Saturday, June 14, 2008
Nasihat Untuk Muslimah
Friday, June 13, 2008
Apa Ada Pada Syair?
Pengalaman mengajar syair Arab kepada pelajar-pelajar Melayu yang berjurusan Bahasa Arab amat memberi makna dalam hidup saya. Ini kerana dapat mengajak mereka mengubah persepsi terhadap pembelajaran syair Arab dan pemahamannya yang kononnya tidak membawa manfaat kepada manfaat yang besar merupakan satu titik kejayaan pada diri saya. Ramai juga di kalangan pelajar pengkhusuan lain malah pelajar-pelajar kursus Bahasa Arab sendiri yang baru berjinak-jinak dalam program bahasa ini mengeluh: "apalah tujuan belajar syair ni?, dok hafaz-hafaz jer.. pastu jawab soalan exam. Entah apa...dahlah susah nak faham kalimah-kalimah yang tinggi dan jarang digunakan". Itulah kedengaran suara-suara dari pelajar Bahasa Arab walaupun mereka tidak berani nak melontarkan keluhan tersebut di hadapan saya. Salah seorang pelajar pengajian Islam yang diwajibkan mengambil subjek Bahasa Arab bersama saya bertanya dalam kelas: Apa tujuan mempelajari syair?. Satu senyuman bonus diberikan kepada para pelajar menjadikan mereka kelihatan pelik dan keliru dengan saya.Memanglah kalau tengok dari segi zahirnya mempelajari syair dan memahaminya bukanlah sebagaimana mempelajari ilmu pengajian Islam, yang mana kalau bidang Fiqh contohnya mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian yang bersangkut paut dengan hukum- hakam dalam aktiviti harian kita. Namun bagi saya memahami syair sebenarnya akan menghasilkan dua faedah utama iaitu meningkatkan kekuatan bahasa dan kekuatan jiwa.
Di sini saya berikan beberapa bait-bait syair dari penyair terkenal di zaman moden buat tatapan kita bersama iaitu Ilya Abu Madhi dalam qasidahnya yang masyhur "Falsafah alhayat" (Falsafah kehidupan).
أيهذا الشاكي وما بك داء * كيف تغدو إذا غدوتَ عليلا؟
وترى الشوكَ في الورود وتعمى * أن ترى فوقها الندى إكليلا
والذي نفسه بغير جمال * لا يرى في الوجود شيئا جميلا
فتمتّع بالصبح ما دمتَ فيه * لا تخف أن يزول حتى يزولا
أدركتْ كنهَها طيورُ الرّوابي * فمِن العار أن تظل جهولا
تتغنّى والصقر قد ملك الجــ * وّ عليها والصائدون السبيلا
تتغنّى وعمرها بعض عام * أفتبكي وقد تعيش طويلا؟
فاطلبِ اللهو مثلما تطلب الأطـ * يارُ عند الهجير ظلا ظليلا
وتعلّمْ حبَّ الطبيعة منها * واتركِ القال للورى والقيلا
Kalau kita perhatikan bait-bait syair ini, banyak nasihat yang diperturunkan oleh penyair yang terkenal ini agar kita melihat kehidupan ini dengan penuh optimis bukan secara pesimis. Beliau mengajak mereka-mereka yang selalu merintih dan tidak puas hati dengan kehidupan serta tidak mempunyai semangat yang kental agar kembali melihat kehidupan ini dengan penuh keyakinan, bersemangat dan bermotivasi. Beliau menyatakan bahawa bagaimanakah orang yang selalu merungut dan merintih ini boleh menghadapi hari esok jikalau dirinya lemah dan patah semangat? Penyair ini juga menegaskan bahawa mereka yang sedemikian ini jikalau melihat pada mawar yang cantik itu pada durinya sahaja dan tidak mahu memandang pada bunga tersebut ada embun yang menjadi mahkotanya yang bersinar-sinar. Demikianlah keadaan manusia yang hati dan dirinya yang tidak baik sentiasa melihat apa sahaja di depan matanya pun semuanya tidak cantik.
Penyair ini menambah bait-baitnya dengan menyeru kita agar melihat kepada burung-burung yang berterbangan di udara dengan katanya bahawa burung-burung tersebut memahami dan mengerti tentang kehidupannya dan alangkah aibnya seorang manusia itu jahil tentang kehidupannya. Burung-burung sentiasa menyanyi dan bergembira walaupun mereka tahu sang helang sentiasa mengelilingi udara mencari mangsanya, begitu juga pemburu-pemburu sentiasa memburu mereka. Mereka juga tak henti-henti menyanyi keriangan sedangkan jangka hayat mereka hanyalah setengah tahun. Apakah kita manusia asyik menangis walhal hidup kita lebih panjang berbanding dengan mereka. Oleh itu marilah kita menikmati keindahan hidup sebagaimana yang dinikmati oleh burung-burung yang sentiasa berteduh di bawah bayangan pokok di waktu tengahari, dan tinggalkanlah serta lupakanlah kata-kata yang tidak baik dari mereka yang suka bercakap demikian.
Betapa hebatnya nasihat yang diberikan oleh penyair Ilya Abu Madhi ini yang menjadikan saya kagum dan terpesona dengan pendirian beliau yang mana syairnya dapat memberi suntikan baru pada saya dan pembaca sekalian untuk mengahadapi rintangan hidup dan hari-hari yang mendatang dengan lebih bersemangat dan hati yang tabah serta cekal. Tambahan pula bait-bait syair amat berguna kepada kita sebagai pelajar Bahasa Arab khususnya demi menambahkan lagi perbendaharaan kata seperti perkataan iklil, kunhaha, tuyur ar-rawabi, al-'aar, as-shaqr, al-hajir, al-wara, al-qila dan sebagainya yang sekaligus meningkatkan lagi penguasaan kita dalam Bahasa Arab yang kita agungkan ini.
Penyair ini juga banyak menggunakan uslub istifham istinkari yang menjadi tamparan hebat kepada pembacanya serta mencuit hati kita untuk berfikir dan bertanya diri sendiri dengan persoalan-persoalan yang dilontarkan seperti:
"kaifa taghdu iza ghadauta 'alila?!" (bagaimana kamu hendak menghadapi hari esok, jika kamu dalam keadaan sakit (jiwa yang tidak sihat))?!
"tataghanna waumruha ba'dh 'aam * afatabki waqad ta'ishu tawila?! (Burung-burung sentiasa menyanyi dan berkicauan sedangkan umur mereka hanyalah setengah tahun sahaja, apakah kamu masih menangis sedangkan hidup kamu lebih panjang dari mereka?!). -Di sini penggunaan fe'el mudhari' + qad yang membawa maksud boleh jadi @ kadang-kadang-.
Akhir kata, walaupun kesusahan hidup yang kita hadapi dalam dunia pembelajaran khasnya, kesedihan hidup dalam dunia luaran amnya, sama-samalah kita mencari inisiatif baru dengan sentiasa memperbaharui hidup ini dengan penuh semangat, sabar, cekal dan berharap dengan yang Maha Kuasa, Maha Agung, Maha Penyayang, Maha Mengasihani diri kita semua serta memperbanyakkan bacaan-bacaan seperti al-Quran, al-Hadith, tazkirah-tazkirah dan tak lupa juga pada syair-syair yang mampu mendorong kita ke arah hidup yang positif dan hati yang optimis.
Selamat Maju Jaya.
Siti Hasliza Mat Yusoff
Tuesday, June 10, 2008
Menanti Kepulangan TGNA
Al- Masjidil Haram

Namamu sentiasa dibibirku
Ingatanku kepadamu tak pernah luput
Dari dulu hingga sekarang sering ku tuntut
dari Ilahi yang Maha Agung lagi Maha Kuasa
Untukku menjejaki kaki ke sana
Al-Masjidil Haram...
Linangan air mata buat yang mampu
mengorak langkah menuju ke rumahmu
Lambaian tangan tanda sokongan
Hati mendoakan agar dimakbulkan
untuk ke sana di masa akan datang
Al-Masjidil Haram...
Masih ku tunggu dan terus ku tunggu
Ingin menjadi tetamuMu
Tetamu Allah yang Maha Agung
Bahagianya diriku jika dapat bersamaMu
Oh Tuhan...
Engkaulah penentu segala-galanya
Siapalah aku tanpa bantuanMu
Kabulkanlah doaku untuk ke sana
Masjidil Haram rumahMu
yang ku rindui
Fikir Sejenak
Keganasan dan kegilaan yang dilakukan oleh Israel di bawah tajaan Amerika Syarikat membuktikan bahawa negara-negara tersebut bukanlah negara yang bertamadun sebagaimana yang diwawarkan dan tidaklah menjadi negara contoh dan tersohor sebagaimana yang diinginkan oleh kebanyakan negara-negara lain. Ini kerana satu-satu negara itu tidaklah dianggap bertamadun kerana sains dan teknologinya sahaja bahkan akhlak dan moral serta perikemanusiaan juga merupakan ukuran tamadun bagi sesebuah negara.
Apa yang ingin saya suarakan di sini bahawa kita sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya perlu sedar bahawa keganasan dan kebencian Israel ke atas umat Islam tak akan hilang selama-lamanya. Oleh itu kita haruslah menyokong dan mendokong setiap gagasan yang dibuat oleh mana-mana pihak untuk membantu rakyat Palestin dan negara-negara lain yang dahagakan ‘kemerdekaan’ daripada cengkaman zionis yang terkutuk itu.
Cadangan-cadangan dan pendapat-pendapat yang diwawarkan melalui media massa perlu diambil perhatian dan direalisasikan bukan sekadar kata-kata yang tidak dikotakan. Sebagai contoh kita terus memboikot barangan buatan Amerika Syarikat atau mana-mana syarikat atau agen-agen di bawah tajaannya bukan sekadar menagih simpati dengan umat Islam tersebut sedangkan sebatang rokok masih tersepit di jari kita.
Kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana negara kita terlepas dan aman dari peperangan dan keganasan sebagaimana yang dirasai oleh sesetengah umat Islam di negara- negara yang lain. Oleh itu hendaklah kita berwaspada dan membuat persiapan agar negara kita tetap menjadi milik kita.
Bahasa
Seorang alim yang terkenal menyatakan sokongan beliau terhadap kerajaan yang menyuarakan bahawa “dadah itu najis” dan banyak akhbar-akhbar tempatan menyahut seruan tersebut serta mewawarkannya. Namun beliau menambah bahawa kalau dadah itu najis, rasuah itu tahi. Saya tersentak dengan tashbih (perumpamaan) yang diberikan oleh beliau lalu tergelak kecil.Tambahan beliau lagi bahawa orang yang mengambil rasuah, orang tu ambil tahi, dan orang yang memberi rasuah, orang tu beri tahi, orang yang membina rumah hasil dari rasuah, orang tu tinggal dalam tahi, dan orang yang naik kereta yang mana pembeliannya dari duit rasuah, orang tu naik atas tahi.
Saya tersenyum lebar dengan syarahan beliau terhadap perumpamaan tersebut. Olahan bahasa bersandarkan tashbih atau perumpamaan yang dipersembahkannya itu agak mudah, namun memberi kesan yang cukup mendalam bagi mereka yang ber'aqal.
Perumpamaan kedua-dua perkara tersebut dengan najis atau tahi menunjukkan wajh shabhnya ialah bau busuk. Jadi dapat disimpulkan bahawa dadah dan rasuah adalah sesuatu yang berbau busuk (secara majazi) dan merupakan perkara keji dan haram mengambilnya. Walaupun ianya sesuatu yang melucukan tetapi ia adalah tepat dan memang ada kebenarannya.