Sunday, May 10, 2009

Hukum Memakai Purdah


Soalan: Sejauh manakah pandangan Islam tentang pemakaian purdah dalam kalangan muslimat terutamanya di dalam masyarakat kita hari ini, yang majoritinya berpakaian menutup aurat mengikut `uruf dan adat kebiasaan.

Jawapan :Persoalan memakai purdah atau yang disebut sebagai niqab bagi wanita adalah persoalan khilafiyyah yang diiktiraf. Maksudnya para `ulama berbeza pendapat mengenainya atas kaedah dan hujah yang diiktiraf untuk kedua-dua pihak. Ada di ulama kalangan yang mewajibkannya dengan menganggap wajah wanita adalah `aurat. Jumhur fuqaha’ (majoriti ulama fiqh) pula menganggap wajah wanita bukannya `aurat. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-majmu’ , katanya: “Sesungguhnya `aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat al-Imam Ahmad”

Di zaman ini, di kalangan ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah `aurat antaranya al-Syeikh Ibn Baz r.h.dalam fatwa-fatwanya yang banyak, juga Dr. Sa`id Ramadhan al-Buthi dalam buku kecilnya “إلى كل فتاة تؤمن بالله” dan sebelum itu `Abu al-`Ala al-Maududi r.h dalam bukunya al-Hijab. Sementara yang menyatakan wajah wanita bukan `aurat adalah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya “النقاب للمرأة المسلمة، بين القول ببدعيته، والقول بوجوبه” Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam “جلباب المرأة المسلمة في الكتاب والسنة dan selepas itu sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut beliau menulis الرد المفحم. Demikian juga Muhammad al-Ghazali dalam banyak tempat dalam buku-bukunya.

Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya `aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:

a) Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31

وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara:

Pertama: Jumhur menafsirkan maksud: ِإلاّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا (maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya) ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan penbincangan ayat tersebut dalam kitabnya الرد المفحم membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat para sahabah yang memegang pendapat ini.

Kedua: ayat di atas menyatakan:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

(maksudnya) “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Allah hanya memerintahkan agar ditutup جيوب iaitu jamak kepada جيب ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah `aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga.

Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi menyebut dalam al-Muhalla: “Ayat adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu”

b) Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 52

لا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ

(maksudnya) “Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baru sekalipun kecantikan mereka mengkagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu”.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi s.a.w.. Daripada ayat ini jelas bahawa para muslimat ketika zaman baginda s.a.w. (pun ada yang) tidak menutup wajah mereka, jika tidak bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian baginda. Ini tidak mungkin melainkan wajah mereka terbuka dan dapat dilihat.

c) Di dalam sebuah hadith daripada Abu Kabsyah al-Anmari, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا فِي أَصْحَابِهِ فَدَخَلَ ثُمَّ خَرَجَ وَقَدِ اغْتَسَلَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ كَانَ شَيْءٌ قَالَ أَجَلْ مَرَّتْ بِي فُلانَةُ فَوَقَعَ فِي قَلْبِي شَهْوَةُ النِّسَاءِ فَأَتَيْتُ بَعْضَ أَزْوَاجِي فَأَصَبْتُهَا فَكَذَلِكَ فَافْعَلُوا فَإِنَّهُ مِنْ أَمَاثِلِ أَعْمَالِكُمْ إِتْيَانُ الْحَلالِ

(Suatu ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat-sahabat baginda. Tiba-tiba baginda masuk (ke dalam rumah baginda), kemudian keluar dalam keadaan baginda sudah mandi. Kami pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah berlaku sesuatu?”. Jawab baginda: “Ya! Telah melintasi di hadapanku fulanah (perempuan tertentu yang dikenali), maka timbul dalam hatiku syahwat terhadap wanita, lantas aku pun mendatangi salah seorang dari isteriku dan menyetubuhinya. Demikianlah yang mesti kamu lakukan, kerana antara amalan kamu yang baik ialah mendatangi yang halal” (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani di dalam الأوسط . Kata al-Albani dalam سلسلة الأحاديث الصحيحة sanad hadith ini hasan, bahkan lebih tinggi dari hasan إن شاء الله) .

Walaupun rawi hadith tidak menyebut nama wanita berkenaan, tetapi perkataan fulanah dalam bahasa arab bermaksud wanita tertentu yang dikenali. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengenalinya. Sebagai Rasul yang bersifat dengan keinsanan maka timbulnya perasaan dalam hati baginda seperti mana ianya timbul dalam jiwa seorang insan lelaki yang normal. Maka untuk melepasi perasaan tersebut baginda mendatangi seorang daripada isteri-isteri baginda, iaitu Zainab seperti yang dinyatakan dalam riwayat yang lain. Juga hadith ini adalah tunjuk ajar Nabi s.a.w. secara praktikal kepada para sahabah.

Dalam riwayat-riwayat yang lain disebut:

فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَأَعْجَبَتْهُ فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ فَإِنَّ ذَاكَ يَرُدُّ مِمَّا فِي نَفْسِهِ

“Apabila seseorang kamu melihat seseorang wanita yang mengkagumkannya, maka datangi isterinya, kerana itu dalam menyelesaikan apa yang ada dirinya” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Baihaqi, Ahmad, lafaz hadith di atas ialah lafaz al-Imam Ahmad).

Jika kita teliti hadith ini, kita akan bertanya, “bagaimana mungkin kecantikan wanita zaman tersebut boleh menarik perhatian lelaki jika mereka semua menutup wajah atau berpurdah?. Ini menunjukkan mereka tidak menutup wajah mereka.

d) Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِي اللَّه عَنْهممَا قَالَ كَانَ الْفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ فَجَعَلَ الْفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْرِفُ وَجْهَ الْفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الْآخَرِ

Daripada Ibn `Abbas r.a., katanya Al-Fadhal (bin `Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w. (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khasy`am. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia pun memandang al-Fadhal. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Dalam riwayat al-Nasai dinyatakan:

فَأَخَذَ الْفَضْلُ بْنُ عَبَّاسٍ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَا وَكَانَتِ امْرَأَةً حَسْنَاءَ وَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَضْلَ فَحَوَّلَ وَجْهَهُ مِنَ الشِّقِّ الْآخَرِ

Lantas al-Fadhal bin `Abbas memandangnya. Dia adalah seorang perempuan yang cantik Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Riwayat-riwayat ini menunjukkan wanita pada zaman Nabi s.a.w tidak menutup wajah mereka. Sementara Nabi s.a.w pula hanya memusingkan wajah al-Fadhal tanpa menyuruh wanita berkenaan menutup wajah. Sekalipun dia sangat cantik. Ini menunjukkan pendapat yang menyatakan wanita yang berwajah cantik wajib menutup muka juga adalah tidak kukuh. Jika dibaca kesuluruhan hadith kita kan tahu, peristiwa itu berlaku pada haji wada’. Sedangkan ayat hijab dalam al-Quran turun sebelum itu lagi, iaitu pada tahun 5 hijrah. Maka dakwaan yang menyatakan perintah menutup wajah datang selepas itu, adalah tidak tepat.

Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang dikemukakan oleh jumhur `ulama bagi membuktikan wajah wanita bukan `aurat. Berpegang kepada pendapat jumhur dalam ini adalah lebih jelas dari segi nas atau dalilnya, juga lebih memudah seseorang muslimah di dalam alam semasa yang ada. Islam itu mudah dan praktikal seperti yang ternyata pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

Allah Lebih Mengetahui

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sumber: drmaza.com

Insya Allah, dalam 'post' yang seterusnya saya akan paparkan dalil-dalil yang mewajibkan wanita berpurdah, dan juga dalil-dalil yang tidak mewajibkannya.




Al-hamdulillah...Saya Seronok

Sebenarnya saya tidak sangka post yang lalu, topik: Zaman kini, lebih awla tidak berpurdah: Dr. Yusuf al-Qaradhawi, akan mendapat perhatian dan tindak balas dari pengunjung blog saya, samada melalui YM, cbox atau ruangan komen.

Saya tidak bersangka demikian kerana sebelum ini semasa saya berada di bumi UIAM, saya telah membuat kajian dan mengumpulkan dalil-dalil serta bermujadalah dengan pensyarah-pensyarah tentang hijab atau bab aurat ini. Kajian tersebut demi mengukuhkan pengetahuan saya dan ingin mendapat banyak dalil samada melaui al-Quran, al-hadis, serta ingin melihat pandangan-pandangan ulamak dan ijtihad mereka dalam mazhab masing-masing, walaupun pada asasnya saya mengetahui bahawa ada sebahagian ulamak mewajibkan wanita berpurdah, dan sebahagian yang lain tidak mengatakan bahawa ianya adalah satu perkara yang wajib.

Jadi, bila saya mengetahui pada asasnya sedemikian, maka saya menganggap kebanyakan dari kalangan kita sebagai seorang pelajar pun memahami begitu juga. Namun, tidak rupanya.

Saya memetik pandangan al-Qaradhawi itu dan menterjemahkan kepada bahasa Melayu untuk tatapan kita bersama dan meneliti apa yang dilontarkan oleh beliau tersebut. Bukanlah bermakna saya tidak suka wanita berpurdah, dan tidak sama sekali saya membenci pakaian ummahatul mukminin.

Namun, kita perlu ingat, fikh Islam itu luas dan kita mempunyai mazhab-mazhab yang banyak berbeza dalam menetapkan hukum pada satu-satu isu. Kita mempunyai ramai ulamak dalam setiap mazhab yang mampu mengupas dan mentafsirkan nas-nas, berdasarkan ijtihad dan kajian masing-masing. Al-hamdulillah, dengan adanya mereka kita mampu menyedut ilmu yang Allah kurniakan kepada mereka dan menilai pandangan mereka demi kehidupan kita yang selamat untuk menuju alam akhirat.

Walau bagaimanapun, al-hamdulillah sekali lagi, saya seronok dengan adanya sedikit perbahasan antara pengunjung blog saya tentang topik tersebut. Saya tersenyum dan gembira dengan keadaan tersebut, kerana dengan itu menjadikan saya dan kawan-kawan yang lain berusaha dan membuka rujukan-rujukan demi menambahkan lagi ilmu kita tentang Islam, ad-deen yang kita sayangi ini. Jazakumullahu khairan kathira.

Perlu diingat juga dalam kita berforum dan bermujadalah ini, hendaklah kita berlapang dada dan cuba mengkaji dan menilai samada hujjah atau dalil yang dilontarkan oleh pihak lawan kita itu betul atau tidak, perlu kita rujuk kepada sumber-sumber yang diberikan itu. Tidak betul jika kita tidak suka dengan pandangan mereka, maka kita terus menyalahkan mereka atau menghina mereka dan menyatakan bahawa pandangan kitalah yang tepat atau pandangan orang yang kita cenderunglah sahaja yang betul.

Akhirnya, insya Allah di 'post' yang seterusnya saya akan kemukakan dalil-dalil tentang topik hijab atau aurat ini demi mengukuhkan lagi topik yang lepas untuk kebaikan kita bersama.



Thursday, May 7, 2009

Zaman Kini, Lebih Awla Wanita Tidak Berpurdah: Dr. Yusuf al- Qaradhawi

النقاب والعصر

وفي مسألة أخرى قال الشيخ القرضاوي ردا على سؤال حول وجوب ارتداء النقاب من عدمه: "النقاب أمر أوجبه بعض العلماء وأجازه بعض العلماء.. وأنا لا أرى أنه واجب.. وإنما من أرادت أن تنتقب فلها حريتها في هذا.. وإن كنت أنا في عصرنا هذا أرى أن الأولى بالمسلمة ألا تنتقب حتى تستطيع أن تختلط بالمتكشفات وأن تقترب منهن".


وأرجع الشيخ ذلك إلى أن "المحجبة قريبة قليلا (من المتكشفة)"، متسائلا: "أما المنتقبة فكيف تستطيع أن تدعو المتكشفة وبينها وبينها مراحل ومراحل؟"


وأضاف: "لي رسالة اسمها النقاب بين القول بفرضيته والقول ببدعيته.. هناك أناس يقولون إن النقاب بدعة، وأناس يقولون إن النقاب فرض، وأنا لا أوافق هؤلاء ولا هؤلاء".


وأوضح: "النقاب ليس بدعة.. (هناك) قول في مذهب الحنابلة وقول في بعض المذاهب، وإن كان جمهور الفقهاء يرون أن وجه المرأة ليس بعورة، حتى الإمام ابن قدامة شيخ الحنابلة يقول في (كتاب) المغني: والمذهب أن الوجه ليس بعورة

Sumber: qaradhawi.net

Terjemahan:
Purdah dan zaman kini.

Dan pada masalah yang lain
, as-Syeikh al-Qaradhawi telah berkata, menjawab soalan tentang (samada) wajib berpurdah atau tidak: "purdah adalah satu perkara yang wajib mengikut setengah pandangan ulamak. Dan sebahagian ulamak yang lain mengharuskannya..namun, saya tidak berpandangan bahawa ianya adalah wajib..Sesiapa yang hendak berpurdah, dia bebas berbuat demikian..Namun, pada zaman kita sekarang, saya melihat (berpandangan) bahawa muslimah lebih awla tidak berpurdah, ini kerana untuk membolehkannya bergaul dengan wanita yang tidak bertudung (membuka aurat) dan mendekati mereka."

As-Syeikh merujuk kepada perkara tersebut bahawa: "wanita yang bertudung (tidak berpurdah) (lebih) boleh merapati (wanita yang tidak bertudung) [(berbanding wanita yang berpurdah)]. Beliau berkata: "bagi wanita yang berpurdah, bagaimana dia ingin mengajak mereka yang tidak bertudung (tidak menutup aurat) secara berperingkat-peringkat?"


Beliau menambah dengan katanya: "saya mempunyai satu risalah tentang purdah; satu qaul yang mengatakan kewajipan berpurdah dan satu qaul lagi mengatakan bahawa ia adalah satu bid'ah. Di sana juga ada orang yang mengatakan bahawa purdah itu bid'ah dan (kumpulan) yang lain pula mengatakan ia adalah wajib. Namun, saya tidak bersetuju dengan kedua-dua pihak ini".


Beliau menjelaskan bahawa "berpurdah bukanlah suatu bid'ah.. (Di sana) ada qaul dalam Mazhab Hanbali dan qaul dalam mazhab-mazhab yang lain. Dan jamhur fuqaha' berpendapat bahawa muka seorang wanita itu bukanlah aurat. Sehinggakan al-Imam Ibn Qudamah as-Syeikh dari Mazhab Hanbali (juga) berkata dalam Kitab al-Mughni bahawa muka bukanlah aurat."



Tuesday, May 5, 2009

Balas Tagged Nazirah

Rasa lawak pulak, orang tua macam saya ni kena tagged.. Apapun demi memenuhi permintaan adik Nazirah ni, ok lah..

1. Kenapa kamu berblog?
Nak sebarkan maklumat, nak kongsi ilmu demi Islamku

2. Apakah method penulisan dalam blog kamu?
Apa-apa method, asalkan yang difahami ramai

3. Antara rupa dan isi blog, mana satu yg kamu utamakan?
Cuba mengutamakan kedua-duanya

4. Letak widget lagu x dlm blog? sbb apa plih lagu 2?
Tak letak, bising la dik, xleh fokus

5. Banyak2 artikel dalam blog kamu, paling suka yg mana? sbb apa?
Artikel ilmiah, sebab banyak memberi kesan pada diri

6. Pernah terasa nak hapuskan blog kamu? sebab?
Ehh...mana boleh hapuskan, nak teruskan perjuangan dalam penulisan

7. Pendapat kamu tentang blog kepada pemilik blog yang kirim tag ini?
Bagus, usaha lagi demi kebaikan blog

8. senaraikan 5 orang yg kamu akan tag
Rasanya tak nak tag sapa2 dah, terima kasih Nazirah...



Mohon Ampun, Tutup Keaiban Dosa Dari Terdedah

Oleh: TG Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sumber: harakahdaily.net

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?" (Surah Ali Imran ayat 135)

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan. Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.

Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi, apabila melakukan perkara keji atau menganiaya dan dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat dan mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya.

Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT. Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram.

Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa ayat 110)

Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT dan beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia.

Mukmin yang 'ashi (derhaka) hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampun dan dilindung daripada pandangan orang ramai, dengan syarat mereka menyesali dan taubat bermula daripada hati yang telah insaf.

Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau Allahummaghfirli wa liwalidaiyya. Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan. Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat dan ditudungnya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.

Timbul rasa malu dan gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (Surah An-Nashr ayat 3)

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)." (Surah Ali Imran ayat 17)

Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain. Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT, ini kerana kebanyakkan manusia masih lena tidur.

Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Sebaliknya jika seseorang beristighfar dan berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.

Rasulullah s.a.w. amat gemar beristighfar dengan: "Subhanaka Allahumma wa bihamdika Allahumma Ighfirli. Innaka Antat-Tauwwabur Rahim" Yang bermaksud: "Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya Allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau Amat penerima taubat lagi Maha Penyayang."

Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata kata sanjungan dan bunga pujian. Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala Kemuliaan yang tidak terhingga.

Sebelum meminta sesuatu dari Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci dan mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.

Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dia-lah Tuhan yang Maha Berilmu.

Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dia-lah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan tasbih dan tahmid.


Saturday, May 2, 2009

Ziarah Ma'daba

Semalam, hari Jumaat, saya bersama Nazz menghabiskan masa menziarahi Ma'daba. Memang tak disangka-sangka kawannya menelefon menjemput kami ke rumahnya. Satu pengalaman yang cukup bahagia bagi diri saya dapat mengenali tempat orang dan budaya mereka yang amat berlainan dengan budaya kami.

Manal budak Arab ni beritahu tak jauh pun dari Sweileh ke rumahnya. "mush baiid, mush baiid". Saya yang memang tak kenal Ma'daba ni pun pergi atas jemputan istimewa itu. Mula-mula saya fikirkan Ma'daba ni mungkin jauh sikit dari 'Abdali kot. Rupa-rupanya memakan masa lebih kurang satu setengah jam. Aduhai...tak sangka sungguh, kena ambik bas dua kali dan ambik teksi pulak ke rumahnya.

Apapun memang seronok giler, lebih-lebih lagi boleh kongsi maklumat tentang budaya mereka. Tambahan pula Manal ni orang Badwi. Pakaian dia pun dah lain dengan orang Arab Hadhar ni. Tapi dia tak tinggal dalam khemah la. Cuma masih ada sedara-sedara dia yang masih hidup dalam perkhemahan.

Memang agak berat Manal nak bercakap dengan saya dalam Bahasa Arab Fusha. Lawak betol. Macam 'orang terlekat tulang ikan' nak keluarkan ayat-ayat fusha. Apapun dia cuba juga. Penat katanya nak bercakap Arab Fusha. "Tak per la Manal, cakap je lah 'ammi pun, saya faham, tapi jangan laju sangat la". Saya bagi signal kat Manal, kesian melihatnya begitu penat untuk meluahkan apa yang difikirkannya itu. Tapi saya tidak sesekali menggadaikan bahasa Arab fusha yang saya cintai ini. 'Reply' saya untuknya tetap dengan bahasa perjuangan saya.

Satu perkara yang mengejutkan saya tapi menggembirakan ialah apabila masuk ke rumahnya perlu menanggalkan kasut. Sedangkan yang saya tahu kebanyakan orang Arab masuk ke rumah mereka tanpa menanggalkan kasut. Hmm..sahibul ghaz pun masuk ke rumah saya tak buka kasut. 'merah telinga' saya, dah suruh tanggalkan tapi dia tak nak. So, mak cik ni lah yang kena perah tenaga kena sapu debu-debu kasut kat karpet merah ni.

Apa yang menarik bagi saya bersama Manal dan keluarganya ialah ketika menjamu selera. Dia 'paksa' kami makan nasi kat rumahnya. So, kena tunggulah. Makan nasi maqlubah. So simple. Tak sangka la pulak, maqlubah yang dibuat berlainan sikit dengan maqlubah yang saya beli kat Amman. Manal juga menceritakan bahawa keluarganya tidak makan makanan Arab lain kecuali makanan asasi Jordan sahaja, seperti mansaf. Hmm...macam saya gak la tu.
Best, bila tengok dia melayan saya dan Nazz.

Memang berbeza sungguh adat orang Arab dengan orang Malaysia ni dalam melayan tetamu. Nak tergelak pun ada. Saya hanya minta air teh dan letak gula je. Tak perlu habbah, tak perlu na'na'. Tercengang mereka. Nasib baik la dia tanya nak minum apa. Kalau dia hidangkan saya kopi pahit tu, al-jawabnya saya tengok saja la kat kopi tu. Al-maklum la bagi mereka menghidangkan kopi pahit dalam cawan kecil (macam cawan jepun tu) menunjukkan tanda hormat pada tetamu.

Pernah mula-mula datang Amman ni, saya dihidangkan oleh orang Arab dengan kopi pahit. Bila minum, tersentak saya dibuatnya, so, terkejutlah tuan rumah tu. Cepat-cepat dia suruh anaknya letak gula. Tapi, kopi pahit ni memang sangat pahit. Letak gula pun, masih tetap dengan kepahitannya itu. Kesimpulannya tak perlu lagi saya minum kopi pahit itu. Alahai...macam-macam budaya manusia ni.

Hidup kami seharian bersama Manal pada hari tersebut dapatlah tahu sedikit sebanyak maklumat tentang susu (halib) yang akhirnya jadi macam-macam benda hasil dari susu utama itu. Salah satu pekerjaan bapa Manal ialah memproses susu. Seronok gak la boleh tahu tentang proses halib ni.

Mula-mula proses halib

Pastu jadilah 'rayib',
biasanya ia dimakan dengan nasi

Pastu zubdah

ini 'jamid' ke ape (tak ingat)

Apa yang menggembirakan saya juga, dalam perjalanan ke Ma'daba nampak kehijauan macam kat bumi Malaysia. Boleh tengok banyak unta kat sana. Wahh..menyegarkan!



Sempat juga Nazz bergambar
bersama Manal dan Anwar



Nazz ambik gambar Makcik dari Mesir bersama
kanak-kanak di kedainya


Bebudak Arab suruh ambik gambar mereka