Wednesday, June 16, 2010

Pesanan Seorang Pejuang Islam...

Titisan air mata buat seorang pejuang...

Terharu dan sebak dengan pesanan al-marhum Ustaz Hassan Shukri:


"Percayalah... sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah, mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan... Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan al-hamdulillah makin bertambah baik."

"Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan..."

Moga-moga Allah merahmatimu, menghimpunkan dirimu bersama para syuhadaa', para siddiqin dan solihin...



Sumber: harakahdaily.net




Monday, June 14, 2010

Romantik... Dariku... Untukmu...

Pemberian yang cukup bermakna...

Sunday, June 13, 2010

Blog Kesayanganku...


Sudah beberapa hari aku tidak menjenguk blog. Entahlah, kecenderungan hati kepadanya kian berkurangan. Boleh jadi kerana aku banyak bersosial dalam dunia Facebook, atau kerana pemikiran menerawang pada dunia penulisan yang ditaklifkan, atau boleh jadi kerana keinginan yang diinginkan telah digigit oleh sebahagian insan, walaupun enjin sebuah perjuangan masih lagi kepanasan.

Anak-anakku berkata: Mama sekarang sudah curang, sudah tinggalkan blog kesayangan. Gurauan anak-anak ku lontarkan senyuman. Bukan curang, cuma bergandingan dengannya agak perlahan, jawabku.

Hari ini aku melihat banyak mesej yang ditinggalkan oleh pengunjung-pengunjung blogku. Terima kasih ku ucapkan dan maaf, kerana lambat membalasnya.

Catatan Dari Syam, nama blog yang telah dinukilkan, telah dibina, dirasmikan oleh seorang pejuang sukarelawan/wati yang banyak memberikan aku semangat untuk lebih mengenali dunia kepahlawanan. Beliau telah mengajak diriku untuk terjun ke dunia ini, meneruskan perjuangan Islam yang suci berwasilahkan blog sendiri. Pernah ku bersuara padanya: Awak berjuang kerana inginkan takhta? Jawabnya: Aku ingin masuk syurga. Jawapan sang pejuang begitulah gayanya.

Dahulunya aku kurang mengenali dunia alam maya, namun kerana hidup di alam perantauan, menongkah bumi gersang, mengharungi dataran sahara Syam, maka aku tiada pilihan untuk meluahkan rasa sebuah perjuangan, melainkan dengan percintaan pada dunia penulisan yang mampu menyebarkan pada sekalian insan.

Jutaan terima kasih buat blogku, kasih yang tidak terhingga jua buat tangan pembinanya, jua tidak dilupakan buat pengunjung setia. Mudah-mudahan Allah menaburi rahmat buat kita semua yang tidak jemu-jemu meneruskan perjuangan Islam demi sebuah cinta agung dariNya. Aameen...




Wednesday, June 2, 2010

Bebaskan Palestin!

Blog ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang telah merampas kapal-kapal konvoi Fredom Flotilla dan mendesak supaya tindakan sekatan ke atas kapal-kapal ini ditarik balik demi kepentingan penduduk Gaza.

Peringatan buat kita semua:

Allah Ta'ala telah berfirman yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani itu tidak sesekali berasa senang hati (redha) kepada kamu (wahai Muhammad) sehinggalah kamu mengikuti agama dan tatacara hidup mereka. Katakanlah: sesungguhnya petunjuk Allah itulah merupakan petunjuk (yang benar). Dan jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah datangnya kepadamu pengetahuan, maka Allah tidak lagi menjadi Pelindung dan Penolongmu. (al-Baqarah: 120).

Orang-orang Yahudi sememangnya tidak akan senang hati bahkan rasa 'panas pedih', mencucuk menikam, benci pada umat Islam. Namun aku sangat kecewa dengan mereka yang masih leka terhadap perancangan Yahudi sana, hanyut dalam tatacara hidup mereka... masih bencikan Islam, terus menghina perjuangan Islam. Moga-moga aku diselamatkan oleh Tuhan sekalian alam dari cenderung hati kepada mereka yang menzalimi agamaMu Tuhan, sebagaimana Yahudi menzalimi orang-orang Islam di bumi Syam.




Sunday, May 30, 2010

Ayat - Ayat Cintaku (2)


1) Terasa ingin memaksa jiwa, merubah angin lautan samudera, cuba memalingkan hati darinya, menutup lonjakan api yang membara. Tuhan... mampukah aku menipu kalbu? Gagahkah aku menyekat rindu? Kalbuku cinta pada yang satu. Ia tenang dalam perjuangan kebenaran. Ia benci penderhakaan yang diagungkan. Namun, siapa aku? aku insan kerdil, aku lemah, aku tidak bertenaga tanpa cintaMu Yang Maha Perkasa.


2) Bagaimana dirimu mampu menerjah masuk bilik ayat-ayat cintaku, sedangkan mereka mundar-mandir di ruang tamu mengemis lontaran buah-buahan cinta manisku?. Maafkan aku, dunia cintaku pada penulisan cinta mujahid Islam yang bergelumang dengan perutusan Tuhan, menolak jiwaku dari membuka mata pada dunia cinta yang palsu lagi menipu. Wahai Tuhan, tetapkanlah hatiku pada sebuah cinta yang membawaku cinta pada cintaMu.



3) Hatinya itu telah jatuh cinta pada insan yang jatuh cinta pada dunia bahasa dan sastera, mampu melibas ayat-ayat sastera cintanya yang berkuasa memaut sekeping jiwa biasa, menuju cinta Yang Maha Pencipta cinta yang sungguh luar biasa. Moga-moga cinta itu kan terpahat di lubuk kalbu.



4) Ingin mencuri hati insan yang telah dicuri oleh perutusan Tuhan. Mampukah aku berbuat demikian? atau aku jua perlu berikannya sokongan? Pautlah hatiku untuk mengenali Tuhan, agar aku bergembira walau jauh dipisahkan. Andai kau tahu aku bersegandingan walau tidak nampak pada pandangan alam, tersenyum dalam linangan, pasti kau berbahagia dalam meneruskan perjuangan yang ditaklifkan.



5) Kerinduan makin terasa di lubuk hati yang kelam setelah sekian lama dia pergi meninggalkan... perginya buat sementara dirasakan bertahun lamanya, namun hati kecil ini berkata: bukankah satu kerinduan pada mujahid Islam menyemarakkan rasa kecintaan pada sebuah perjuangan yang ditaklifkan? Moga Tuhan memberi kerahmatan pada hatiku yang sentiasa hidup dengan segunung pengharapan yang pastinya tiada tandingan.


6) Perpisahan menyemarakkan lagi sebuah kerinduan, menghangatkan lagi sebuah percintaan. Aku berpisah keranaMu Tuhan, aku berjauhan kerana sebuah perjuangan yang ditaklifkan. Dia di bumi penghidupan, aku masih meneruskan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang diimpikan. Perpisahan sementara walau dihujani duka nestapa, kelak kan ditaburi mawar mekar yang ceria, senyuman hati lega, pertemuan di hari bahagia, dengan izin Allah Yang Maha Kuasa.


7) Jutaan syukurku padaMu Tuhan kerana mencampakkan rasa cinta pada bahasa Nabi akhir zaman. Jutaan terima kasih jua ku lafazkan kerana Engkau limpahkan kefahaman pada bahasa yang amat ku banggakan. Aku ingin menghayati kalamMu Tuhan. Ku harapkan titisan air mata berpanjangan bila ayat-ayatMu terus ku bacakan. Ku jua impikan satu semangat berterusan dalam jiwa kehambaan untukku sebarkan pada duniaku yang kelam yang amat memerlukan bantuan.



Sunday, May 16, 2010

Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang


Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979