Sunday, December 7, 2008

Salam Eidil Adha 1429H




Di sini saya ingin mengucapkan:

Salam Eidil Adha
Kullu 'Aam wa Antum bi Khair
Maaf Zahir dan Batin


Kepada:

  • semua keluarga dan sanak saudara di Malaysia
  • semua sahabat seperjuangan
  • anak-anak tersayang di bumi UIAM
  • semua yang mengenali diri ini
  • juga kepada mereka yang menziarahi
teratak yang ceria ini


"Pengorbanan Untuk Tuhan Matlamat Kita"


Dari Penghuni Bumi Syam:
Siti Hasliza Mat Yusoff



Saturday, December 6, 2008

Maafkan Dia Walau Hati Terluka



Zizi:
aku takkan maafkan si Azman tu, sanggup dia lukakan hati aku. Dulu terhegeh-hegeh menagih simpati dengan aku, supaya aku cintakannya. Lakonannya macam-macam, sampai aku jadi 'gila' dibuatnya. Tengok sekarang ni, dah terbongkarlah rahsianya. Laki orang. Pompuan tu aku kenal sangat la. Satu course dengan aku dulu. Geram betol si Azman tu, kaki pembohong, jaga kau!

Zety:
alah...maaf je lah, ramai manusia macam tu, buat-buat tak reti je. Ada lah tu hikmahnya.

Zizi:
Zety, aku bukan macam kau, kau ni apa yang orang buat kat kau...semua kau maafkan. Kau ingat mudah ker nak maafkan orang yang pancung kita ni?

Zety:
Memanglah susah, tapi tak per...ada kebaikannya.

Zizi:
Kau tu, lecturer nak failkan tesis kau pun...kau maafkan, lecturer sekerja cantaskan kau pun...kau maafkan, orang-orang dok mengata hal kau pun...kau maafkan. Apalah...pelik betul. Kalau aku...siaplah! aku kan buat segala apa yang ku fikirkan.

Zety:
aku tak suka buat kerja bodoh. Aku retilah bab-bab kerja bodoh ni...tapi malas nak layan.

Zizi:
Kau ingat kerja bodoh ke? Adil lah kalau kita buat. Biar dia rasa macam kita rasa. Betapa sakitnya hati aku ni.

Zety:
memanglah sakit, tapi aku tak fikirkan macam kau fikir tu...hanya depan mata je, aku fikirkan jauh dari itu. Kalau ikutkan hati jer, rosak hidup ni.

Zizi:
Aku tak kira, aku akan bertindak! aku kan pastikan hidup si Azman tu akan musnah.

Zety:
eh..jangan Zizi, kau jangan buat gitu. Sabarlah! kau nak hidup Azman tu musnah atau kau mahu Allah campakkan kau permata agung yang susah ditemui?! fikirlah sebaik-baiknya.

Zizi:
uhh...kalau semua orang berfikiran macam kau, selamatlah dunia ni!

Syukran Ya Tuhanku!


Zahirkan Senyuman Walau Hati Dalam Kesedihan



Friday, December 5, 2008

Nasihat Untuk Muslimah



"Yang Dicari,
Walau Bukan Putera Raja,
Biarlah Putera Agama.

Yang Diimpi,
Biarlah Tak Punya Rupa,
Asal Sedap Di pandang Mata.

Yang Dinilai,
Bukan Sempurna Sifat Jasmani,
Asalkan Sihat Ruhani,
Sempurna Hati.


Yang Diharap,
Bukan Jihad Pada Semangat,
Asal Perjuangannya Ada Matlamat.

Yang Datang,
Tak Perlu Rijal Yang Gemilang,
Kerana Ana Serikandi Dengan Silam Yang Kelam.

Yang Dinanti,
Bukan Lamaran Dengan Permata,
Cukuplah Akad Dan Janji Setia.

Dan Yang Akan Terjadi,
Andai Tak Sama Kehendak Hati,
Ana Redha Ketetapan Ilahi,
Itulah Ketentuan Sejak Azali..."


Hasil Ciplak Dari:
I LUV ISLAM.COM



Thursday, December 4, 2008

Dia Masih IngatkanKu...



Beberapa minit sebelum ku menaiki pesawat, satu SMS tiba. Malas rasanya nak tengok SMS tu. Hatiku sentiasa mengingati kawan, insan yang susah ku nak lupakan. Maklumlah, insan seperjuangan, sehaluan, mempunyai satu fikrah, satu matlamat, bukan senang untuk ditemui. Namun, kerana perpisahan, tidak dapat lagi aku bersamanya. Biasalah.."cintailah sesiapa sahaja yang kamu cintai.., tetapi ingat kamu akan berpisah dengannya". Itulah yang selalu ku fikirkan.

Kawanku memang tak suka aku berpisah dengannya. Tak suka aku sambung pengajian di luar negara. Katanya aku dah hebat, cukup saja di dalam negara. Dia suka aku belajar, suka aku berpangkat, suka aku bersemangat, tapi tak semestinya meninggalkannya. Mahu aku bersama dengannya. Tapi aku juga punya perasaan, punya pendirian, punya keinginan. Ku mahu singgah di bumi Syam ini, hanya sedetik waktu, ingin merasai kehidupan yang hanya tempat persinggahan, bukan untuk berkekalan hingga ke akhir zaman, fahamilah diriku wahai teman.

Kita bertemu kerana Tuhan, berpisah jua kerana Tuhan. Ku mengerti kau cintakanku keranaNya. Kau bimbangkan diriku, bimbang tentang keselamatanku, bimbang akan kesihatanku, bimbang tentang persahabatanku. Namun aku yakin wahai teman, Allah tetap setia bersamaku, mendengar kalamku, mendengar bisikanku, mengawasi pergerakanku. Pegawaiku juga tetap akan memayungiku, melindungiku pada setiap waktu.

Terima kasih atas nasihatmu, wasiatmu yang berguna buat diriku. Mahu melihat aku jadi wanita mukminah, seindah mawar berduri, tidak mudah untuk didekati. Aku memahami jiwamu yang jitu, kukuh berdiri di depan Ilahi, cahaya hatimu dapat ku rasai, hidup dengan zikrullah tak henti-henti, Insya Allah kan kau dapat apa yang dihajati. Kita kan bertemu jua di suatu hari nanti.

...akhirnya bila ku baca SMS itu.., alangkah gembiranya hati ini, temanku itu yang menghantarnya, bertanyakanku bila nak berlepas?. Bagaimana dia tahu? Seingat aku, ku beritahunya dulu, hanya tarikh berlepas, bukan waktu berlepas??..apapun..dia masih ingatkanku. Terima kasih wahai temanku!



Tuesday, December 2, 2008

Kelebihan 10 Hari Pertama Di bulan Zulhijjah


Sepuluh hari yang pertama di bulam Zulhijjah jarang-jarang sekali diperkatakan mengenai kelebihannya. Sedangkan tempoh ini mempunyai nilai yang sangat besar kemuliannya berbanding dengan masa-masa yang lain. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fajr, ayat 1-3 :

وَالْفَجْرِ . وَلَيَالٍ عَشْرٍ . وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ

yang bermaksud : Demi fajar, Dan malam yang sepuluh, Dan yang genap dan yang ganjil


Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil tersebut ialah hari arafah.


Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Nabi SAW telah bersabda :

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام (يعني العشر)، قالوا: “يا رسول الله، ولا الجهاد في سبيل الله؟” قال -صلى الله عليه وسلم-: “ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء”.

Yang bermaksud :

Tidak ada amalan soleh yang lebih disukai oleh Allah SWT lebih daripada (amalan) pada hari-hari ini (iaitu sepuluh hari bulan zulhijjah). Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, sekalipun dengan jihad di jalan Allah?”. Rasulullah SAW menjawab, ”Sekalipun dengan jihad. Kecuali jika seseorang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak kembali lagi (mati syahid)”


Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah ini sehingga tidah dapat ditandingi oleh mana-mana amalan pun kecuali mati syahid.

Manakala kelebihan hari arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah SAW ketika menafsirkan ayat ke 3 dari Surah al-Buruj :

الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ

Yang bermaksud : Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat. (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)


Di dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda :

أفضل الأيام يوم عرفة

Yang bermaksud : Sebaik-baik hari ialah hari arafah (Riwayat Ibnu Hibban di dalam sahihnya)


Di dalam hadis yang lain pula, sabda baginda SAW lagi :

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفة

Yang bermaksud : Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SAW akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari arafah. (Riwayat Muslim)


Bagaimana beribadat pada 10 Hari Pertama Zulhijjah Ini?


Di antara ibadat yang boleh diperbanyakkan pada tempoh ini ialah puasa sunat khususnya pada hari wukuf di arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Yang bermaksud : Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang (Riwayat Muslim)


Selain itu, seseorang muslim digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, bacaan al-Quran, qiyam dan sebagainya untuk mendapatkan ganjaran sebanyak mungkin di dalam tempoh yang amat berharga ini.



Sumber: ahmadfadhli.wordpress.com


Anda juga boleh meneliti dan memahami kelebihan 10 hari pertama di bulan Zulhijjah ini dalam versi Bahasa Arab melalui laman: http://www.saaid.net/Doat/yahia/19.htm


Selamat membaca!