Friday, August 29, 2008

Beada Di Tanahair

15 Ogos yang lalu, ku berlepas dari bumi Syam pulang ke tanahairku, Malaysia. Blog yang ku sayangi ini telah ku tinggalkan buat sektika, walaupun hati dan fikiran sentiasa berpaut padanya...


RINDU MALAYSIA...


Ku rindukan mama dan keluarga
yang sentiasa menjadikanku riang dan gembira


Ku rindukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
tempat yang mendidikku mengenali siapa aku, siapa Tuhanku


Ku rindukan musyrifku Prof. Madya Dr. Abu Saiid Muhammad Abdul Majid
yang banyak mentarbiyyah jiwaku,
banyak memberi semangat padaku dalam menuntut ilmu


Ku rindukan sahabatku di sana
kagum dengannya yang rajin mencari ilmu pengetahuan


Ku rindukan Negeri Kelantan Darul Naim
yang hidup "Membangun Bersama Islam"


Ku rindukan Kuliah Jumaat
yang memberikanku banyak manfaat
Bekalanku menuju hari akhirat
Demi kebahagiaan dunia dan akhirat




Wednesday, August 13, 2008

Tahniah Buat Qanat al-Majd al-Fadhaiyyah


Satu Qanat Saudiyyah yang amat membanggakan saya ialah Qanat al-Majd al-Fadhaiyyah yang banyak memberi manfaat kepada saya dan muslimin amnya. Channel TV ini banyak menyiarkan rancangan-rancangan yang memberi input yang menyegarkan jiwa muslim, memberi suntikan semangat dan peringatan kepada kita sebagai hamba Allah. Begitu juga nasyrul akhbar fil 'alam, qiraatul Qur'an, serta iklan-iklan yang begitu menarik pada pemerhatian saya.


Biasanya saya tidak akan melepaskan peluang untuk menonton siaran langsung solat lima waktu, solat fardhu Jumaat yang disiarkan secara langsung dari Masjidil Haram, Makkatul Mukarramah, yang menjadikan saya terharu melihat lautan manusia berkumpul di Baitil 'Atiq, menyahut seruan Allah swt yang Maha Agung. Walaupun penat, cuaca yang terlalu panas, suasana yang penuh sesak dengan manusia dari pelbagai pelusuk dunia, pelbagai bangsa dan bahasa, namun demi ketaatan dan cinta yang penuh setia pada Tuan Empunya alam ini, mereka sanggup menyerahkan jiwa raga kepadaNya.


Satu perkara yang amat menyentuh hati saya, melihat penyatuan ummah dengan laungan azan dan solat. Bila saja mereka diseru untuk solat mereka bergegas menyiapkan diri untuk bertemu Allah dalam keadaan
b
ersuci dan menunaikan solat sunat sebelum solat fardhu. Sebaik sahaja selesai iqamah umat Islam terus memenuhkan saf dan menyamakan kedudukan mereka menghadap baitillah. Kemudian Imam Masjidil Haram memulakan solat dan diikuti makmum sekaliannya. Suasana yang hingar -bingar dengan suara manusia menjadi sunyi sepi setelah solat dimulakan. Umat Islam memerhatikan bacaan imam dan mengikut setiap tindak tanduk pemimpin mereka itu. Oh indahnya Islam!, mampu menyatukan jutaan manusia dengan solat di bawah kalimah 'la ilaha illallah'. Hebatnya siyasah Islam! Banggalah kita menjadi umat Islam!.


Saya juga berbangga kerana dapat mengenali imam-imam dan khatib-khatib Masjidil Haram, walaupun hanya dapat melihat mereka melalui kaca TV seperti Sheikh Sudais, Sheikh Su'ud Shuraim, Sheikh Usamah, Sheikh Mu'aiqali dan lain-lain.



Selesai siaran langsung solat Maghrib dari Masjidil Haram, Qanat al-Majd menghidangkan tazkirah ringkas atau belajar al-Quran secara tartil ataupun belajar solat mengikut solat Nabi saw. dan sebagainya.


Dua hari yang lepas saya bersama tazkirah ringkas yang bertajuk "at
-Tabkir Fissolah" (Menyegerakan Solat) merupakan satu topik yang menarik yang telah dikupas oleh Fadhilah as-Sheikh dari Arab Saudi juga. Beliau menggesa umat Islam dengan suara yang lantang agar berusaha bersungguh-sungguh menyegerakan solat secara jamaah. Kagumnya saya dengan kupasan beliau dan lontarannya yang memijak fikiran menjadikan saya memerhatikan setiap kalimah dari ucapannya yang berharga itu.


Beliau menyatakan kepentingan menyegerakan solat dan faedahnya pada umat Islam yang mana mereka akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Ini kerana mereka yang bersegera ke masjid berjamaah tentulah mencari saf yang pertama, dapat memenuhi rakaatnya bersama imam, dapat melakukan solat sunat sebelum solat fardhu, dapat mendoakan apa-apa yang dihajatinya di antara azan dan iqamat, dapat membaca ayat-ayat al-Quran sebelum solat dan sebagainya. Beliau menunjukkan rasa kesedihan terhadap umat Islam kini terutamanya golongan muda yang kurang menyegerakan solat, di samping menemplak mereka yang hanya bersungguh-sungguh menyuruh anak-anak pergi ke sekolah, keluar bertuisyen tanpa mempedulikan solat mereka, lebih-lebih lagi solat berjamaah di masjid. Amat menggembirakan, Qanat al-Majd banyak mengunakan Bahasa Arab Fusha, yang menjadikan saya kenya
ng dan berselera dengan hidangannya.


Satu lagi rancangan yang saya sentiasa nantikan ialah "Ma'a Samahatil Mufti" (Bersama S.S Mufti), rancangan soal jawab agama bersama S.S as-Sheikh Abdul Aziz ibn Abdullah Aal as-Sheikh, Mufti Am Arab Saudi, pada setiap hari Jumaat selepas solat Maghrib hingga Isyak (waktu di Makkah al-Mukarramah), dan siaran ulangannya pada hari Sabtu, jam 9.30 pagi. Bagi mereka yang tidak dapat menonton TV tersebut boleh mendengar siaran ulangannya melalui internet di alamat:
http://islamacademy.net/Index.aspx?
function=Category&id=46&lang=Ar



S.S Mufti tersebut menerima banyak persoalan yang berkaitan den
gan kehidupan muslim dan hukum-hakam agama dari masyarakat seluruh negara Arab. Soalan-soalan boleh dikemukakan melaui e-mel atau telefon terus kepada Qanat al-Majd di talian +96614113100 -4115656 (sila rujuk laman web di atas). Anda juga boleh menelefon S.S Mufti di talian 0505410205 jika mempunyai kemusykilan agama.


Walaupun banyak soalan yang dikemukakan melalui telefon dalam bahasa pasar atau mempunyai loghat negara masing-masing, beliau sebagai pendakwah untuk ummah tetap akan menjawab dalam Bahasa Arab fusha sebagai bahasa kebanggaan.


Kepada ikhwah dan akhawat yang juga ingin meningkatkan kemahiran mendengar dalam Bahasa Arab, boleh ikuti siaran TV al-Majd, kerana di luar sana biasanya kita akan mendengar dan bermuamalah dalam 'aammiyyah' (bahasa pasar) yang kemungkinan boleh melenyapkan pertuturan kita dalam Bahasa Arab fusha yang disanjungi ini.




Tuesday, August 12, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (9)

Haji Yaakub Lorong Gajah Mati
(1895- 1956)


Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan lain-lain.


Nama lengkap tokoh ulama yang berkediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub bin Haji Ahmad.


Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan $20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat ke $28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami' Merbau al-Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah $34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehinga 1945.


Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato' Haji Nik
Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato' Haji Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Haji Syed Hasan Lemal, Tuan Guru Haji Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru, Pasir Pekan, Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Haji Ahmad Osman, Hutan Palas, Bukit Keplu, Kodiang (Kedah).


Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama MAIK (seawal 1932) beberapa penggal.
Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan.


Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu, 6 Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan antara lain, tiga orang putera yang dikenali ramai:


- Dato' Haji Husain (ahli perniagaan) - pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.
- Haji Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman, Kota Bharu).
- Ustaz Yusoff Zaky @ Dato' Sri Setia Raja (pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian Kota Bharu dan penterjemah Tafsir Fi Zilal al-Quran).


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan
dan disusun oleh Ismail Che Daud.



Sya'ban Kini, Ramadhan Menanti

Fi Athari Ardhin Qalbi



في أطهر أرض قلبي
قد طاف ولبّى الله
ونسيت متاعب دربي
في مكة إي والله
في مكة إي والله


وبطيبة زرتُ حبيبي

مولاي حبيب الله
وعلى الشباك نحيبي
وعليه صلاة الله
وعليه صلاة الله


في أطهر أرض قلبي
قد طاف ولبّى الله
ونسيت متاعب دربي

في مكة إي والله
في مكة إي والله


أما عني وشعوري
فالله الله الله

أحسستُ بفيض دموعي

تنهال هنا والله

تنهال هنا والله

والله


في أطهر أرض قلبي

قد طاف ولبّى الله
ونسيت متاعب دربي

في مكة إي والله
في مكة إي والله




Dipetik dari sebuah nasyid berjudul 'Fi Athari Ardhin Qalbi'
oleh Abdul Qader Qawza'





Monday, August 11, 2008

Nikah Khitbah: Solusi Masalah Cinta Remaja


Oleh : Ustaz Maszlee Malik
Dipetik dari Majalah I, Mei 200
6


Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.


Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.


“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.


Akibat Kurang Bercinta

Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.


Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.


Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.


Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!


Khitbah Bukan Tunang

Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.


Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.


Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.


Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.


Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?


Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.


Khitbah di IPT

Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.


Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kea rah maksiat dan nafsu.


Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.


Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naif bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.


Risiko

Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT.


Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!