Sunday, May 24, 2009

Ahli Gerakan Islam Perlu Tahu Uslub Dakwah


Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Uslub dakwah ini penting kerana dengan memelihara uslub ini akan lebih menceriakan arena dakwah, kerana ia lebih memfokuskan kepada golongan sasaran, serta menentukan sama ada dakwah yang dijalankan itu benar-benar menepati acuan, kaedah atau sebaliknya. Matlamat jangka panjang dan pendek, ia bergantung kepada sejauhmana penerapan itu dibuat.

Menurut golongan para pendakwah atau daie, kejayaan atau keberkesanan dakwah yang dilakukan oleh pendakwah, ada kaitan dengan pengamalan seseorang pendakwah.

Antara lain ketaatan kepada pemimpin, menjaga kerahsiaan, memperkasa diri dengan amalan-amalan Islam seperti memberi perhatian kepada pengukuhan ilmu-ilmu alat, membudayakan pembacaan al-Quran, memastikan isteri dan anak perempuan menutup aurat, mewajibkan perkara sunat untuk diri sendiri, tidak melaga-lagakan pemimpin, menjaga solat berjemaah, memimpin pertubuhan, mampu kendali majlis keramaian atau usrah, menepati janji dan tidak merokok.

Pada masa yang sama juga, pendakwah khususnya di kalangan anggota gerakan Islam meletakkan perkara-perkara berikut sebagai asas kepada uslub dakwah:

1. Berhikmah: iaitu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, ia disaring daripada firman Allah SWT menerusi ayat 125 urah an-Nahl yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Hikmah yang dimaksudkan dalam ayat di atas mengandungi pelbagai tujuan yang boleh diselaraskan kepada uslub dakwah, antaranya:

a) Menghormati kotak pemikiran golongan sasaran, maknanya pendakwah perlu melihat tahap mentaliti mereka sebelum menyampaikan sesuatu idea, ditakuti jika tidak sampai apa yang diutarakan, berkemungkinan besar akan menjadi sia-sia, kerana baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa: "Bercakaplah kepada orang ramai menurut tahap cara berfikir mereka."

b) Menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dengan mengelak bahasa bunga yang merumitkan golongan sasaran atau menggunakan bahasa secara berterus-terang hingga dapat digarap dengan mudah.

c) Memilih waktu yang sesuai untuk bercakap pada perkara berhubung Islam atau dakwah, ia disandarkan kepada satu peristiwa yang pernah terjadi pada Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi), di mana beliau sering bercakap tentang Islam pada setiap hari Khamis, salah seorang pendengar setianya bertnya, alangkah bagusnya jika engkau dapat bercakap tentang Islam setiap hari wahai Ibnu Mas'ud, beliau menjawab; aku tidak mahu berbuat demikian bimbang ia akan membosankan kamu semua, aku berbuat demikian sebagai meneladani apa yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ke atas kami. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

d) Mengehadkan masa ketika bercakap - iaitu pendakwah tidak meleret-leret ketika menyampaikan pandangannya tentang sesuatu topik, kerana boleh jadi yang mendengarnya seorang yang sakit, orang tua atau yang mempunyai keperluan lain, lebih-lebih lagi ketika menyampaikan khutbah para jemaah tidak boleh balik awal sebelum solat dilaksanakan dan sebagainya, Rasulullah s.a.w. bila berkhutbah menggunakan pendekatan yang sederhana dan segera agar tidak menyebabkan jemaah lama menunggu.

2. Nasihat yang baik: Iaitu satu nasihat atau peringatan yang boleh melunakkan hati-hati manusia yang keras dengan amalan ahli dunia yang lupakan akhirat khususnya pada hari ini, di mana ramai manusia yang lebih cenderung kepada aspek sukan dan hiburan keterlaluan hingga boleh meninggalkan tugas utama sebagai Muslim/Muslimah iaitu solat fardu lima waktu, begitu juga pendakwah adalah disaran untuk memperbanyak mengingatkan manusia tentang dosa, pahala, syurga, neraka, balasan baik dan buruk. Ia adalah bertujuan untuk mencairkan manusia.

Pendakwah atau daie perlu memelihara perkara berikut:

* Ringkas yang berkesan dan tidak menjemukan penyampaian.

* Menghimpunkan antara perkara baik dan buruk untuk difikirkan.

* Memperbanyakkan sebutan mengenai nikmat Allah ke atas manusia.

* Menyediakan jalan untuk menuju kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat.

3. Berbahas dengan cara yang baik: Berbahas adalah salah satu wasilah atau pendekatan dalam menyampaikan sesuatu hujah, adakalanya ia bersifat mulia dan pada ketika yang lain pula bersifat buruk, ia bergantung kepada sejauh mana cara berbahas tanpa mengikut aliran emosi, berbahas dengan cara mulia ada disebut dalam ayat di atas, surah an-Nahl 125 maksudnya: "Berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Ada pun berbahas yang cenderung kepada sifat tercela disebut Allah dalam surah al-Haj ayat 8 maksudnya: "Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

4. Berbahas dengan cara yang mulia berdasarkan elemen terbaik yang digunakan oleh pendakwah, iaitu mengemukakan hujah mudah tetapi benar yang boleh membuka minda manusia seperti yang ditegaskan Allah mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s. yang berdialog dengan kaumnya, di mana kisah itu dipaparkan menerusi ayat 258 surah al-Baqarah maksudnya: "Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan," ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim."

Pendakwah boleh juga mengambil inisiatif dengan menggunakan pendekatan al-Quran bagi menguatkan hujahnya ketika berbahas atau berdialog dengan golongan sasaran, apatah lagi mereka yang agak degil dan keras kepala.

Ayat 35-37 surah at-Tur boleh dijadikan modal berdakwah, firman Allah maksudnya: "(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (35). Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (sudah tentu tidak!) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (36) Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?(37)"

Pendekatan dakwah juga boleh melalui kisah teladan dalam al-Quran atau pada Sirah Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya kisah-kisah benar yang dipaparkan dalam al-Quran sebenarnya mampu menarik minat golongan sasaran kepada Islam, kerana ia bukanlah kisah dongengan, tetapi kisah benar yang dikisahkan Allah Yang Maha Benar untuk menjadi bahan renungan, kesedaran dan membuka minda untuk berubah.

Sebagai contoh kisah yang dipaparkan melalui ayat 259 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Atau (tidakkah engkau rasa pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?" Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Dia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "(tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging" Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: "Sekarang aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Kesimpulan daripada ayat di atas, bahawa Allah SWT menganjurkan kepada manusia untuk melancong (bukan tujuan maksiat) bagi melihat kebesaran Allah SWT, penting untuk memikirkan pada bahan-bahan ciptaan Allah di muka bumi, menentukan aspek kematian dan kebangkitan yang pasti berlaku, penjelasan mengenai tempoh mati dan hidup tidak boleh dikiaskan dengan kehidupan di dunia, membuktikan kekuasaan Allah dalam melakukan apa sahaja walaupun tidak dapat diterima oleh akal fikiran manusia yang terbatas.

5. Menggunakan teknik soal jawab ketika berdakwah: Penggunaan teknik soal jawab dalam berdakwah, dianggap sebagai satu cara terbaik, kerana ia disandarkan kepada cerita dalam al-Quran, di mana Allah SWT bertanya kepada manusia dalam banyak yang bersifat soalan yang perlu dijawab oleh manusia, antara ayat-ayat berkenaan ialah:

* Ayat 1-3 surah al-Ma'un: "Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1). Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, (2) Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.(3)"

* Surah al-Fil: "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,(3) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, (4) Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.(5)"

6. Membawa contoh-contoh perumpamaan atau bidalan ketika berdakwah: Penguasaan tentang ayat-ayat al-Quran menjadi keutamaan kepada pendakwah, justeru mereka boleh menggunakan ayat-ayat bersifat perumpamaan seperti yang disebut oleh al-Quran menerusi ayat 261 surah al-Baqarah: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."

Kesimpulannya, apabila uslub dakwah yang disyorkan di atas dapat direnungi bersama oleh mereka yang bergelar pendakwah, khususnya yang menjadi anggota gerakan Islam, insya-Allah ia akan menjadi satu pendekatan yang mampu mencairkan manusia yang cenderung kepada kebenaran Islam.

Selamat Mencuba!.

Sumber: harakahdaily.net


Saturday, May 23, 2009

Akhlak Yang Baik

Sesungguhnya Rasulullah saw itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Pada zaman Jahiliah juga kita dapati akhlak yang baik seperti memuliakan tetamu, menjaga maruah, berani dan sebagainya. Namun, di dalam Islam, mereka yang mengamalkan akhlak yang baik ini akan mendapat ganjaran yang tinggi di sisi Allah swt kerana kita berusaha mengikuti akhlak Rasulullah saw.

Akhlak yang baik ini boleh kita perolehinya dengan usaha dan latihan pada diri sendiri. Bagaimana boleh kita aplikasikannya?
Kita jadikan akhlak itu sebagai tuntutan agama kita atau sebagai satu ibadah kepada Allah swt. Ia merupakan satu perkara yang mudah dan di sana akan kita dapati peri pentingnya hidup dengan berbekalkan akhlak. Oleh itu, perlulah kita aplikasikannya terhadap diri kita, jiran-jiran dan terhadap manusia keseluruhannya dengan tiada tujuan untuk kepentingan diri sendiri.

Kelebihan memiliki akhlak yang baik
1) memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah saw mengajar kita bercakap dengan percakapan yang baik, perlu berlapang dada dengan manusia. "Tidak ada satu amalan yang paling berat pada hari qiamat melainkan dengan akhlak yang baik."

2) Akhlak yang baik merupakan ibadah yang disukai oleh Allah Azza wa Jalla. "Yang paling sempurna iman di kalangan orang mukmin ialah mereka yang mempunyai akhlak yang baik".

3) Akhlak yang baik membuktikan ketinggian iman. Sesungguhnya akhlak yang baik itu mempunyai kaitan dengan iman seseorang. Orang yang beriman mempunyai akhlak yang buruk, sebenarnya imannya berkurangan.

Adakah senyum juga termasuk dalam akhlak yang baik?
Memang tidak syak lagi. Senyum terhadap saudara kita dikira sebagai sedeqah. Namun, sebahagian dari kita bakhil untuk melontarkan senyumannya, sedangkan Rasulullah saw itu sentiasa senyum walaupun terdapat percanggahan antara baginda dan para sahabat.

Oleh itu hendaklah kita mengikuti jejak langkah baginda saw al-mustofa, yang mana kehidupan baginda dipenuhi dengan akhlak yang baik, samada dengan ahli keluarganya, dengan sahabat-sahabat, aqriba', sesama manusia sehinggakan dengan musuh dalam peperangan sekalipun.

Akhlak Rasulullah saw dengan ahli keluarganya, kita dapati baginda suka membersihkan rumah, mengatur peralatan rumah, dan menolong isteri-isterinya. Kalaulah baginda saw mampu melakukan sedemikian, maka kita sebagai umatnya perlulah mencontohi baginda .

Rasulullah juga suka minum dari gelas yang diminum oleh isteri baginda dan baginda pernah makan dalam bekas yang dimakan oleh isterinya. Oh, romantiknya pemimpin manusia yang agung ini. "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan ahli keluarganya, dan aku adalah insan yang paling baik terhadap ahli keluargaku."

Pernah berlaku peristiwa sebelum israk dan mikraj, bilamana datang malaikat memberi tawaran kepada Rasulullah saw untuk mebinasakan penduduk Taif yang telah menghina dan mencederakan baginda kerana dakwah Islam, namun Rasulullah tetap menolak tawaran malaikat lalu menyatakan semoga Allah mengeluarkan dari generasi mereka orang-orang yang beriman kepada Allah swt. Nabi saw juga mendoakan agar kaumnya itu mendapat hidayah dari Allah swt. Dengan akhlak yang baik itulah menjadikan manusia tertarik untuk menerima Islam, agama Allah swt ini.

Kenapa sukar untuk kita dapati orang-orang yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji ini?
Kerana mereka menganggap akhlak ini satu perkara kecil, atau urusan biasa yang kurang penting. Mereka juga menganggap bahawa ia merupakan satu perkara yang diharuskan. Sedangkan akhlak yang baik ini sepatutnya dijadikan satu perkara yang perlu ada pada setiap muslim agar kehidupan mereka diberkati Allah swt dan disenangi masyarakat umumnya.


Terjemahan dari siaran tazkirah al-Mahajjah al-Baidhaa', Tajuk: Husnul Khuluq, TV Saudi 1, disampaikan oleh: Dr. Abdullah Ali Basfar.




Tuesday, May 19, 2009

Ya Allah... Jika Aku Jatuh Cinta



Ya Allah...
Jika aku jatuh cinta,
Cintakanlah aku pada seseorang
yang melabuhkan cintanya padaMu,
Agar bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu.


Ya Muhaimin,
Jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku
dalam jurang cinta nafsu...


Ya Rabbana...
Jika aku jatuh hati,
Jagalah hatiku padanya,
Agar tidak berpaling
daripada hatiMu...



Ya Rabbal Izzati...
Jika aku rindu,
Rindukanlah aku pada seseorang
yang merindui syahid
di jalanMu...



Ya Allah...
Jika aku menikmati cinta kekasihMu,
Janganlah kenikmatan itu melebihi
kenikmatan indahnya bermunajat
di sepertiga malam terakhirMu...


Ya Allah,
Jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
Jangan biarkan aku tertatih
dan terjatuh dalam perjalanan panjang
menyeru manusia kepadaMu...


Ya Allah...
Jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
Jangan biarkan aku melampaui batas,
sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
dan rindu abadi hanya kepadaMu.


Aamin...


Sumber: youtube.com




Saturday, May 16, 2009

Hari Keluarga Pantai Timur 2009

Jumaat yang lalu, saya bersama Kak Ina sekeluarga dan Kak Pah sekeluarga menyertai Hari Keluarga Pantai Timur 2009, anjuran PUTRA dan KMKJ. Program ini diadakan di Pantai 'Aqabah.

Bertolak pada jam hampir 1.00 pagi dari Sweileh ini. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah BBQ, sukaneka, haflah khirrij, membeli belah di sekitar 'Aqabah dan aktiviti-aktiviti santai yang lain.

Apapun, seronoklah juga, kali pertama jejak kaki ke 'Aqabah, boleh kenal tempat orang.

Buat akhirnya nak ucapkan jutaan terima kasih pada penganjur anak-anak Kelantan dan Terengganu yang bertungkus-lumus menjayakan program ini, terutamanya yang sudi menjadikan saya dan kakak-kakak kat Sweileh ini sebagai VIP anda :) ..Jazakunnallah khaira

Tak lupa juga buat adik-adik dan akhawat yang berada di Irbid, Mu'tah dan Mafraq, salam mahabbah saya ucapkan buat kalian, kerana dengan pertemuan walaupun hanya 'sekelip mata', menjadikan saya cukup gembira dengan ikatan ukhuwwah islamiyyah ini.


:. Gambar-gambar diambil dari blog Kak Ina. Banyak lagi gambar yang menarik di sana. :.




Thursday, May 14, 2009

Dalil-Dalil Wajib Berpurdah Dan Dalil-Dalil Yang Tidak Mewajibkannya










Al-Hamdulillah, syukur pada Allah swt, Tuhan yang menjadikan diri ini untuk cinta kepada ilmu, cinta kepada orang yang berilmu, kerana akhirnya dapat juga saya menyiapkan artikel ini, yang mana ia merupakan artikel yang cukup baik bagi diri saya dan rakan-rakan pengunjung yang lain.

Artikel tentang "Dalil-dalil wajib berpurdah dan dalil-dalil yang tidak mewajibkannya" ini telah diedit dari sumber yang asal dari Majalah as-Sunnah dan diambil dari Kumpulan artikel Ustaz Kholid Syamhudi, Lc dari laman ini (klik sini) yang menggunakan Bahasa Melayu Indonesia, namun, artikel tersebut tidak dijumpai. Walau bagaimanapun, al-hamdulillah salah seorang dari blogger telah 'menyimpan' artikel tersebut dalam bentuk microsoft word (klik sini), namun terdapat banyak kesalahan dalam penyusunan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang memerlukan penelitian dan pemerhatian sebelum saya menyebarkan post pada kali ini.

Buat akhirnya, marilah sama-sama kita meneliti dalil-dalil tersebut yang dikupas oleh para ulamak sebagai pegangan kita bersama. Sebahagian mereka mewajibkannya dan sebahagian yang lain pula tidak mewajibkannya. Moga-moga ada manfaatnya. Sila klik untuk download artikel sepenuhnya. (Klik sini).