Tuesday, February 15, 2011

Kejatuhan Hosni Mubarak: Campur Tangan Allah SWT: YAB TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

Saya pernah belajar di Mesir. Empat tahun saya peruntukkan dari usia muda saya untuk menimba ilmu di bumi ambiya tersebut. Orang-orang Mesir saya lihat begitu ramah dan mesra terutama dengan tetamu asing. Alhamdulillah, banyak pengalaman yang saya timba di sana untuk dibawa pulang ke tanah air.

Hari ini, rejim Hosni Mubarak jatuh tersungkur. Pandangan saya, ia benar-benar merupakan kuasa Allah SWT. Nampak sangat berlakunya campur tangan Allah SWT di dalam menjatuhkan rejim ini. Siapa yang menyangka Dataran Tahrir boleh memuatkan tiga juta manusia untuk mendesak Hosni Mubarak berundur? Jika di Padang Arafah, musim haji terakhir baru-baru ini mencatat kehadiran jemaah yang wukuf seramai 2.7 juta orang (angka rasmi), di Dataran Tahrir rupa-rupanya lebih ramai daripada itu. Siapakah yang mengerah mereka jika tidak naluri mereka sendiri yang digerakkan oleh Allah SWT? Mereka berkampung selama 18 hari tanpa terjamin urusan makan minum dan pengurusan seharian semata-mata untuk memastikan matlamat mereka tercapai. Pastinya ia terhasil ekoran perasaan tidak puas hati yang telah sekian lama terpendam. Tanpa peluru dan tanpa senjata, mereka akhirnya berhasil menjatuhkan Mubarak.

Mesir menyaksikan sejarah penindasan kepada para ulama yang begitu lama. Jauh sebelum itu, musuh Allah SWT yang bernama Firaun sendiri pernah ditenggelamkan oleh Allah SWT. Firaun yang mengaku dirinya tuhan ditenggelamkan di laut setelah Allah SWT membenarkan Nabi Musa bersama pengikutnya melalui laut sama yang telah dibekukan sepanjang lebih kurang 40km. Yakinlah, kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya. Allah SWT yang pernah membekukan lautan untuk Nabi Musa itulah juga yang telah menjadikan api menjadi sejuk untuk Nabi Ibrahim. Dialah juga yang telah menyelamatkan perjalanan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dari dikesan oleh special branch Quraisy. Maka, pelikkah jika Allah SWT boleh menjatuhkan mana-mana kerajaan pada hari ini dengan kuasaNya?

Sayangnya, musuh Allah SWT tidak pernah belajar dari sejarah. Sekali lagi kesilapan Firaun diulangi oleh pemerintah Mesir dengan membunuh para ulama. Almarhum Syeikh Abdul Qadir Audah, Almarhum Syed Qutb dan ramai lagi para ulama terkorban di bumi Mesir hasil kezaliman pemerintah Mesir. Demikian juga ulama yang terpaksa keluar dari Mesir seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi ekoran keselamatan yang sentiasa terancam oleh polisi kerajaan Mesir.

Harapan saya, rakyat Mesir akan mendapat pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat serta beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Datuk Bentara Setia Tuan Guru

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan.


Bertarikh : 10 Rabiul Awwal 1432H bersamaan 13 Februari 2011M


Sunday, February 13, 2011

Perutusan Maulidur Rasul 1432H: YAB TGNA

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kita keizinan untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita maklum merupakan bulan di mana umat Islam khususnya di Malaysia menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda Rasulullah SAW tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di negara ini.

Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini menumpukan kepada isu-isu semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa ini perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri yang merupakan sumber hokum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan senario semasa yang sedang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Kedua, para penceramah perlulah mengingatkan masyarakat umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang kuasa rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan menemui saat di mana kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.

Ketiga, saya berharap agar ditonjolkan kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara. Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT yang bermaksud :

“Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu. – Surah al-Alaq, ayat 1-7.

Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan-perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.

Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non muslim khususnya bukan hanya melalui perarakan besar-besaran sahaja tetapi juga melalui nilai-nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Islam melarang perkara-perkara munkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkara yang dilarang oleh Islam hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara makruf yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai perkara-perkara yang baik.

Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

Sekian.


YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 7 Rabiul Awwal 1432 bersamaan 10 Februari 201


[Sumber: Facebook YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat]


Tuesday, January 4, 2011

Coretan Di Awal Tahun 2011: Azam Baru Setiap Pagi Dan Petang

Saya baru pulang dari menghadiri majlis meraikan Wira Bola Sepak Negara, Khairul Fahmi Che Mat anak kelahiran Kelantan yang telah mengharumkan nama negara ketika perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia menentang Indonesia minggu lepas. Alhamdulillah, tahun 2010 diakhiri dengan kejayaan gemilang untuk sukan bola sepak negara. Beliau seterusnya bertandang ke rumah saya untuk menghadiri majlis akikah cucu saya yang ke-54. Alhamdulillah. Walaupun sedikit terlewat sukalah saya mencoretkan sedikit tulisan sempena tahun baru 2011 yang menjelma ini.

Pertamanya, segala puji bagi Allah SWT yang terus memberikan kepada kita nikmat yang berterusan untuk mengecapi kehidupan di bumiNya pada hari ini. Lembaran tahun baru 2011 Masihi yang baru sahaja menjelma di dalam kehidupan seharusnya disambut dengan kesyukuran yang tidak terhingga di atas belas kasih Allah SWT terhadap diri kita semua. Sesunguhnya nikmat hidup serta kesihatan yang berpanjangan merupakan sebesar-besar nikmat yang sering dilupakan oleh manusia. Rasulullah SAW bersabda:

نعمتان مغبون فـيهما كثير من الناس : الصحة والفراغ

Yang bermaksud: "Ada dua nikmat dimana banyak orang yang tidak menghargai (atas kedua nikmat itu), yaitu nikmat sihat dan waktu luang" [HR. Bukhari]

Bagaimanapun, di dalam suasana kita menyambut kehadiran tahun baru ini, sedarkah kita bahawa Islam mengajar kita bahawa kesyukuran perlu sentiasa dipanjatkan kepada Allah SWT setiap kali menjelangnya hari baru tidak hanya satu kali dalam satu tahun. Justeru, Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdoa setiap kali bangun pada waktu pagi :

أصبحنا وأصبح الملك لله رب العالمين, اللهم إني أسألك خير هذا اليوم: فتحه, ونصره ونوره, وبركته, وهداه, وأعوذ بك من شر ما فيه وشر ما بعده

Yang bermaksud : "Kami telah memasuki pagi baru, sedang kerajaan hanya milik Allah, Rabb seru sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu agar memperoleh kebaikan, kerterbukaan (rahmat), pertolongan, cahaya, berkah dan petunjuk di hari ini. Aku berlindung kepada-Mu dari kejelekan apa yang ada didalamnya dan kejahatan sesudahnya." – Hadith Riwayat Abu Dawud.

Demikianlah juga perlindungan daripada Allah SWT diajar untuk sentiasa dilafazkan setiap hari di waktu pagi dan petang. Ini menunjukkan pergantungan seorang manusia dengan Allah SWT bukan hanya bermusim pada waktu-waktu tertentu sahaja. Ia hendaklah diperbaharui setiap hari dan sepanjang waktu.

Sabda Rasulullah SAW :

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Yang bermaksud: Sesiapa yang membaca : "Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan nama-namaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." sebanyak tiga (3) kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu pagi sebanyak tiga (3) kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya..” - Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi.

Inilah yang sewajarnya diasuh dan dipasak di dalam diri setiap daripada kita semua. Menanam azam baru di setiap awal tahun tidaklah salah, namun lebih tepat lagi jika dilakukan setiap pagi dan petang. Oleh yang demikian saya berpandangan bahawa kesukaan dan kegembiraan menyambut tahun baru dengan mengadakan pesta besar-besaran tidak lebih hanyalah merupakan satu pesta untuk bersukaria semata-mata. Ia perlulah dilengkapkan dengan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT, jika tidak ia hanya akan menjadi pesta dan aktiviti yang melalaikan.

Alhamdulillah, di Kelantan kita mengajar rakyat agar sentiasa ingat kepada Allah SWT yang merupakan Tuhan bukan sahaja di dalam masjid tetapi juga di luar masjid. Di awal tahun, pertengahan dan akhirnya, Allah SWT tetap merupakan satu-satunya tuhan yang layak untuk dipuja. Kita mengajar rakyat agar yakin bahawa hidup ini hanyalah satu persinggahan semata-mata, tiba saat dan waktunya kita akan dipanggil untuk dihisab di hadapan Allah SWT.

Seorang Menteri Besar bukan lagi menjadi Menteri Besar di waktu itu. Begitu juga seorang Raja atau Perdana Menteri, apatah lagi Menteri atau pegawai, tidak lagi memegang jawatan yang disandang di dunia. Di akhirat, bagaimana amanah itu dilaksanakan akan disoal dan dijawab. Di dunia, ia perlu ditanggung dan di akhirat, ia perlu dijawab, kerana itulah ia digelar tanggungjawab.

Inilah pengajaran yang perlu diketahui oleh setiap manusia khususnya seorang yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Atas asas inilah, saya tegas untuk menyatakan bahawa setiap aktiviti menyambut tahun baru jangan sekali-kali melanggar dasar Membangun Bersama Islam yang telah kita tetapkan. Kita perkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 untuk mengingatkan rakyat bahawa Allah SWT yang dihadapkan solat kita di masjid itulah juga Allah SWT yang sama sewaktu kita berhibur. Apa yang ktia lakukan di luar masjid jangan sama sekali bertentangan dengan apa yang kita lakukan di dalam masjid. Sayang sekali, sebahagian daripada kita bukan sahaja mengasingkan diri daripada masjid bahkan memarahi orang lain yang ingin mendekati masjid.

Apapun, saya berharap agar tahun baru 2011 ini terus menerus membekalkan kita dengan semangat untuk meningkatkan mutu kerja kita sebagai hamba Allah SWT di dalam mencari bekalan untuk mengadapNya di hari akhirat kelak.

Salam tahun baru.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Bertarikh : 28 Muharam 1432 H / 3 Januari 2011 M


[Sumber: Facebook YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat]


Friday, December 31, 2010

Gantung Ayat 'Seribu Dinar' Akan Murah Rezeki?




Selamat Menonton!


Thursday, December 16, 2010

Cinta Anta Dan Anti

Oleh: Ustaz Maszlee Malik

(Majalah i, edisi bulan Februari 2006)

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-dua ayat dan hadis di atas, apa yang difahami ialah semua mukmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang tanggungjawab seorang Muslim kepada saudaranya yang lain. Selain daripada kedua-dua ayat dah hadis di atas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan seseorang Muslim mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan "ukhuwah" yang bermakna "persaudaraan" seriang dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan takwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadikan contoh teladan kepada generasi Muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan Islam di tahun 70'an lagi.

Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi di atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan Islam semenjak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hendonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya yang baru di dalam fenomena kebangkitan Islam di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan Islam dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dalam dunia ini di waktu itu hanya dilihat sama ada berpihak kepada Islam ataupun Jahiliah. Di alaf ini, dunia tidak lagi hitam dan putih dan bukan lagi Jahiliah versus Islam. Penjalinan di antara apa yang ada di dunia dan apa yang ada di dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena yang baru ini ialah persoalan "ukhuwwah".

Cinta Remaja Dakwah.Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang seringdibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami ini telah di"Islamik"kan seperti mana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "Cinta Ukhuwwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana - anta dan ana - anti".

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai...kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta "anta-anti" ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat. wal'iyadhubillah...

Salah Faham Ukhuwwah fillah.Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di jambangan bunga tersebut terukir kata-kata "Ukhuwwah fillah kekal abadi..".

Sekali lagi makna ukhuwwah disalah gunakan.Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila dihampakan oleh seorang siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga satu "jemaah" dengan mereka.

Aduh... lagi hebat daripada filem "Love Story" yang pernah popular di tahun-tahun 70'an dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema "ukhuwwah fillah" menjadi "camouflagde" ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan "ukhuwwah fillah" menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan denga mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan "trend" percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai'ah untuk kekal di dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah sekelas mereka...ini yang paling menarik.

Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70'an dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop "kafir" dari pendukung gerakan dakwah yang lain.Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan "Abuya"nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah "kawan"nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut "Ukhuwwah fillah membawa ke Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap "sihat" atau tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.



Sunday, November 28, 2010

Jauhilah Dosa Facebook




Selamat Menonton!