Sunday, October 19, 2008

Gud Luck 4 Ur Exam


Kepada penghuni bumi UIAM;

sahabat-sahabat yang di kasihi,
anak-anak yang disayangi
ikhwah dan akhawat seperjuangan

saya ucapkan:

Selamat menempuhi peperiksaan akhir semester
Good Luck For Your Exam
Bittaufiq Wannajah


Saturday, October 18, 2008

Cinta Manusia Bermusim

Bercakap tentang cinta adalah suatu perkara yang menyeronokkan bagi kebanyakan insan, namun di sebalik keseronokan itu ada kepedihan yang melanda bagi sesetengah pihak. Aku pernah didatangi beberapa insan yang meluahkan isi hatinya tentang percintaan sebelum perkahwinan atau selepasnya. Mereka bukanlah bercinta sebagaimana takrif cinta yang dibuat oleh muda-mudi hari ini, yang bebas dalam pergaulan mereka, keluar sana-sini, 'bergayut' tanpa ada batasan dan sebagainya, seolah-olah mereka seperti pasangan suami isteri.

Kisah yang ku nak paparkan di sini memang berlaku di depan mataku. Lelaki dan wanita ini telah mengikat janji dengan kata-kata untuk melangsungkan perkahwinan setelah tamat pengajiannya nanti. Dengan asas pendidikan agama yang mereka ada, mereka tidak melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam. Akhirnya si wanita meminta agar pihak lelaki berjumpa dengan ahli keluarganya untuk menyatakan hasrat perkahwinan mereka.

Setelah kunjungan pihak lelaki ke rumah wanita, keluarga meraka bersungguh-sungguh berpakat untuk mengikat hubungan mereka berdua ke jinjang pelamin.
Hari demi hari kehidupan mereka sangat baik sekali. Kadang-kadang si wanita ini menerima hadiah yang begitu berharga dari seorang lelaki yang bakal menjadi suaminya. Ku selalu diminta untuk mendengar kisah kehidupannya itu. Ku sentiasa ucapkan kebahagiaan yang akan menjelma nanti. Namun, ku sangkakan panas berpanjangan, akhirnya hujan tetap turun jua.

Ku terus dikunjungi wanita ini memberitahu keadaan dirinya yang sudah tiada hubungan dengan lelaki itu. Lelaki itu telah membatalkan niatnya untuk berkahwin. Katanya kerana mempunyai masalah dalam 'bisnes'nya. Kesedihan pada diri wanita itu tidak dapat digambarkan. Dia tetap setia dengan lelaki itu dan sanggup menunggu sehingga 'bisnes'nya pulih kembali. Namun hati lelaki itu 'kosong', tidak mempunyai perasaan belas kasihan, tetap dengan pendiriannya untuk meninggalkan wanita itu kerana masalah peribadinya. Macam sebuah patung yang tiada nyawa dibuatnya. Sungguh..cinta manusia bermusim.


Satu lagi sebuah kehidupan keluarga yang amat menyentuh perasaanku. Namun, disebabkan banyak luahan yang ku terima dari insan-insan sekeliling menyebabkan hilangnya kejutan pada diri. Dah biasa dengan isu-isu wanita kini. Ku didatangi insan dengan linangan air mata untuk berkongsi pengalaman hidupnya.

Perkahwinan dengan seorang lelaki yang dianggap baik baginya, namun akhir-akhir ini hidupnya dengan 'makan hati berulam jantung'. Dia sebagai isteri yang kedua kepada seorang lelaki, mengimpikan sebuah keluarga contoh dalam kehidupan poligami. Sebelum perkahwinan dilangsungkan dia ada meminta pandangan dari kawan-kawan tentang perkahwinan itu. Mereka memberikan respon agar cuba menolak lamaran lelaki itu, namun cinta punya pasal, tersangkut jua padanya yang akhirnya membawa kepada ijab qabul walaupun sebahagian sanak saudaranya sahaja yang tahu dan hadir pada majlis walimah tersebut. Terfikir juga di benakku bahawa nak jadi isteri kedua ni kena sembunyikan dulu ke?

Apapun al-hamdulillah, mereka dah jadi pasangan yang sah. Rindu-rindu dan cinta-cinta pun dilangsaikan dengan cara yang halal. Namun, beberapa bulan kemudian, cinta dan rindu itu tidak tahan lama. Hangat-hangat tahi ayam saja. Bila isteri pertama menguasai segala-galanya, isteri kedua terpaksa mengalah. Yang aku peliknya, suami tak dapat berkata apa-apa. Bahkan ikut saja telunjuk isteri pertama. Yang ku rasa kasihan pula pada wanita ini, suami bersikap kurang bertanggungjawab terhadapnya. Semua kerja perlu diselesaikan sendiri, tak kiralah kerja dalaman atau luaran rumah, tetapi suami tetap menyatakan 'abang cinta sayang'. Untuk isteri pertama bukan setakat kata-kata yang manis, bahkan dilaksanakan tanggungjawabnya dan dikotakan segala janji-janji. Alahai..cintanya dia pada isteri pertama.

Teringat aku kepada bait Imriil Qais, penyair terkenal di zaman jahiliah. Katanya:

نقل فؤادك حيث شئت من الهوى * فما الحب إلا للحبيب الأول

yang bermaksud: Pindahkanlah hati-hati kamu kepada sesiapa yang kamu inginkan (cintakan), namun, tidak ada cinta melainkan cinta kepada kekasih yang pertama.

Tak tahulah setakat mana betulnya pandangan penyair tersebut. Itulah kisah ringkas yang dapat ku simpulkan bahawa cinta manusia, sayang manusia itu bermusim. Dalam nasyid pun ada menyatakan "kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi, kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janjinya pasti". Oh, indahnya berkasih dengan Tuhan!

Akhirnya, walaupun coretan ini menceritakan tentang secebis kesedihan dalam kehidupan, namun ia adalah sebagai pengajaran buat semua, iktibar dari peristiwa yang lalu agar kita selalu berwaspada, berfikir sebelum bertindak, dan bersedia dengan cabaran yang bakal dilalui. Tidak dinafikan ramai juga yang memperolehi cinta sejati, cinta kerana Allah, cinta suami isteri yang berasaskan kepada iman, cinta yang membawa ke syurga, cinta di dunia yang membawa mereka cinta yang kekal di akhirat. Bersabarlah dengan segala ujian yang tidak kenal erti usia, masa dan tempat...langit tidak selalunya cerah, awan tidak selalunya mendung.




Wednesday, October 15, 2008

Respon Kepada Artikel: Ada PhD, Tapi Tak Faham-faham Perjuangan Islam

Tulisan seorang penulis yang diberi nama yaasin yang bertajuk "Ada PhD, tapi tak faham-faham perjuangan Islam" dalam laman web Tranungkite.net yang dilulus terbit pada Selasa, 14 Oktober 2008 yang lalu ada betulnya, namun perlu diperkemaskan isi kandungannya agar tidak menjadi keliru kepada para pembaca. Saya seorang pelajar yang suka menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi berasa terpanggil untuk memberikan respon terhadap penulisan tersebut.

Beliau menyatakan:

"Mereka yang rajin berada di menara gading -duduk di situ sahaja, jemaah tak ikut, program Islam tak kisah, gerakan Islam tak masuk, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan serta isu-isu semasa tidak dihiraukan sangat adalah golongan yang paling cepat boleh menyelesaikan tesis PhDnya.

Dalam PAS ada yang bersemangat menulis tesis PhD. Tanyalah kepada aktivis-aktivis kita. Ilmu mereka bukan sebarang, tetapi kekadang dengan sebab komitmen dengan jemaah dan permainan politik IPT, mereka terpaksa melupakan untuk menyelesaikan tesis PhD mereka."

Pertamanya, saya nak nyatakan bahawa menyambung pelajaran ke peringkat Master atau PhD merupakan satu wasilah atau cara untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Ini kerana dengan adanya sistem peperiksaan atau semester-semester yang dihadkan untuk menyelesaikan sesuatu pengajian menyebabkan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan maklumat-maklumat demi kejayaan yang diimpikan. Sebenarnya tidak semua orang mampu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak semua orang mempunyai kehendak atau kekuatan serta kesabaran dalam pengajian mereka.

Keduanya, penulis ada menyebut bahawa mereka yang rajin berada di menara gading, tidak menghiraukan aktiviti-aktiviti Islam, atau mungkin kita katakan program dakwah Islamiah adalah golongan yang paling cepat boleh menyelesaikan tesis PhD mereka. Sebenarnya pandangan tersebut kurang tepat untuk dijadikan fakta. Ini kerana ramai di kalangan kita yang mengambil Master atau PhD dan tidak mengikuti mana-mana program dakwah, namun kerana sibuk dengan urusan keluarga, sibuk dengan mengejar 'fulus', projek itu dan projek ini demi kepentingan diri, atau kerana tidak pandai menguruskan masa dengan sebaik mungkin, walaupun tidak mempunyai tanggungjawab yang lain, akhirnya Master atau PhD mereka terbengkalai begitu saja. Ini bukan satu perkara yang menghairankan, bahkan ianya memang berlaku dalam masyarakat pelajar kita hari ini.

Ketiganya, penulis perlu ingat bahawa dakwah Islamiyah bukan hanya menyertai program-program Islam yang dianjurkan oleh mana-mana pihak semata-mata, atau memasuki jamaah-jamaah Islam IPT sahaja, bahkan dakwah Islamiyah itu luas yang perlu dihidupkan oleh setiap individu di mana sahaja mereka berada. Ini kerana seorang muslim itu daa'i (pendakwah). Sebagai contoh bila kita makan bersama kawan-kawan dalam satu 'dorm' atau 'room mate', jangan lupa sampaikan Islam, jadikan ia sebagai 'usrah' harian, begitu juga ketika berdiskusi atau berbincang tentang subjek-subjek yang dipelajari, selitkan juga isu politik Islam, kerajaan Islam, mu'amalah Islam, hukum ikhtilat dan sebagainya. Jadikan kita sebagai tempat rujuk untuk mencipta idea-idea bernas untuk menghidupkan program Islam. Jadikan 'bilik' kita sebagai tempat untuk berbincang tentang kehidupan Islam. Laksanakan solat jamaah bersama kawan-kawan dalam satu 'dorm', ajak mereka membaca al-Quran, tunjukkan pakaian yang dibenarkan dalam Islam, rapatkan diri dengan mereka yang kurang pendidikan agama dengan tujuan untuk mengajak mereka ke arah kebenaran dan sebagainya.

Perlu diingat bahawa kekadang kesibukan kita dengan program-program jamaah IPT, kawan-kawan dalam satu 'dorm' di universiti kita tak solat. Ada pula yang tidak tahu membaca al-Quran, ada yang pakai 'short pan', menutup aurat tidak sempurna, ber'dating', ada pakwe dan makwe, merokok dan sebagainya. Walaupun saya tidak nafikan bahawa program-program Islam yang dianjurkan oleh jamaah merupakan satu cara untuk menghidupkan agenda Islam di universiti.

Penulis juga ada menyatakan bahawa aktivis-aktivis PAS ada yang bersemagat untuk menulis tesis PhD, namun disebabkan komitmen kepada jamaah dan permainan politik IPT, mereka terpaksa melupakan pengajian mereka itu. Memang saya tak nafikan semua orang sibuk, lebih-lebih lagi bila kita memegang sesuatu jawatan dalam organisasi, namun, nak seribu daya, seribu cara yang difikirkan untuk memperolehi perkara yang diimpikan. Saya boleh katakan sedemikian kerana ramai di kalangan aktivis-aktivis PAS mampu menulis apa-apa penulisan dalam blog masing-masing yang tak kurang hebatnya. Mampu merujuk kitab-kitab yang muktabar, mampu menggunakan masa untuk menyebarkan idea-idea yang baik. Tapi kenapa tidak mampu untuk mengumpulkan maklumat demi menyiapkan tesis PhD?! Apa kata kalau mereka cuba kumpulkan fikrah-fikrah mengenai politik Islam yang disebarkan dalam blog, kemudian berusaha untuk mengembangkan fikrah-fikrah tersebut dalam bentuk tesis PhD, alangkah baiknya jika mereka berbuat sedemikian.

Tidak kurang juga ramai di kalangan mereka mampu memberikan ceramah agama sehingga 5 atau 6 ceramah dalam satu hari, namun mereka tidak mampu untuk memperuntukkan masa demi menyiapkan tesis Master atau PhD yang juga merupakan satu cara untuk kita memperolehi ilmu pengetahuan dan menyebarkannya kepada pembaca-pembaca lain.

Saudara penulis juga perlu faham bahawa Islam tidak menegah seseorang itu berusaha untuk memperolehi apa-apa pangkat atau sesuatu jawatan, seperti Dr., Prof. Madya, Prof. dan sebagainya asalkan matlamat dan tindakan kita tidak tersasar dari garisan Islam. Memang betul ramai yang mendapat pangkat Dr. dengan cara yang salah di sisi Islam sebagaimana yang disebutkan oleh penulis itu, namun ramai juga yang mendapat pangkat sedemikian dengan cara yang halal di sisi Islam.

Saya tahu walaupun sebenarnya penulis tersebut ingin menujukan artikelnya kepada segelintir pihak yang salah menggunakan 'title' PhDnya yang masih tidak faham tentang perjuangan Islam, namun disebabkan artikelnya yang pendek dan bersifat umum, berkemungkinan besar boleh mengelirukan pembaca dalam menilainya.

Kita juga mempunyai ramai pejuang yang ber'title'kan Dr., yang mampu mempertahankan Islam dan perjuangannya hatta dalam PAS sendiri pun tak kurang ramainya aktivis-aktivis yang berpangkat Dr. Sebagai contoh S.S. Dr. MAZA yang berkelulusan PhD dalam bidang hadis, graduan UIAM, beliau mampu menyatakan kebenaran Islam, walaupun banyak kenyataannya menetang kerajaan yang ada pada hari ini. Hakikatnya mereka yang ada PhD, namun tidak mahu faham tentang Islam ialah golongan mereka yang menjadikan dunia sebagai matlamat dan tidak mempunyai pandangan yang jauh untuk mengharungi alam akhirat yang bakal menanti kita semua.

Akhir kalam, kepada mereka yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, teruskan perjuangan anda. Jangan jadikan diri sebagaimana segelintir manusia yang meletakkan dunia di hati mereka. Ingat ISLAM matlamat kita!




Tuesday, October 14, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (11)

Haji Awang Lambor
(1900- 1963)

Salah seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud Geting dan Haji Pak Man Berangan.

Nama sebenar tokoh ulama yang dilahirkan di Kg. Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin Haji Omar. Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman -lepasan pondok di Patani- ialah seorang khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji Yusoff bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir Mas. Datuknya, Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman adalah Imam perintis di surau mukim Jal Kecik.

Beliau sendiri bersepupu dengan Hajjah Zainab bt. Haji Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Mohd Zain Meranti, guru awalnya. Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin Haji Yusoff, Imam mukim Meranti yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua pupu dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah, Bunut Susu (meninggal 2 Ogos 1931).

Manakala Pak Chu Haji Mat Saman bin Haji Abu, guru al-Quran ternama di kawasan Lambor/ Kubang Batang sebelum Bah Air Merah (1926) itu pula ialah abang iparnya.

Kerana latar belakang keluarga yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi.

Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong, beliau pergi menamat di Kota Mekah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggora, Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.

Pada 1934, pulang ke Kelantan lalu mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat di Legor, Thailand), Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya Ular di Bunut Susu), Haji Mohd Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Che Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu), Haji Yaakub Awang, Kg. Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif, Kg Meranti Besar.

Tuan Guru Haji Awang Lambor pulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu, 27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan

dan disusun oleh Ismail Che Daud.



Monday, October 13, 2008

Ku Cintakan Mereka


Ku cintakan orang-orang yang soleh
Namun, aku bukanlah sebahagian dari mereka


Ku cintakan orang-orang yang berilmu
Namun, kerdilnya aku untuk bersama mereka


Ku cintakan orang-orang yang wara'
Namun, aku bukanlah orang yang layak untuk mereka


Ku cintakan para pejuang Islam
Namun, jauhnya aku untuk mendampingi mereka


Ku cintakan orang-orang yang bertahajjud di malam hari
Namun, apakah aku jua di kalangan mereka yang bertahajjud?


Ku cintakan orang-orang yang rindukan Rasulullah
Namun, siapalah aku untuk mendekati mereka


Ku cintakan orang-orang yang menghafaz al-Quran
Namun, mampukah aku menjadi sebahagian dari mereka?


Ku cintakan orang-orang yang cintakan akhirat
Namun, hinanya aku bila berdepan dengan mereka


Ku cintakan mereka yang cintakan diriMu wahai Tuhan
Namun, layakkah aku untuk digelar hambaMu yang beriman


Ku cintakan mereka!
Ku cintakan mereka sekalian!




Sunday, October 12, 2008

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (10)


Haji Daud Bukit Abal
(1903- 1976)

Syeikh tarekat Ahamadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa/ Sidi Muhammad al-Azhari/ Syeikh Mohd. Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/ Gong Kemudu.

Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Haji Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.

Antara guru-guru awalnya: Haji Awang Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib, Yaakub Legor dan Maulana Tok Khurasan.

Di kota Makkah pula, antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan, Syeikh Mohd Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Mohd Syafie Kedah (Tok Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan tarekat Ahmadiyah (termasuk ilmu ihsanuddin) kepadanya.

Setelah kembali dari Makkah pada awal 1941, beliau berkebun sambil mengajar agama di beberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula sekolah pondok peninggalan bapa mertuanya, Haji Awang Limbat.

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan -mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu Usuluddin, furu'uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengamalan zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1956); dan pada peringkat awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.

Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul dua petang Ahad, 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.

Warisan ilmunya kini disebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hasan Muhammad Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs. Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam).


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan

dan disusun oleh Ismail Che Daud