Friday, December 11, 2009

Cinta Pertama Payah Dilupa

Myspace Graphics

Bila bercakap tentang cinta ramai yang berasa bahagia, namun tidak dapat dinafikan bahawa cinta juga boleh membawa duka. Topik cinta cukup luas dan dalam kerana ia bukan hanya berfokuskan kepada cinta manusia sahaja, bahkan kepada cinta-cinta lain.


Kali ini aku ingin mengajak kalian memahami kisah cinta pertama dalam sebuah kehidupan seorang wanita terhadap suaminya.

Semasa aku berada di tanahair bersama keluarga di Hari raya Puasa yang lalu, rumahku didatangi seorang wanita, kawan mamaku walaupun dia lebih berusia dari mama.

"Assalamualaikum", dalam dua tiga kali wanita itu memberi salam. Sambil menjawab salam, aku dan adikku terus bergegas ke dapur mencari mama. Adik beradikku yang lain sudah tiada di rumah; ada yang keluar, ada yang ke rumah mertua, ziarah sana-sini dan sebagainya. Tinggallah aku, adikku yang pertama dan mamaku.

"Mama, cepatlah, ada orang datang ni. Tinggalkan kerja tu, nanti kakak buatlah", kataku sambil memanggil mama di halaman dapur.

"Kenapa tak pergi?", tanya mamaku lalu terus memakai tudung ke ruang tamu.

Aku tersengih, lega bila mama dah keluar. Bukan mudah aku nak keluar ke ruang tamu bila ada orang datang. Mama aku pula ada ramai 'peminat', sentiasa ada orang berkunjung ke rumahku. Sifat 'kekampungan' itu masih membelenggu diriku walaupun kadang-kadang aku dicemuh oleh sebahagian insan dalam hal ini.

Dalam masa aku menyiapkan makanan dan minuman pada tetamuku, tiba-tiba aku terdengar topik 'cinta' yang dibualkan oleh mereka berdua. Pada permulaanya, aku tidak tahu apa yang dibincangkan kerana aku bukanlah suka mendengar cerita-cerita orang tua. Namun, bila topik 'cinta' itu diutarakan aku terus memasang telinga.

"Wah, tentu seronok kisah cinta orang yang berusia, boleh aku dapat sedikit 'habuan' untuk dibentangkan pada mereka yang memerlukan", fikirku.

Sebenarnya wanita tersebut telah berkahwin buat kali yang ketiga. Perkahwinan yang ketiga ini baru sahaja berlangsung beberapa bulan. Suaminya yang pertama dan kedua telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Setelah habis 'iddah dia terus mendapat aqad baru bersama lelaki ini. Kata orang kampung: cepat laku sungguh makcik ini. Aku tergelak mendengar huraian manusia.

Mamaku mendengar luahan wanita itu satu persatu. "Kita pun sebenarnya nak tanya Kak Moh pasal ni, tapi takut Kak Moh malu. Dah loni Kak Moh royak kita dengarlah", kata mamaku. Aku tersenyum keseorangan di dapur.

"Pastu anak-anak takpo?", tanya mamaku.

"Eh, sebelum Kak Moh nak nikah, Kak Moh dah royak ko anak-anak, kena terima dan buat macam ayah kamu dulu", jawab wanita itu.


Pernah mamaku ditanya tentang perkahwinan baru, mamaku terus menjawab spontan: "kita tak nak anak-anak kita ada ayah tiri, kita bimbang kalau-kalau anak-anak kita tak selesa berada di rumah kita".

Oh, begitu sekali jawapan yang keluar dari mulut mama. Perasaan ibuku terhadap anak-anaknya yang begitu sukar untuk dihuraikan. Pertembungan antara perasaan ini dengan 'perasaan itu' cukup payah untuk dileraikan kecuali salah satu darinya telah dikalahkan. Ya, aku dapat merasakan ada jurang berbezaan antara perasaan mamaku dan wanita itu.

"Kak Moh kena nikah, sebab Kak Moh takut duduk sorang-sorang", kata wanita itu kepada mamaku.

Lantas mamaku menjawab: "Kita ada Allah dok jaga, malaikat dok keliling kita, kita baca al-Quran, baca itu baca ini, selawat banyak-banyak, istighfar, meratib, in syaa Allah Tuhan akan 'duduk' dengan kita ". "Kita tak akan tinggal hak muloh abah dia buat selama ni", mama menambah lagi.


Ya Allah... gementar hatiku mendengar kenyataan mamaku. Aku menghayati ayat-ayat mama itu. Ya, aku kenal siapa mama, aku kenal siapa al-marhum abah. Tuhan...berilah keampunan dan rahmat serta redhaMu buat mama dan abah.

"Oh, gitu deh", kata wanita itu.

"Tapi Dah, Kak Moh nok royak, tak serupo dengan kita nikah mulo-mulo. Kak Moh rasa macam bermimpi, nikah kali yang kedua dan ketiga ni. Terfikir, betul ke aku nikah ni? Sebab Kak Moh dok teringat ko muloh Abe Zin (suaminya yang pertama). Rasa suka, rasa seronok, rasa bahagia nikah hok mulo-mulo. Loni tak rasa gitu sangat", katanya.

Hatiku terus sebak, air mata turun tanpa disedari. Ya, aku amat memahami jiwa seorang wanita. Aku juga menjiwai perasaan mamaku. Aku kenal erti cinta, cinta seorang isteri terhadap suaminya. Cinta yang luhur tidak dilumur dengan darah hipokrit, cinta yang suci demi menuntut keredhaan Ilahi. Ya, aku tetap berkata 'cinta pertama payah dilupa' walau ia diselubungi kemanisan harta dan takhta.

"Ya la, kita duduk dengan dia lama dah, susah payah duduk besarkan anak-anak, buat kerja sekali, mesti kita teringat ko dia", mamaku mengiakan kata-katanya.

Aku terfikir, kalaulah suami baru wanita itu mendengar luahannya itu, sudah pasti dia akan bersedih. Entahlah...

Kemudian mamaku datang mengambil minuman dan halwa untuk tetamu. Setelah beberapa minit berlalu, wanita itu meminta diri untuk pulang. Mama pun terus masuk ke dapur.

"Amboi, seronok nampak bincang pasal kahwin", aku berseloroh dengan mama.

"Huh, seronok apo, kita takdok doh, tokse doh", mamaku menjawab dengan tegas.


Aku tersenyum. "Alah..., kakak gurau je mama, takdelah, sebab tadi dengar macam rancak", aku menambah.


"Ikut dialah, dah Kak Moh tu nak cerita ke mama, mama dengarlah", mama menjawab lagi.


Aku tersenyum lagi. Aku tahu mama ingin bercinta hingga ke syurga. Cinta pada suaminya itu tidak pernah luntur. Ingatan padanya tidak pernah kendur. Nama suaminya disebut-sebut, dulu, kini dan selamanya.

Syabas buat mama!.



Monday, December 7, 2009

Faktor-Faktor Yang Menjadikan Seseorang Itu Pencemburu

Oleh: Ainon Mohd.

Kata orang tua-tua ‘cemburu tanda sayang’, tetapi cemburu yang keterlaluan adalah sejenis penyakit jiwa.

Menurut pakar-pakar perhubungan, emosi cemburu yang keterlaluan bukanlah bukti si pencemburu itu amat mencintai pasangannya. Sebaliknya, ia adalah tanda-tanda seseorang itu berasa kedudukannya amat tidak selamat, manakala semua tingkah laku si pencemburu adalah menifestasi hasratnya mahu mengawal dan menguasai pasangannya.

Cemburu adalah salah satu ancaman serius kepada kasih sayang disebabkan emosi cemburu boleh mencetuskan pelbagai masalah. Malah cemburu merupakan salah satu punca perceraian.

Orang yang mempunyai pasangan yang amat pencemburu tidak dapat hidup bahagia disebabkan tingkah laku si pencemburu itu amat menyusahkannya. Oleh itu adalah normal apabila seseorang itu takut kalau-kalau dia terkahwin orang yang amat pencemburu.

Dari satu segi kita tidak mempunyai panduan bagi mengenal pasti individu yang amat cemburu ataupun tidak kerana sifat pencemburu bukan berpunca daripada ciri-ciri personaliti seseorang itu, dalam erti kata tidak ada orang yang dilahirkan dengan sikap pencemburu.

Seseorang itu menjadi pencemburu akibat ciri-ciri yang ada pada perhubungannya dengan pasangannya. Inilah yang menyebabkan seseorang itu tidak menjadi pencemburu sekiranya dia berkahwin dengan orang tertentu, tetapi dia menjadi pencemburu disebabkan dia berkahwin dengan orang lain.

Sebagai contoh, seorang guru perempuan sekolah rendah tidak menjadi pencemburu sekiranya dia berkahwin dengan guru juga. Tetapi disebabkan kemudian suaminya menjadi seorang bisnesman yang kaya raya dan kerap out-station, maka dia menjadi seorang yang sangat pencemburu.

Faktor paling utama yang dapat meramalkan sama ada seseorang itu akan menjadi pasangan pencemburu ialah wujudnya beberapa ciri pada perhubungannya dengan pasangannya.

Salah satu faktor yang menghasilkan masalah pasangan pencemburu ialah wujudnya jurang perbezaan ‘daya tarikan’ yang luas antara suami dan isteri. Daya tarikan ialah ciri-ciri peribadi yang menjadikan seseorang itu menarik pada kaum bukan sejenisnya.

Perempuan-perempuan yang berwajah jelita dan memiliki bentuk tubuh badan yang cantik amat mudah menarik minat lelaki, manakala lelaki-lelaki yang memiliki wang dan kuasa amat mudah menarik minat perempuan. Seorang lelaki kaya tetapi tua yang berkahwin dengan gadis model yang muda dan jelita besar kemungkinan akan amat mencemburui isterinya. Seorang janda yang berkahwin dengan pemuda 9 tahun lebih muda daripadanya mungkin akan amat mencemburui suaminya itu.

Faktor-faktor yang menjadikan seseorang itu menarik kaum bukan sejenisnya ialah keelokan rupa paras, kelulusan tinggi, jawatan penting, kejayaan ekonomi, bakat istimewa, taraf sosial, keturunan mulia dan lain-lain ciri seperti itu.

Keelokan rupa paras membuatkan model-model, bintang-bintang filem dan personaliti tv yang tampan dan jelita diminati oleh ramai orang. Bakat-bakat istimewa membuatkan orang-orang seperti pelakon, penyanyi, pemuzik, penulis, pelukis, ahli sukan dan lain-lain mempunyai ramai peminat. Manakala kuasa membuatkan lelaki-lelaki yang kaya ataupun berjawatan tinggi, baik yang masih muda ataupun yang sudah tua amat mudah membuat perempuan-perempuan tertarik kepada mereka.

Orang-orang yang memiliki daya tarikan yang tinggi dipandang sangat menarik oleh mereka yang bukan sejenisnya. Lelaki yang memiliki daya tarikan tinggi dipandang sangat menarik perempuan-perempuan, dan begitu juga sebaliknya. Ramai yang berminat untuk menjadikan mereka sahabat, teman wanita, kekasih, suami ataupun isteri.

Kedudukan ekonomi yang dimiliki oleh lelaki juga menjadikan lelaki itu amat menarik di mata perempuan. Walaupun rupa paras lelaki itu tidak amat elok, manakala usianya juga sudah lanjut, tetapi dengan memiliki wang dan harta yang banyak, lelaki seperti mereka itu dipandang amat sesuai dijadikan suami oleh perempuan, termasuk gadis-gadis yang jauh lebih muda dan jelita, tidak kurang pula yang sudi menjadi isteri muda mereka.

Orang yang amat pencemburu berasa dirinya seorang yang tidak menarik apabila dia membandingkan dirinya dengan pasangannya. Perasaannya itu berpunca daripada faktor-faktor yang ada pada dirinya.

Jikalau si pencemburu itu seorang perempuan, dia mungkin tidak mempunyai wajah dan penampilan yang boleh menarik minat lelaki-lelaki lain, disebabkan mungkin rupa parasnya tidak jelita, ataupun dia kini sudah tua, ataupun dia terlalu kurus dan lain-lain kekurangan pada tubuh badannya, manakala suaminya pula sangat tampan ataupun mempunyai kedudukan yang tinggi oleh itu mudah menarik minat perempuan-perempuan lain. Yang sebaliknya juga boleh berlaku dengan lelaki.

Perempuan yang pencemburu mungkin tidak memiliki kelebihan-kelebihan sosial, seperti kelulusannya rendah, ataupun jawatannya juga rendah, manakala kekasihnya ataupun suaminya mempunyai kelulusan dan kedudukan sosial yang jauh lebih tinggi.

Tidak seperti pasangannya, si pencemburu mungkin tidak memiliki sebarang bakat yang dihargai oleh masyarakat seperti bakat seni, sukan, dan seumpamanya yang boleh mengimbangi kekurangan-kekurangnya dari sudut-sudut lain dibandingkan dengan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh pasangannya.

Tanpa memilik bakat-bakat istimewa si pencemburu dia tidak dapat memiliki pencapaian peribadi yang istimewa. Individu seperti itu dia tidak berupaya mencipta bagi dirinya kejayaan di dalam kerjayanya ataupun di dalam bidang-bidang lain seperti itu, bagi menjadikan dirinya seorang yang sama menarik berbanding dengan pasangannya memiliki pencapaian tinggi.

Kajian pakar-pakar mendapati semakin luas jurang daya tarikan yang wujud antara seseorang dengan pasangannya, semakin besar kemungkinan pasangannya itu akan menjadi seorang yang amat pencemburu.

Hasil kajian ini mempunyai implikasi kepada anda yang sedang mencari bakal pasangan hidup. Untuk mengelakkan masalah cemburu yang serius, pilihlah pasangan yang memiliki daya tarikan yang seimbang dengan diri sendiri.

Pasangan yang mempunyai daya tarikan yang seimbang, iaitu kedua-duanya sama-sama menarik, lazimnya pasangan seperti ini tidak menghadapi masalah cemburu yang serius.

Apabila salah seorang itu jauh lebih menarik dibandingkan dengan pasangannya, pihak yang tidak mempunyai daya tarikan yang tinggi akan menjadi seorang yang pencemburu.

NOTA: Nabi Muhammad menggalakkan kita kahwin sekufu.....


Sumber: facebook.com
_________________

Komen saya:
Ada lagi faktor-faktor lain yang menjadikan seseorang itu mempunyai perasaan cemburu yang tidak dapat dirasai oleh seseorang melainkan insan yang dianugerahinya itu. Cemburu itu adakalanya baik dan adakalanya tidak baik, bergantung pada situasi, keadaan dan tahap seseorang dalam memiliki perasaan tersebut.



Wednesday, December 2, 2009

Yang Baik Jadi Jahat



Sudah menjadi lumrah dewasa ini sesuatu yang baik cuba digambarkan bahawa ianya buruk dan jahat manakala sesuatu yang tidak baik pula cuba digambarkan sebagai baik dan beretika. Ia bermula dengan apa yang dilakukan diperingkat antarabangsa bilamana Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat cuba sedaya upaya melalui propagandanya menggambarkan bahawa Islam dan setiap yang berjuang atas dasar Islam adalah jahat.


Sebagai contoh di Palestin, rakyat Palestinlah yang digambarkan sebagai bersalah dan ganas kerana memulakan serangan ke atas Yahudi manakala Yahudi diibarat umpama orang baik yang terpaksa mempertahankan diri. Setiap pembunuhan, rampasan tanah dan tindakan ganas disandarkan kepada kewajaran sebagai tindakabalas terhadap kelakuan rakyat Palestin yang kononnya selalu memulakan kekacauan, sedangkan Yahudi yang disokong AS lah yang secara terang-terangan merampas tanah hak milik sah rakyat Palestin!

Dalam isu di Afghanistan pula, kerajaan Taliban yang terdiri dari kalangan pelajar-pelajar dan ulama yang telah Berjaya menghalau penjajah Rusia dan mengembalikan suasana beragama dan berpegang pada adat budaya di Afghanistan akhirnya bertukar menjadi pengganas paling dikehendaki akibat dari propapanga memerangai keganasan antarabangsa anjuran Amerika Syarikat! Malah imej anbiya dan ulama yang terdapat pada Osama bin Laden telah dimomokkan sebagai kepala pengganas manakala imej korporat pemimpin-pemimpin Amerika dan Yahudi seolah-olah menjadi lambang kepada keamanan sejagat.

Usaha berterusan memburukkan imej Islam ini dilakukan terus-terusan sehingga berjangkit ke dalam Negara-negara umat Islam sendiri dan mungkin inilah yang dimahukan oleh musuh Islam. Hari ini mereka yang mengepalai negara-negara Islam tanpa disedari telah menuruti jejak Yahudi dan Amerika Syarikat apabila menghalakan serangan kepada tokoh-tokoh ulama dan para pendakwah serta gerakan Islam yang dituduh membawa ajaran salah dan menggugat keamanan negara.

Tokoh-tokoh Islam cuba digambarkan sebagai keterlaluan dan tidak berakhlak sedangkan dalam masa yang sama para menteri dan pemimpin yang jelas terlibat dengan rasuah, mengumpul kekayaan negara malah ada yang terlibat dengan konspirasi pembunuhan digambarkan sebagai pemimpin bertaraf dunia dan sangat prihatin kepada rakyat. Gerakan Islam dan Parti Islam dimomokkan sebagai hilang pengaruh, tiada prinsip dan membawa rakyat ke belakang manakala kumpulan berideologikan fahaman kebangsaan, liberal dan sekular adalah sangat baik dan berjuang demi rakyat.

Agaknya inilah juga yang sedang berlaku di dalam negara kita, saban waktu dan hari media massa memainkan isu memburuk-burukkan YAB Menteri Besar Kelantan. Pada mulanya berminat juga mengikuti pelbagai isu yang dibongkarkan, tetapi akhirnya ia menjadi muak kerana ia sudah menjadi agak keterlaluan. Umpama makan nasi, jika terlalu banyak dan lauk yang sama pula setiap hari akhirnya akan jadi meloya dan muntah! Jika tidak suka dengan beliaupun cukuplah sekadar dengan memintanya berundur , bukannya membelasahnya tanpa adab dan etika.

Jika ada orang yang mendakwa Nik Aziz bukan ulama, bukan tokoh agama dan tidak baik lakunya, maka orang yang mendakwa itu seharusnya dilihat lebih baik dan sewajibnya mengamalkan agama dalam diri sendiri, isteri, keluarga dan kumpulannya. Tetapi jika cuba mendakwa MB Kelantan mengamalkan kronisme, mengumpul kekayaan dan tidak Islamik sedangkan orang yang berkata demikian 2 x 5 atau mungkin lebih hodoh lakunya ia hanya seperti kata pepatah “Mengata dulang paku serpih mengata orang awak yang lebih”.

Sabda Rasulullah SAW:

Ertinya:Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik". H.R. Thabrani

Dalam negara kita nampaknya pemimpin yang hidup mewah, mempunyai rumah bernilai jutaan ringgit, isteri mendedah aurat dan berpakaian mahal serta bertabarujj, kurang ke Masjid tetapi banyak menghadiri majlis-majlis berprestij di hotel-hotel lima bintang, memiliki deretan kenderaan mewah dan hidup bersenang lenang dianggap lebih mulia dari seorang pemimpin yang sederhana, rumah sederhana, tiada deretan kenderaan mewah, banyak masanya di Masjid bersama orang kampung, mengajar agama dan kuat ibadatnya.

Malang seribu kali malang jika inilah budaya yang sedang ditanamkan oleh media massa kepada rakyat Malaysia hari ini, kerana jika ia benar-benar diterima sebagai satu pegangan maka akan rosak binasalah negara kita pada masa akan datang! Agaknya kita kena banyak membaca sejarah pemimpin agung Islam zaman silam seperti Saidina Umar r.a atau Khalifah Umar bin Abdul Aziz, kemudian barulah kita membuat penilaian kepada situasi yang berlaku sekarang supaya kita tidak menjadi pak turut kepada Yahudi dan AS yang suka hati melihat tingkah laku kita yang pastinya amat menguntungkan kempen mereka! Juga kita bimbang tersilap membenci dan berlaku zalim kepada seorang manusia sedangkan ia disayangi oleh para Malaikat di langit....

Sabda Rasulullah SAW:
Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; 'Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)." .H.R Ahmad


Sumber: zuridanmdaud.blogspot.com



Tuesday, December 1, 2009

Khutbah Arafah 1430H




Sumber: youtube.com


Monday, November 30, 2009

Wanita Malaysia Tiada Maruah?

Oleh kerana saya telah hidup sebagai seorang pelajar dan tenaga pengajar di bumi UIAM selama hampir sepuluh tahun, maka sedikit sebanyak saya telah mengetahui kepelbagaian bahasa, budaya dan tingkahlaku orang-orang asing yang menjadi penduduk universiti tersebut. Saya juga mempunyai pensyarah, kawan dan kenalan dari berbagai-bagai negara. Al-hamdulillah, seronok dengan pengalaman bersama mereka.

Baru-baru ini saya ada menerima e-mel dari seorang kawan luar negara yang berpenghuni di bumi UIAM. Dia menulis e-mel tersebut dalam Bahasa Arab. Walaupun ianya ringkas, namun padat dan memberi tamparan hebat kepada saya sebagai seorang wanita muslimah Malaysia.

E-melnya berbunyi (terjemahan):

"Hari ini saya telah bertemu dengan orang Arab yang berkahwin dengan wanita Bosnia, lalu saya bertanya kepadanya: Kenapa kamu tidak berkahwin dengan orang Malaysia? Dia (lelaki Arab) itu menjawab: saya tidak suka wanita Malaysia kerana saya tengok mereka tidak mentaati suami, sentiasa bekerja (di luar rumah), mempunyai kawan-kawan lelaki, dan mempunyai sifat takabbur (sombong). Budaya ini memang berbeza dengan budaya kita. Saya (penulis e-mel) berkata: Ya, betul."

Apakah benar wanita Malaysia sedemikian rupa? Wanita Malaysia tiada maruah?
Saya begitu teruja dan teruji dengan kata-kata tersebut lalu saya mebalas e-mel itu dengan seberapa segera.

Jawapan saya yang ringkas:

"Apa yang awak perkatakan itu tidak semuanya betul. Bahkan memang ramai di kalangan wanita Melayu Malaysia yang mentaati suami. Kalau tidak, masakan ada keluarga yang bahagia, berjaya dan cemerlang?! Awak hiduplah di mana-mana pun, negara mana dan bumi mana sekalipun, awak akan dapati wanita yang baik dan wanita yang tidak baik. Begitu juga dengan lelaki; pasti ada yang baik dan ada yang jahat di dunia ini. Hatta awak berada di negara Arab sekalipun.

Saya sekarang hidup di negara Arab, al-hamdulillah, saya bersyukur kepada Allah, saya dapat kenal manusia, saya kenal orang Arab. Ketahuilah bahawa orang yang bertakwa kepada Allah itu ialah mereka yang mendengar kalam Allah, mengikuti segala kebaikan. Mudah-mudahan Allah Taala menjadikan kita insan yang bertakwa kepadaNya. Allahumma aamin...

Wanita Malaysia suka bekerja di luar rumah. Ya, betul. Tetapi ingat, mereka bekerja dengan izin suami. Soalan saya: Adakah Islam menegah wanita dari bekerja di luar rumah? Tidak sama sekali. Islam tidak pernah menegah wanita dari bekerja. Yang ditegahnya ialah bila adanya ikhtilat yang haram (percampuran yang bebas tanpa ada batasan) di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Bahkan di zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam pun ada wanita yang bekerja, tetapi dalam hudud-hudud tertentu.

Saya ada banyak membaca kisah-kisah para wanita dan sahabiyyah yang hidupnya bekerja di luar rumah, mencari rezeki, berdakwah, memberikan khidmat kepada masyarakat demi perjuangan Islam. Oh, indahnya hidup di bawah lembayung Islam yang suci ini.


Kesimpulannya, terpulang pada diri masing-masing. Fikir dengan mata hati yang bercampur-baur dengan keimanan yang tinggi pada Rabbul Izzati, bertunggakkan kepada al-Quran dan as-Sunnah. In syaa Allah, kita akan sentiasa dan perlu sentiasa bertakwa kepada Allah walau di mana saja kita berada."


30 November 2009



Sunday, November 29, 2009

Arafah - Hitung Kami Sebagai TamuMu

Oleh: Husam Musa

9 Zulhijjah – ‘himpunan di Padang Kebangkitan Semula’.

Haji adalah Arafah – kata Rasulullah. Arafah - padang berhamparan pasir beratapkan sinar mentari terik. Pakaian rasminya ‘kain kafan tak berjahit’, putih menyelimuti ‘mayat’ yang akan bangkit di hadapan Rabnya.

Pangkat, kedudukan, kekayaan, keturunan, telah ‘ditinggalkan’. Sebuah kehidupan baru akan bermula. Sebuah keputusan sedang ditunggu. Keampunan? Penerimaan?

Insan beruntung dibasahi tangisan penyesalan. Satu demi satu rantai noda dan dosa terbayang – diikuti keinsafan. Sedar akan kesalahan. Dosa sesama insan, umpat keji, caci maki, hasad dengki, adu domba, makar yang hina, fitnah dan dusta, perampokan maruah, harta atau apa saja, berat di atas pundak. Di depan api, mundur ke belakang semula tidak bisa lagi.

Dosa pada Ilahi, yang masih ingat, yang sudah terlupa, yang disedari, banyak pula yang tak disedari, yang baru, yang lama, yang kecil, yang besar – bakarlah semuanya di Arafah supaya di Mahsyar nanti tidak lagi digalas beban. Ampuni!
Menjadi tamu – hanya di padang pasir hangat ini? Mana pelayan? Mana kemewahan? Mana kebesaran? Padang gersang ini untuk tetamu Tuhan?

Ia sebuah refleksi. Masa depan yang tidak sesiapa pun dapat lari darinya. Hadapi realiti sebelum realiti tak dapat ditolak lagi!

Padang hangat membakar ego diri, kemegahan, keangguhan. Pedulilah pada hari yang berat, hisablah diri, bakarlah sifat permusuhan mu, keluarlah sebagai bayi suci yang dosanya telah dibakar hangus. Selamanya, Mahsyar ini akan berdiri dalam dirinya sampai ketemu Mahsyar sejati.

Ia sebuah persinggahan. Wukuf. Sedemikian jauh engkau berjalan dalam hidup mu, tersadai di persinggahan ini juga engkau?

Menuju destinasi Keampunan atau Kemurkaan. Penerimaan atau Penolakan. Ia sebuah persinggahan menuju destinasi.

RahmatMU jua kami pohon – jadikan hari ini hari pengampunan untuk kami, sekalipun kami hanya di sini. Sekalipun manusia lain enggan mempedulikan lintasan Kebesaran Hari WukufMu ini dalam kelalaian mereka.

Perhatikan juga sebahagian petikan Syarahan Perdana Junjungan Mulia dalam Hajinya yang terakhir, pesan untuk semua manusia;

"Wahai manusia! Dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia! Sepertimana engkau menganggap bulan ini, hari ini dan kota ini adalah suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih)

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh."



Sumber: cetusan-hati.blogspot.com