Tuesday, July 7, 2009

Bila Ahli Bahasa Mula Bersuara...

Musim panas ni aku pasti bertemankan payung bila keluar rumah. Maklumlah, puteri lilin katakan. Kalau tak guna payung, aku mudah sakit kepala, dek kepanasan di bumi sahara.

Kalau di bumi Malaysia, mungkin banyak tempat ku boleh berteduh, ditambahi pokok-pokok yang rendang yang boleh memayungiku. Lagipun, kalau keluar rumah dah ada kenderaan di depan mata. Payung pun tetap setia dalam kenderaanku. Jadi, kuranglah berjemur panas di tanahairku.

Hidup di bumi Syam ini cukup berbeza budayanya. Orang sini hanya guna payung waktu hujan sahaja. Kalau musim panas ni, mereka redah je, tak kira laki atau perempuan, muda atau tua, kecil atau besar.

Aku pulak memang anak Melayu, Malaysia, dah biasa guna payung, tak kira musim panas atau hujan, maka kat sini pun aku buat macam tu lah juga. Pernah ada orang Malaysia tanya: "tak malu ke guna payung kat sini?". Huh, lantaklah depe nak cakap apa pun. Yang penting aku selamat, tak sakit kepala. Lagipun bukan salah pun aku nak guna payung.

Memang selalulah kat sini, kalau aku bersama temanku keluar rumah menggunakan payung, adalah manusia yang tesengih-sengih, senyum-senyum, menunjukkan wajah kehairanan, dok asyik tengoklah perjalanan kami. Mungkin bagi mereka sangat pelik ada orang guna payung musim panas ni. Pernah satu ketika, ada yang bertanya: "fi mator?" (hujan ke?), lantas aku jawab: "panas lah!".

Begitulah jadinya kalau kita tak kenal budaya orang. Tambahan lagi, tak pernah keluar ke negara orang, tak pernah bergaul dengan orang asing, maka kita menganggap budaya orang lain pelik dan janggal bagi kita. Dan yang menghairankan lagi, sesetengah orang tidak mahu menerima dan mengiktiraf serta menghormati budaya orang lain.

Nak diceritakan di sini juga, semalam aku pergi jamiah, ada urusan peribadiku di sana. Aku berjumpa sekejap dengan kawan sekelasku Nasirah, lalu dia mengajak aku pergi jumpa Dr. Nihad, Doktor yang masyhur dengan 'otak geliga' dalam ilmu lughah. Kalau masuk muhadharah Dr. Nihad, memang pastilah akan ada benda yang aku tak faham. Maklumlah, bahasa beliau memang berada di awangan, mengalahkan kebanyakan Doktor-Doktor lain.

Setelah aku dan kawanku dihidangkan secawan teh, kami bersembang tentang perkara yang berkaitan dengan pengajian. Kemudian Nasirah menukar topik. "Doktor, Hasliza ni suka bawa payung. Dia tak tahan panas", katanya. Aku tersenyum panjang. Dr. Nihad terus memandangku. "Tahun ni cuaca 'lathif', tidak sepertimana kebiasaan cuaca Saifi, sekejap panas, sekejap kurang", katanya.

"Doktor, di Malaysia, orang guna payung, tak kira samada hujan atau panas", kataku pada Doktor. "Orang sini tak guna payung ya bila musim panas", kataku lagi. "Tak", jawabnya ringkas. "Doktor, orang sini gelakkan sayalah bila saya bawa payung, ada setengah tu siap tanya lagi: ada hujan ke?", beritahuku lagi pada Doktor.

Dr. Nihad pandangku lagi, lalu beliau berkata: "Hasliza, kamu jawab je lah macam ni pada mereka: "payung ni kan namanya 'syamsiyyah', maknanya penggunaannya itu untuk matahari, namanya juga 'mizhollah', alat untuk berteduh, bukan namanya 'mimatroh' (alat untuk hujan).

Ya salam...aku dan Nasirah tergelak kecil dengan jawapan yang diberikan oleh Dr. Nihad itu. Memang 'tabiklah' kat Dr. Nihad. Beliau menyokong perbuatanku. Bolehlah aku buat 'modal' jawapan bila ada orang tanyaku lagi. Kawanku itu amat memuji beliau. Katanya Dr. Nihad memang best, memang bijak. Sememangnya, ahli bahasa tetap akan bersuara dengan bahasanya.



Monday, July 6, 2009

Cemar Hati Hanya Bersih Dengan Agama Allah SWT

Oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mon | Jul 06, 09 | 12:19:54 pm MYT

Sesungguhnya Allah SWT perintah dengan wajib manusia supaya makan makanan yang toiyyib (halal). Dalam wahyu-Nya Tuhan letak dahulu larangan makan makanan yang tidak baik sebelum larangan bunuh manusia.

Seperti firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu. Dan janganlah membunuh dirimu (membunuh diri dan orang lain); sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu." (Surah An-Nisa ayat 29)

Terdapat dua hukum dalam satu ayat; pertama larangan memakan harta dengan jalan tiada hak (batil). Tegahan kedua larangan membunuh sama ada membunuh diri atau membunuh individu lain.

Kedua-duanya larangan dalam perkara yang mungkar, tetapi Allah SWT letakkan larangan memakan harta dengan jalan yang tidak betul terlebih dahulu daripada larangan membunuh.

Susunan itu menunjukkan agama Islam mengutamakan masalah makan minum dengan cara diredai-Nya lebih dahulu daripada tegahan selainnya.

Sepaling jahat manusia itu tidak akan melakukan pembunuhan, kecuali mesti ada sebab alasannya. Pembunuhan dapat dikawal seandainya manusia dapat mengawal makan minum harta benda daripada penipuan dan pengkhianatan, pencurian serta rompakan.

Masalah harta menjadi kepentingan bersama dalam situasi terkawal itu, dengan sendirinya menutup punca krisis dan jenayah dalam masyarakat. Di sinilah kedudukan ajaran Islam itu adalah agama menyeluruh Allah SWT, tidak boleh di ambil hanya sebahagiannya dan mengabaikan selebihnya yang dianggap merugikan.

Wajib menerima sepenuhnya apa yang disuruh, meninggalkan apa jua yang diharamkan-Nya. Allah SWT letak dahulu larangan makan harta yang tidak baik daripada larangan membunuh, dengan tujuan membesarkan untuk menimbulkan rasa penting dan gerun di kalangan manusia dengannya.

Ini supaya mengutamakan rezeki yang halal selain memenuhi keperluan, ia juga untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Hanya Islam sahaja yang mempunyai ajaran 'berkat', ia ajaran agama yang mesti dijaga dan diawasi sepenuhnya. Ini supaya rezeki yang dimakan dan pakaian halal yang di pakai akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Harta di tangan manusia pada hakikatnya hak milik Allah SWT, justeru Dia mengingatkan manusia ditegah mengambilnya dengan cara yang batal. Harta kepunyaan orang lain boleh dimiliki hanya melalui cara yang diizinkn oleh syariat, iaitu dengan cara jual beli sesama reda atau sedekah.

Dikurniakan harta oleh Allah SWT kepada manusia sedangkan seluruh mereka menjadi anggota masyarakat, mereka mesti saling bekerjasama untuk mengambil manfaat daripada rezeki yang dikurniakan itu.

Sebagai anggota masyarakat mesti menjauhi tindakan ambil harta antara mereka dengan cara yang batal, pada hakikatnya mereka saling memerlukan antara satu sama lain.

Setiap daripada anggota masyarakat tidak upaya hidup sendirian, kerana semua keperluan hidup tidak dapat diadakan sendiri. Makan dan pakaian serta tempat tinggal saling bergantung dengan pihak lain.

Dengan adanya para petani di kalangan masyarakat, orang ramai dapat keperluan makanan terhindar daripada kebuluran. Dengan adanya para nelayan orang ramai dapat makan lauk ikan sebagai sumber protein.

Dengan wujudnya pengusaha pakaian orang ramai dapat menutup aurat, begitulah seterusnya dalam perkara penting lain yang diperlukan anggota masyarakat.

Apabila Allah SWT melarang melalui firman-Nya; jangan memakan harta sesama manusia dengan jalan batil, bererti mengajar orang beriman supaya hidup saling bekerjasama dan bersatu padu.

Inilah perpaduan sebenar yang diajar Allah SWT kepada manusia, ribuan tahun sebelum wujudnya kerajaan manusia dengan teori perpaduannya.

Begitulah kedudukan manusia sebagai anggota masyarakat, antara satu sama lain saling memerlukan mesti tali menali paut memaut.

Allah SWT melarang keras pembunuhan, kerana pada hakikatnya individu dibunuh itu ibarat dirinya sendiri. Dalam erti kata membunuh saudaranya sesama anggota masyarakat, yang saling memerlukan dalam kehidupan hariannya.

Kembali kepada persoalan makanan mesti dalam situasi halal, adapun mendapatkan makanan halal itu fardu daripada asas agama. Setiap sajian yang dihidang untuk diri dan keluarga, tentukan kehalalannya terlebih dahulu. Demikianlah yang dituntut oleh Islam.

Perkara adab kedua yang mesti dijaga sebelum makan ialah basuh tangan, juga tangan keluarga yang akan menikmati sajian itu. Basuh tangan sebelum makan bukannya adat resam atau budaya sesuatu bangsa, tetapi ajaran agama Islam.

Sekiranya waktu basuh tangan dengan niat menjunjung ajaran agama, semestinya tangan jadi bersih serta dapat pahala daripada Allah SWT pula. Allah SWT perintahkan basuh tangan sebelum makan, lantaran ia tidak sunyi daripada kekotoran sewaktu melakukan kegiatan harian di mana jua.

Membersihkan tangan dicuci dengan air, sementara pencemaran hati dibersihkan dengan ajaran agama Allah SWT.


Sumber: harakahdaily.net


Sunday, July 5, 2009

Manusia Tidak Lekang Dari Ujian


Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Dalam al-Quran, ada dijelaskan beberapa bentuk ujian yang mesti dilalui oleh setiap individu Muslim, sama ada ia berbentuk ujian kebuluran, ketakutan, ujian dengan sedikit sumber pemakanan, harta benda, ujian dalam kehidupan adalah untuk Allah ketahui siapakah di kalangan hamba-hamba-Nya yang paling bertakwa kepada-Nya.

Kesemua itu adalah bertujuan supaya orang Islam semakin matang dalam menempuh perjuangan hidup. Allah SWT tidak memberi mereka meraba-raba dengan ujian yang didatangkan kepada mereka, akan tetapi Dia mengajar mereka untuk berlindung dan bermohon kepada-Nya melalui program ibadat solat dan sabar dalam menghadapi ujian.

Firman Allah SWT menerusi ayat 45 surah al-Baqarah, bermaksud: "Jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amat berat, melainkan kepada orang-orang yang khusyuk."

Dalam ayat 153 pula, Allah menjelaskan maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu, sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar."

Kedua-dua ayat tersebut di atas, memberi penjelasan bahawa Allah SWT telah meletakkan syarat terpenting dalam menghadapi ujian-Nya ialah dengan berbanyak sabar dan melakukan solat, sama ada yang wajib atau sunat, kerana dengannya kita boleh bermohon kepada-Nya untuk menyelamatkan kita daripada sebarang bentuk marabahaya yang boleh menimpa kita pada bila-bila masa.

Sifat sabar itu lahir apabila manusia ditimpa ujian getir daripada Allah SWT, ia bertujuan untuk memperkasa diri Muslim untuk terus berhubungan dengan Allah sebagai tanda penyerahan diri mereka hanya kepada Allah, dan sabar itu pula boleh dikategorikan sebagai berikut;

1. Sabar dalam melaksanakan segenap perintah Allah dengan penuh rasa khusyuk dan pasrah kepada-Nya.

2. Sabar dalam meninggalkan segala larangan dan tegahan-Nya dengan penuh rasa tanggungjawab.

3. Sabar dalam menempuh segala ujian, kerana ia mengandungi kebaikan untuk semua.

4. Sabar ketika berhadapan dengan maksiat.

5. Sabar terhadap ketentuan dan musibah.

Apabila dilihat kepada sirah para anbiya tidak seorang pun daripada mereka yang tidak diuji oleh Allah, namun ujian yang ditimpakan ke atas mereka tidaklah sama antara seorang rasul dengan yang lain, justeru baginda ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud; "Para anbiya adalah golongan yang paling dahsyat ditimpakan ujian oleh Allah, kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama)."

Sehubungan itu, Al-marhum Ustaz Mustafa Masyhur (Mursyidul Am kelima Ikhwan Muslimin menerusi tulisannya 'Bekalan kepada Para Da'ie' ada menyatakan, bahawa mana-mana individu atau jemaah tertentu yang memperjuangkan Islam, jika tidak melalui proses ujian, maka ia masih belum boleh dikatakan berjaya dalam dakwahnya.

Beberapa perkara yang berkaitan dengan ujian

1. Bahawa Allah SWT menjadikan ujian sebagai sunnah-Nya, supaya Dia mengetahui di kalangan hamba-Nya yang jujur dan mana yang berdusta, mana yang benar-benar beriman dan mana yang munafik. Jika sekiranya semua perkara itu mudah dan penuh dengan kesenangan, nescaya semua orang akan mengaku bahawa dia adalah seorang yang jujur, benar dan beriman. Akan tetapi, Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar jujur dan orang yang melaksanakan solat lima waktu.

2. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada setiap ujian, iaitu membersihkan orang-orang yang komited dalam perjuangan mendaulatkan Islam, supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang menghina orang-orang soleh dengan pelbagai tindakan jahat, termasuk para da'ie, penuntut ilmu, para ulama dan para wali Allah.

3. Antara rahsia daripada ujian dan cubaan yang diturunkan Allah ke atas permukaan bumi ini, iaitu penghapusan pelbagai kesalahan dan dosa yang terdapat pada diri orang-orang pilihan, sehingga Allah akan gugurkannya hingga ke akar umbinya.

4. Bahawa agama Islam ini, meskipun sering diberitakan bahawa ia sudah menang dan berjaya, sebenarnya di tengah-tengah perjalanan, masih penuh pelbagai cabaran dan tentangan, cubaan dan konspirasi jahat yang merintang, sehingga seorang mukmin masih bimbang menghadapi pelbagai konspirasi busuk yang dilancarkan syaitan yang berupa manusia terkutuk dari setiap pintu, jendela dan setiap arah.

5. Kita mampu menyingkap pelbagai konspirasi jahat musuh-musuh Islam, hingga kita mengetahui bahawa konspirasi busuk mereka tidak terbatas pada satu dimensi sahaja, akan tetapi datang dari semua arah dan tempat, pembunuhan, penjara, pengusiran, pencemaran nama baik, pembohongan, tipu daya dan sebagainya. Akan tetapi semua itu akan berakhir dengan kegagalan.

6. Antara pelajaran yang dapat diambil daripada ujian yang ditimpakan, iaitu agar seorang hamba sentiasa berjuang dan bangkit daripada jurang kerendahan dan kehinaan, serta berjuang kembali dengan tenaga dan semangat baru dan mengembalikan aktivitinya setelah keluar daripada ujian ini dengan jayanya.

7. Hendaklah seorang hamba itu merendahkan diri, patuh, tunduk dan berlindung kepada Allah serta bermunajat kepada-Nya, kerana kemenangan hanya ada di tangan-Nya dan kemuliaan hanya wujud dengan merendah diri kepada-Nya.

8. Kejujuran dan keyakinan tauhid hanya kepada Allah SWT. Hal ini dapat diketahui oleh orang yang telah cuba menerapkan kalimah La ilah Ilallah, di mana kejujuran yang kukuh tidak akan nampak kecuali saat hamba itu mendapat ujian, maka itulah ucapan kalimah tauhid yang diungkapkan dengan penuh kejujuran dan keyakinan dari dalam hatinya.

Justeru, tauhid ini akan dapat dilihat dengan jelas pada masa-masa berlakunya krisis, sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat 65 surah al-Ankabut yang bermaksud: "Maka apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-nya."


Saturday, July 4, 2009

Nak Cerita Tentang Kebersihan

Baru-baru ini, bila saya berada di bumi Turki, bumi yang dikenali terletak di dua benua; benua asia dan benua eropah, saya cukup kagum dengan kebersihan negara tersebut. Hatta tandas-tandas awam di sana dari sudut kebersihannya begitu berbeza dengan bumi Jordan yang saya tinggal sekarang. "Kenapa boleh jadi begini?" saya berfikir sendirian.

Walaupun di sana penggunaan tandas perlu dibayar, namun bagi saya, keselesaan dan kebersihan itu penting berbanding tandas-tandas di sini yang tak memerlukan kos pembayaran, tapi kebersihannya tidak dijaga, kotor, menyakitkan kepala.

Di Turki juga ada tandas-tandas yang buruk tempatnya, tapi bersih, sentiasa ada 'cleaner-cleaner' yang membersih dan menjaganya. Saya tak pasti bagaimana keadaan di sini? Mungkinkah ada 'cleaner-cleaner' atau bagaimana pengurusannya?

Pulang dari Turki, sebaik sahaja melepasi 'border' Negara Turki masuk Syiria, dah rasa lain kebersihannya. Ambil wudhuk di situ untuk solat jamak maghrib dan isyak, sambil menahan bau kekotoran di situ.

Kemudian, sebaik saja sampai ke 'border' Syiria dan Jordan, saya dan akhawat yang lain menuju ke musolla untuk menunaikan solat Subuh. Tandas di situ pun 'sama makna' dengan tandas kat Syiria tadi. Sebelum masuk musolla perlu laluinya terlebih dahulu. Dari jauh lagi, kami menutup hidung, sambil berlari-lari menuju ke tempat solat itu. Al-hamdulillah, wudhuk masih ada, tak perlu diperbaharui. Kami solat Subuh berjamaah. Lega rasanya.

Kebersihan ada kaitan dengan etika dan budaya hidup

Kenapa boleh jadi begini?
Soalan yang sama saya lontarkan lagi.

Ya, kefahaman pada erti kebersihan itu perlu diterapkan dalam diri masing-masing. Etika dan budaya hidup keluarga yang mementingkan kebersihan itu menjadikan sesebuah masyarakat itu akan mementingkan kebersihan. Guru-guru yang mementingkan kebersihan itu melahirkan pelajar-pelajar yang mengambil berat tentang kebersihan. Ketua masyarakat yang suka kepada kebersihan, mendidik anak buahnya supaya hidup dalam kebersihan menjadikan suasana kehidupan kenal erti kebersihan. Begitulah seterusnya.

Teringat saya kepada seorang kawan di UIA dulu, Fasihah, pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan yang berasal dari Singapura. Pernah saya bercakap tentang kebersihan dengannya. Katanya di Singapura cukup mementingkan kebersihan. Dia menceritakan bahawa pernah ada orang yang membuang sampah di merata-rata tempat, maka orang ramai di situ masing-masing berpaling ke arahnya, merasakan suatu perkara yang pelik bila seseorang membuang sampah tidak ke dalam tong sampah atau bukan di kawasan pembuangan sampah.

Oh, begitu sekali etika dan budaya masyarakat Singapura menjaga kebersihan. Terfikir saya bagaimana pemimpin Singapura mampu mengajar rakyatnya sedemikian?

Pernah juga suatu ketika, saya pulang dari Universiti Urduniyyah, menunggu bas bersama kawan Arab, Hind namanya. Sebahagian pelajar di situ makan 'chips', kemudian membuang sampah di tepi jalan begitu sahaja. Menyampahnya saya dengan tabiat sedemikian. Lalu saya bertanya kawan saya itu. "Pelajar sini memang suka buang sampah merata-rata ke?". Ya, jawabnya selamba sambil melahirkan rasa malu di depan saya.

Saya sebagai seorang muslimah tidak sama sekali mengagungkan pemimpin yang tidak ber'aqidahkan dengan aqidah Islam, dan juga negara yang bergelumang dengan sistem komunis dan sekular, namun, amalan Islam yang mereka praktikkan itu, yang benar-benar dianjurkan oleh Nabi saw dijadikan amalan kehidupan mereka. Ini yang membuatkan saya sedikit kecewa dengan sebahagian perangai masyarakat Islam kita, khususnya yang hidup di bumi anbiyaa' ini.

Ayuh, wahai sahabat, kita yang bernabikan Nabi Muhammad saw ini, Nabi untuk semua manusia dan semua bangsa ini, marilah sama-sama kita praktikkan apa yang disuruh oleh baginda saw itu, agar kita salah seorang dari mereka yang cinta dan setia menurut perbuatan baginda tersebut. Ingatlah, Islam tidak perlukan kita, bahkan kita yang perlukan Islam!.



Friday, July 3, 2009

Bersangka Baiklah Kepada Tuhan


Oleh: Azamin Amin
Tue | Jun 30, 09 | 1:08:41 pm MYT

"While people sleep, we work. While people work, we work ahead,"

Saya tidak akan lupa kata-kata itu. Ianya terucap kira-kira 15 tahun lalu oleh pengetua kolej Mr. PMS Jassal ketika saya menekuni pengajian A-Level, jurusan undang-undang di Juara Academy College di ibu kota.

Waktu itu, saya adalah pelajar Melayu tunggal dan 'tunggul' dalam kelas seramai 30 orang itu. Berkecamuk fikiran pada hari pertama saya mendaftar.Masakan tidak, sudahlah 'solo' ditambah pula dengan 'sepatah haram' saya tidak memahami apa yang diajar. Bukan sehari tetapi berjangkit sehingga lebih sebulan!

Tidak cukup dengan itu, saya sering menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas dan pensyarah lantaran kegagalan saya untuk membuat 'presentation' jauh sekali untuk mendapat tempat teratas dalam carta kelas.

Lebih menambahkan pedih dan pilu di jiwa, apabila seorang pelajar yang selalu dianggap 'best student' dalam kelas mencabar sambil menghunuskan jari telunjuknya tepat ke muka saya.

"At the end of the day, nobody can touch me, especially you!" katanya pada saya, terkelipot-kelipot malu.

Seorang pelajar wanita pula, bertaruh untuk menjamu saya makan di hotel lima bintang, sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Saya percaya, dia berani bertaruh kerana yakin yang saya tidak akan menggapai bintang. Betul-betul menghinakan.

Kawan-kawan seperti Manoj Kumar, Manimaran, Azman Sagau dan Ronnie menenangkan saya. Mereka memberi perangsang dan selalu membantu, apa yang saya tidak tahu.

Setelah enam bulan berlalu di kolej itu, saya sering bertemu dengan pensyarah Baljit Singh Sidhu untuk mendapat 'evaluation' atau penilaian ke atas prestasi pengajian saya selama ini dan seperti yang dijangkakan jawapannya cukup mendukacitakan.

"Aaa...don't worry. Bottom line, you boleh pass...," katanya tergesa-gesa. Sedih. Bukannya pangkat A, B atau C tetapi sekadar lulus cukup makan sahaja..

Suatu malam, ketika gelisah untuk melelapkan mata dan merawang masa depan yang kabur, tertangkap kalimah kudus dari ibu tercinta sebagai kata-kata azimat ketika menjejak kaki di ibu kota untuk menuntut ilmu.

"Mak tak boleh tengok dan jaga anak mak setiap masa. Mintalah Allah supaya jaga dan selamatkan anak mak. "Jika susah, mintalah pada Allah, pasti Dia perkenankan. Percayalah..." kata Azizah Jasin, ibu tercinta kepada saya sambil memetik bait-bait ayat kalimah tuhan.

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Surah Ghafir ayat 60)

Saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat. Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah.Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi. Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin. Kamus sentiasa di sisi, tiap kali saya membuka buku. Buku seperti English Legal System, Constitutional Law, Jurisprudence setiap helaiannya saya ulangi sampai lapan kali!

Malah, saya hantar tugasan-tugasan dan 'asignment' sendiri berkajang-kajang kepada pensyarah untuk disemak, bertanya soalan-soalan bertubi-tubi sehingga kelihatan 'membosankan' bagi mereka.Saya kemudian beranikan diri bercakap di khalayak, walaupun 'broken English.'

"Apa nak malu, janji saya maju. Biar mereka ketawa atau sendawa, janji saya berjaya," getus hati cuba menceriakan hari.

Waktu itu, barulah saya tahu, doa dan kerja keras (rajin, usaha) adalah pembuka jalan kejayaan. Mungkin ini ayat 'cliche' atau 'stereotype'. Hakikatnya hidup ini tidak ada yang 'short cut'. Selepas doa itu, setiap apa yang saya pelajari, hafal dan faham datang dengan begitu mudah.

Dikenal ketika senang, dilupa ketika susah

"While people sleep, we work. While people work, we work ahead," kata Jassal menepuk-nepuk bahu saya yang kelihatan agak sugul adakalanya.

Dan di saat saya menjalani proses lipat kali ganda usaha, baru saya tahu bahawa kerajinan orang Cina dan orang Putih atau kaum-kaum lain membuatkan mereka berjaya. Bukannya faktor otak Cina lebih baik dari otak Melayu atau otak Orang Putih lebih baik dari semua otak-otak.

"Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan." (Surah Al-Baqarah: 286)

Begitu juga dengan surah Ar-Ra'ad (ayat 11): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya."

Ya, saya yakin doa akan dimakbulkan tuhan. Usaha gigih dapat balasan setimpal. Tak kira siapa, Melayu, Cina, India dan Mat Salleh juga akan dapat balasan, jika usaha lebih. Bukan masalah otak.

Dulu ketika mengerjakan umrah, saya pernah berdoa yang 'bukan-bukan' di depan Kabaah. Ketika itu, tahun 1990 usia saya menjangkau 16 tahun. Akibat terlalu obses dengan cerita-cerita aneh, mistik dan misteri di Makkah dan Madinah, saya mula memanjatkan doa, untuk melihat bukti kuasa Tuhan. (Kisah ini pernah diterbitkan di Harakah tiga tahun lalu, sebelum menjadi wartawan)

"Ya Allah, jika benar makbul doa di sini, hilanglah seliparku."

Begitu dangkal doa saya dan cuba menguji Tuhan. Sebelum itu telah saya sorokkan selipar buruk itu di suatu sudut di pintu masuk Masjidil Haram.

Ringkaskan cerita, Tuhan makbulkan permintaan saya yang pendek akal itu.Hilang selipar saya, walaupun ianya buruk. Dan lebih parahkan lagi keadaan, selipar saya hilang setiap kali saya beli yang baru, dan berlanjutan selama enam hari!

Mengelabah, pucat dan panik saya dibuatnya. Saya cuba menyembunyikan peristiwa itu daripada ayah saya, yang mula kehairanan apabila setiap hari, tiap kali pulang daripada masjid meminta 5 ke 10 Riyal (lebih kurang RM 5.00 ke RM10.00). Tujuannya hanya untuk membeli selipar baru.

Pernah sekali, saya berkaki ayam dari Masjidil Haram pulang ke tempat penginapan sambil ditertawakan orang Arab yang lalu lalang. Apa boleh buat, itu balasan Allah, pada saya yang mulut celupar.

Dua hari terakhir di Makkah, saya berteleku di depan Kabaah, memperbaharui doa semula dengan penuh rasa insaf.. Sejak doa itu, selipar saya tidak hilang lagi.

Ya, Allah sentiasa selamat dan perkenankan doa saya. Begitu juga yang orang lain. Berusaha dan mintalah, percayalah Allah tidak mengecewakan...

Alhamdullillah, tidak menghampakan apabila Allah kabulkan juga doa saya untuk melintasi peperiksaan A-Level yang diduduki. Walaupun usaha tidak setara mana, tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Ketika keputusan A-Level diumumkan, saya sedang 'bercuti' dan 'mengaji' di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair. Manoj dan Manimaran menghubungi saya melalui telefom awam. Masa itu tidak bercambah lagi, telefon bimbit.

"Congratulations! You and Patricia are the best student in the college. Come drop by, take your exam transcript," ujar Manoj. Barangkali kedua-duanya kini sudah bergelar peguam.

Keesokannya saya sudah terpacak di kolej di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur itu untuk mengambil keputusan dan teka apa yang berlaku?

Pensyarah dan pengetua mula mengerumuni. Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan melahirkan pujian berguni-guni. Yang menghunus jari telunjuk ke muka, yang bertaruh untuk menjamu selera dan yang gelak ketawakan saya, hilang entah ke mana.

Ya, kita dikenang dan dikenal ketika di puncak. Diapung, diangkat dan dijulang ketika senang.

Namun ketika susah, pahit dan payah, siapa pun tidak tahu malah menjarakkan diri, kata benak saya melihat watak-watak yang ada di depan mata. Biarlah...

Ya, akhirnya bila kita berusaha, berdoa dan bersabar, nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita...percayalah.

"Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar." (Surah al Baqarah ayat 155)

Tulisan sepicing ini ataupun coretan caca marba yang tidak seberapa ini saya tujukan ikhlas untuk adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan, yang melanjutkan pelajaran di menara gading dan juga untuk insan-insan yang mulai rasa putus asa, agar sentiasa bersangka baik kepada Tuhan, Allah yang maha tahu beban, kepayahan dan ujian hamba-Nya.


Sumber: harakahdaily.net


Thursday, July 2, 2009

Bila Aku Dalam Perjalanan...

Bila aku dalam perjalanan...pemikiranku menerawang..., melakarkan kata-kata, menulis suasana, mencatat perasaan tanpa reda. Aku kadang-kadang tersenyum, gelak, sedih dan menitiskan airmata. Perasaan demi perasaan singgah dibenakku. Manusia dibuai mimpi, kenyang, "happy go lucky", namun aku masih didakapi perasaan ini. Perasaan yang begitu menyegarkan jiwa bila mengingatimu wahai Ilahi.

Sentiasa dibayangi kehidupan yang penuh kebahagiaan. Bahagia sedemikian rupa yang telah berlalu itu tetap ku kenangi.

Mengenang kesusahan hidup,

yang akhirnya dianugerahi kesenangan
.



Mengenang erti hidup
dalam menimba ilmu di sana,

yang akhirnya terpaksa aku berpaling darinya.



Mengenang kehidupan dalam perkongsian makrifat,
yang akhirnya terpaksa aku lupakan.



Mengenang keseronokan hidup
bersama para ulama,

yang akhirnya terpaksa ku tinggalkan.



Mengenang cintaku pada orang yang soleh,

yang akhirnya aku dipisahkan.



Mengenang rinduku pada insan
yang bergelar pejuang,

yang akhirnya terpaksa aku korbankan.


Mengenang pada insan yang mencetuskan aku
erti tahajjud,

yang akhirnya terpaksa ku ketepikan.



Mengenang pada insan yang mengenalkanku
erti tasawwuf,

yang akhirnya memaksa aku meninggalkannya.



Mengenang pada insan yang berbicara
dengan bahasa al-Quran,

yang akhirnya memaksa aku melupakannya.



Mengenang pada insan yang mengajak aku
erti cinta pada zikrullah,

yang akhirnya memaksa aku
meninggalkan hidup bersamanya.