikamannya' yang begitu hebat yang berkemungkinan boleh menjadikan kita 'cedera parah' yang susah untuk 'diubati'.


Bagaimana caranya?

Perhatikan seseorang itu samada dia adalah insan yang sejati atau insan buaya dengan mata kita, di samping mata hati perlu turut disertakan.
Ini kerana penggunaan mata harian biasa pada sesetengah perkara kadang-kadang tidak tepat bahkan ia memerlukan petunjuk mata hati yang mampu menyuluhnya dan cahayanya lebih cerah.

Kenali insan itu dari berbagai sudut; percakapan, pemakaian, pergaulan, asas-asas pembelajaran, tindak-tanduk dan sebagainya...bukan hanya mengenali PERASAAN sahaja, bahkan fikirkan AGAMA nya!


AWAS sebelum terkena!
SELAMAT MENCUBA! :)




Thursday, November 6, 2008

Apakah Kan Ku Ulangi Lagi...

Bumi bertuah yang telah ku pijak
Kenangan lama masih tersemat
Di sinilah ku kenali insan hebat
mampu mengajakku mengenali Tuhanku
mampu menyuntikku satu semangat jihad
mencari kehidupan yang penuh berkat
menyuapku dengan suapan al-Quran
mengajarku erti nikmat
dalam melayari dunia Bahasa Arab


Namun...
Apakah kan ku ulangi lagi..
alam sedemikian rupa
alam indah cukup bahagia
sungguh berharga buat insan yang dahaga
erti perjuangan bertalikan iman
untuk Tuhan semesta alam





Monday, November 3, 2008

Sabar Itu Pahit, Namun Natijahnya Manis


Bercakap tentang sabar merupakan satu perkara yang tinggi dan tidak ternilai harganya bagi saya. Ini kerana ia amat berkait rapat dengan kekuatan dalaman yang perlu dikumpulkan oleh seseorang. Sabar perlu dimiliki demi menghadapi ujian hidup di dunia ini, lebih-lebih lagi bagi mereka yang kerap ditimpa musibah. Sabar amat mudah diperkatakan, namun ianya begitu susah untuk dipraktikkan. Sabar juga amat pahit untuk ditelannya, namun kesannya begitu manis dan melegakan jiwa. Ia bukanlah satu teori yang hanya boleh dibaca dalam artikel-artikel atau bahan-bahan bacaan tertentu, bahkan ia merupakan satu praktikal yang jarang ada pada kita. Ia tidak akan dirasai oleh seseorang melainkan mereka yang berusaha untuk memperolehinya. "Man Lam Yazuq La Yadri" (sesiapa yang tidak merasainya tidak akan tahu).

Ujian yang kita terima dari Allah perlu kita sambutnya dengan sabar. Tetapi dalam masa yang sama perlu kita bertindak dan berusaha menolak ujian tersebut dengan pelbagai ikhtiar dan cara setahap mungkin yang kita mampu. Bukan hanya bersabar dengan hanya menunggu keputusan dari Allah swt agar ujian itu pergi meninggalkan kita.

Ujian seseorang itu datang dengan berbagai bentuk. Adakalanya berbentuk luaran seperti sakit pada anggota tubuh badan, yang menyebabkan seseorang itu terlantar di hospital atau perlu berjalan menggunakan kerusi roda dan sebagainya. Ada juga ujian terkena pada harta benda seperti hilangnya kenderaan, hilang wang, rumah terbakar dan lain-lain. Ujian juga ada berbentuk dalaman seperti ujian perasaan; hilangnya suami tersayang seperti penceraian yang mana sebelum ini dia menjadi tempat kita berkongsi kehidupan, atau terputusnya tali pertunangan, putus cinta, perasaan rindu yang tidak dapat diubati dan sebagainya. Semua ini merupakan ujian yang menjadi salah satu sunnatullah dalam kehidupan kita ini.

Saya pernah diberitahu oleh seorang insan yang ditimpa penyakit buta mata. Dia meminta dari saya agar diberikan sedikit tips untuk merawat penyakitnya tersebut. Dia yang sebelum ini dapat melihat sebagaimana biasa, namun diuji oleh Allah dengan sedemikian rupa. Katanya dia telah menjalani rawatan di hospital. Saya amat bersimpati dengannya itu. Dengan memberikan sedikit cadangan dan cara-cara untuk mengubatinya, saya mengharapkan agar dia bertindak dengan sebaik mungkin. Namun, saya tidak tahu apakah dia berusaha bersungguh-sungguh atau tidak untuk memperolehi kesembuhan.

Pernah juga saya diberitahu kenalan tentang ujian hidup mereka dengan kemiskinan yang menjadikan mereka susah untuk memperolehi kesempurnaan dalam kehidupan. Susah untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, susah untuk membayar yuran-yuran semester, susah untuk menyara kos kehidupan di universiti dan sebagainya. Kemiskinan ini menjadikan mereka terbantut untuk mencapai impian dalam pembelajaran.

Begitu juga dengan kesusahan yang kita hadapi dalam belajar, perlu bertungkus-lumus dalam memperolehi ilmu pengetahuan. Kadang-kadang kita mempunyai masalah keluarga, masalah anak-anak, masalah peribadi, masalah ibubapa, masalah tunang, masalah suami isteri, masalah mertua dan sebagainya yang menghempap diri kita, sehinggakan kita berasa sudah layu dan tidak mampu lagi untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.

Namun, sifat sabar itu perlu diletakkan pada diri kita dengan melihat semua ujian itu hanyalah datang dari Allah untuk sementara waktu sahaja. Ia merupakan satu tarbiyyah dariNya untuk menjadikan kita semakin merapatkan diri kepadaNya. Perasaan hampa dan sedih yang ada pada diri kita itu tidak mengapa. Bersedihlah untuk hanya seketika waktu, menangislah sepuas-puasnya untuk anda beroleh kembali kekuatan jiwa. Tangisan merupakan satu senjata hebat bagi seseorang wanita. Kepada Tuhanlah yang sepatutnya kita serahkan segala jiwa raga kita agar kita sentiasa dinaunginya. Makin banyak kita mengadu kepadanya makin luas rahmatnya untuk kita. "Allahumma lakal hamdu walakasshukru wailaikal mushtaka wabikal musta'aan, wala haula wala quwwata illa bika".

Di samping menyerahkan diri kepada Allah, jangan sesekali kita lupa tanggungjawab kita untuk berusaha dengan gigih untuk menolak ujian tersebut dengan solat dan bertahajjud di malam hari, membaca doa-doa dari ayat-ayat al-Quran, meminta pandangan-pandangan yang bernas dari mereka yang berpengalaman serta mengamalkannya, berusaha menolak penyakit-penyakit dengan perubatan moden dan tradisional atau apa-apa yang berkaitan dengannya, berusaha mengatasi tahap kemiskinan dengan melakukan apa-apa pekerjaan yang baik, jadikan diri kita seorang yang bijak dalam mengurus kewangan dan sebagainya.

Dengan berkat kesabaran dan usaha kita yang gigih serta keyakinan yang tinggi dan tidak berbelah bagi dengan Allah swt, insya Allah kita akan temui natijah yang manis walaupun sebelum ini dihujani dengan pelbagai ujian yang pahit. Bahkan kita akan berasa terharu dan terhutang budi dengan Allah swt Tuhan pencipta kita. Sungguh..takkan kita dapat membalas budi Allah Taala...